Aku harus lebih tabah dari sebelum ini kerana kehidupan aku sebagai isteri tidak seperti isteri-isteri di luar sana.
Hanya sekeping kertas yang membuktikan aku adalah isteri yang sah kepada Muaz Hasbi. Tidak bagi Muaz Hasbi. Bagi dirinya aku adalah masalah dan beban yang hadir dalam kehidupannya tanpa dipinta.
Aku harus pasrah di atas segalanya. Andai ini takdir yang telah tertulis buat diriku, aku harus menerima. ‘Hamba yang diujiNya adalah hamba yang disayangiNya.’
“Masuk la. Termenung apa lagi?” Tersentak Mia dengan teguran itu.
“So, selamat datang ke rumah aku. Ingat! Rumah aku! Kau tak ada share pun dalam rumah ni. Segala-galanya dalam kawalan aku. Faham?” Muaz terus dengan bebelannya.
“Saya faham Encik Muaz.” Agak keras suara Mia itu.
“Amboi, marah nampak. Kau jangan…nanti aku suruh kau tidur dekat luar baru tahu.” Muaz tersengih pada Mia.
‘Lebih baik tidur dekat luar daripada menghadap muka kau.’ Geram Mia. Dirinya umpama peminta sedekah pada Muaz.
“Mari duduk sini! Aku ada benda nak bincang dengan kau.” Panggil Muaz supaya menghampirinya yang sedang enak bersandar pada sofa yang sangat mewah itu.
“Disebabkan kita dah duduk berasingan dengan family, aku nak antara kita tak ada apa-apa kaitan. Baik dari segi tempat tidur, bilik air, makan dan sebagainya.”
“Aku akan anggap kau macam tak ada je dalam rumah ni. Aku akan buat apa sahaja yang aku suka.” Terang Muaz.
‘Berlagak! Kalau tak fikir kau suami aku, tak ingin aku tinggal dengan kau!’ Bentak Mia. Hina sangatkah dirinya.
“Okey, sekarang kau dengar baik-baik. Bilik yang dekat dengan dapur tu aku bagi kau duduk. Free je.” Tunjuk Muaz ke arah bilik yang kecil itu.
‘Sampainya hati. Bilik orang gaji dia bagi dekat aku. Tapi itu lebih bagus dari tidur sebilik dengan tapir ni. Tapir? Ya, itulah gelaran yang paling sesuai dengan Muaz. Mungkin wajah yang seiras-iras kot.hehehe…’
“Kau nak guna dapur ke apa ke, ikut suka. Tapi jangan masa aku tengah guna. Aku kalau boleh tak nak jumpa dengan kau langsung dalam rumah ni. Dan jangan sesekali menceroboh masuk ke bilik aku. Kalau kau cuba buat, siap kau!” ugut Muaz.
‘Aku tak hairan la dengan bilik kau tu tapir.’ Makin bertambah suhu kemarahan Mia.
“Kalau kau nak tengok tv, silakan sebab dalam bilik aku pun ada tv. So, kita tak kan share tv tu.” Muaz terus dengan ‘perbahasan’nya. Mia hanya mendengar. Malas mahu berkata apa.
‘Tak habis lagi ke tapir ni bercakap. Aku dah letih tahu tak?’ Protes Mia apabila Muaz masih belum berhenti menerangkan peraturan-peraturan mengarutnya itu.
***
Sudah beberapa hari Mia dan Muaz hidup seperti orang asing. Yang seorang ke hulu, dan seorang ke hilir.
Apabila Mia berada di dalam biliknya, Muaz berada di luar dan begitulah sebaliknya. Tidak pernah bertembung.
Ke tempat kerja setiap hari pun, Muaz tidak sudi menumpangkan Mia. Terpaksalah dia menggunakan kenderaan awam. Padahal tempat kerja mereka melalui satu jalan yang sama.
‘Tak boleh jadi ni. Aku kena cepat-cepat ambil kereta aku dekat rumah Mira. Tak sanggup aku hari-hari tiba lewat dekat tempat kerja. Tapi aku mesti kena minta izin dia dulu. Sekurang-kurangnya, tak ada la bertambah dosa aku.’ Mia berfikir sejenak.
***
Suatu pagi… “Encik Muaz, saya nak minta izin. Lepas waktu kerja nanti saya nak pergi ambil kereta saya dekat rumah Mia. Bolehkan?”
“Pergilah. Tapi jangan balik lewat sangat. Kalau kau balik lewat kau tidur dekat luar malam ni.” Ugut Muaz.
“Baik Encik Muaz. Terima kasih.” Mia terus beredar. Bimbang terlewat lagi.
‘Bagusnya Minah ni. Beria-ia minta izin. Ingatkan dah lupa langsung yang aku ni suami dia. Alah, nak buat baik la tu.’ Muaz terus bersangka buruk.
Mia amat terkilan. Sebelum berkahwin, Mia sudah berangan ingin mencium tangan suami setiap pagi sebelum ke tempat kerja. Ingin meminta restu terlebih dahulu sebelum memulakan hari yang baru.
‘Jangan kata mahu mencium tangannya, memandang wajah aku pun Muaz tak sudi.’ Sayu hati Mia.
Di mana manisnya alam perkahwinan yang selalu disebut-sebut oleh baba dan arwah ibu dahulu. Aku sendiri tidak merasainya walaupun sudah berkahwin.
Begitulah kehidupan Mia walaupun perkahwinannya sudah menjangkau ke tiga bulan. Muaz makin membencinya.
Pernah satu hari itu, Mia dengan tidak sengaja mencampurkan pakaiannya dengan sehelai kemeja Muaz di dalam mesin basuh di rumahnya. Sangkanya mesin itu kosong kerana Muaz akan menghantar semua pakaian kotornya ke kedai dobi.
Kebetulan pula sehelai baju Mia luntur warna, habis kemeja Muaz bertukar warna. Apa lagi mengamuk la si tapir itu.
“Woi, perempuan! Keluar kau.” Muaz mengetuk pintu bilik Mia dengan kasarnya.
Mia tergopoh-gopoh mengenakn tudung lalu membuka pintu.
“Kau buat apa dengan kemeja aku ni? Dah macam kain buruk kau tahu.” Wajah Muaz ketika itu bagaikan singa kelaparan.
“Saya tak sengaja Encik Muaz. Saya ingatkan dalam mesin tu kosong. Saya bubuh la baju saya.” Mia sudah kecut perut ketika itu.
“Amboi..amboi..mudahnya alasan kau. Lain kali tengok dulu. Apa guna ada mata tu. Kau letak dekat mana mata kau? Dekat kaki ke?” Kemarahan Muaz membuak-buak.
“Saya minta maaf. Nanti saya ganti balik kemeja Encik Muaz tu ya?” Pinta Mia agar kemarahan Muaz itu reda.
“Ganti? Kau tahu ke nilai kemeja aku ni? Sekali gaji kau tu pun, tak mampu nak gantikan tau. Ada hati nak ganti. Kau ingat baju-baju aku macam baju-baju kau tu ke? Tak ada citarasa langsung.” Muaz terus-terusan menyembur Mia tanpa belas kasihan.
Mia sudah tidak mampu menahan sebaknya. Begitu sekali Muaz menghinanya.
“Sikit-sikit menangis. Lagi pun kalau kau ganti dengan yang serupa sekali pun, dah tak sama nilainya tau.” Bidas Muaz tanpa memikirkan perasaan Mia ketika itu.
Sebenarnya kemeja itu telah dihadiahkan oleh Liza ketika ulang tahun kelahirannya tahun lepas. Walaupun dia membenci Liza, tidak sampai hatinya untuk membuang kemeja itu.
“Sekarang aku nak kau cuci kemeja ni sampai jadi macam yang asal balik. Bodoh punya perempuan!” Hina Muaz lalu mencampakkan kemeja itu ke muka Mia.
“Hidup nak menyusahkan orang je. Geram aku.” Tambah Muaz lagi dan terus beredar dengan bebelan yang masih bersisa.
Mia mengutip kemeja yang sudah jatuh ke lantai. Lalu menutup pintu biliknya. Mia tersandar ke muka pintu dengan hati yang kecewa. Mia menangis teresak-esak.
‘Baba, samapi hati Muaz buat Mia macam ni. Mia bukan sengaja. Mia betul-betul tak perasan.’
‘Ibu, Mia tak pernah minta dilahirkan ke dunia ni dan menyusahkan sesiapa. Kenapa Muaz tuduh Mia macam tu. Mia tahu Mia tak setanding dengan dia.’
‘Mira, aku tak sengaja. Kesalahan aku kecil je. Tapi, kenapa dia hina aku sampai macam ni. Aku dah minta maaf, tapi dia tak endah pun.’
Mia merintih duka di atas segala perbuatan Muaz itu. Betapa hina dirinya di mata Muaz.
Dengan deraian air mata yang masih tidak jemu-jemu mengalir di kedua-dua belah pipi Mia, dia bangun menuju ke bilik air. Kemeja Muaz harus dicuci bersih. Dia tidak sanggup mendengar herdikan Muaz lagi.
‘Macam mana nak bagi hilang ni? Ibu… tolong Mia. Mia takut kena marah lagi.’ Air mata Mia semakin galak mengalir. Hatinya sangat hiba mengingatkan tengkingan Muaz tadi.
Setelah Mia menggunakan pelbagai jenis sabun, akhirnya tompokan di kemeja Muaz berjaya dihilangkan. Lega hati Mia.
‘Bagi kering dulu. Nanti aku pulangkan dekat dia balik.’ Mia tersenyum puas.
Malam itu, pukul dua pagi baru Mia dapat merehatkan diri semata-mata mahu membersihkan kemeja Muaz itu.
***
“Assalamualaikum Mia.” Sapa Mira apabila Mia menjawab panggilan telefonnya.
“Waalaikumsalam. Mira…rindunya aku dekat kau. Mimpi apa kau telefon aku ni?” Begitu ceria suara Mia.
“Mia, lepas habis waktu pejabat ni, kita keluar sekejap ya? Aku ada hal nak cakap dengan kau.” Serius sahaja bunyi suara Mira itu.
“Apa pasal dengan kau ni Mira? bukan main serius lagi. Takut aku tau.” Mia ketawa. Jarang benar sahabatnya itu serius apabila berbicara.
“Nanti aku cerita ek? Aku nak sambung kerja. Nanti kita jumpa dekat tempat biasa ya?” Pinta Mira lembut.
“Okay, bye!” Lalu Mia memutuskan talian.
‘Kenapa dengan Mira ni? lain macam je. Ada masalah ke.’ Macam-macam yang bermain di fikiran Mia ketika ini.
***
Seperti yang dijanji, mereka berjumpa di tempat yang ditetapkan.
“Kau dah bagi tahu suami kau ke yang kau balik lewat sikit hari ni?” Soal Mira.
“Dah. Kenapa ni Mira? Serius sangat aku tengok.” Mia cuba bergurau.
“Mia, kau bahagia sekarang?” Tanya Mira tidak mahu menangguh lagi.
“Hey kawan! Soalan apa ni? Dah la tanya macam polis soal siasat penjenayah je.” Mia tergelak lagi.
“Aku nak kau jawab soalan aku ni dengan jujur.” Mira masih dalam mood seriusnya.
“Okay..okay..aku jawab. Bahagia. Bahagia sangat.” Mia berlagak seperti tiada masalah.
“Kau jangan tipu aku Mia. Aku kenal kau bukannya semalam. Dah bertahun-tahun. Aku faham luar dan dalam kau.” Mira cuba menghentikan lakonan Mia itu.
“Eh, betul la. Kenapa aku nak tipu pulak.” Mia cuba menyembunyikan perasaan cuaknya ketika ini.
“Aku rasa persahabatan kita setakat ni saja. Aku tak nak berkawan dengan seorang yang sudah pandai menipu.” Mira kecewa dengan sikap Mia yang masih terus mahu menyembunyikan masalah yang di hadapinya.
Apabila melihat Mira yang sudah mahu beredar, Mia terasa amat takut. “Mira…” Panggil Mia lembut.
Ketika Mira berpaling menghadap ke arah Mia, Mira sudah melihat air mata Mia mengalir dengan laju. Mira terus memeluk sahabatnya itu. Mereka sama-sama menangis mengenangkan nasib Mia yang sangat malang.
Tanpa berselindung lagi, Mia menceritakan segalanya kepada Mira.
“Aku tak sangka sampai macam ni penderitaan yang kau alami Mia. Kenapa kau tak cerita dengan aku? Kenapa kau sanggup tanggung semua ni seorang diri? Aku kan ada.” Mira masih dengan esak tangisnya.
Begitulah sikap Mira yang sangat mengambil berat akan perihal Mia.
“Aku tak nak buruk-burukkan suami aku.” Mia juga masih dengan tangisannya.
“Kau je yang anggap dia suami kau. Dia ada anggap kau macam tu? Jaga la dia kalau aku jumpa dia. Aku siat-siat badan dia.” Mira teramat geram dengan perbuatan kejam Muaz itu.
“Mira, aku pelik la kenapa kau tiba-tiba tanya soalan macam ni. Sebab selama ni aku tak pernah cerita dekat sesiapa pun masalah aku ni.” Mia pelik bagaimana Mira dapat menghidu masalahnya.
“Mia, aku cerita ni bukan tujuan untuk mencucuk kau supaya membenci Muaz. Tapi aku tak sampai hati nak sorok benda ni dari kau.” Mira ragu-ragu untuk memberitahu perkara yang dilihatnya semalam.
“Apa dia? Kau cakap jela.” Mia tidak dapat menahan sabar lagi.
“Sebenarnya petang semalam aku ternampak Muaz dengan seorang perempuan. Bukan main lagi gaya dia orang. Mesra sangat aku tengok. Macam mustahil je hubungan dia orang sekadar kawan biasa.” Jelas Mira.
“Kau yakin dengan apa yang kau nampak? Kau tak salah orang ke?” Tanya Mia inginkan kepastian. Walaupun hatinya teramat sakit dengan kecurangan Muaz.
“Aku yakin sebab dia sendiri pun nampak aku.” Tambah Mira lagi.
“Patut la semenjak dua ni dia tak berenggang dengan telefon dia. Balik pun dah lewat sekarang. Tapi dia pernah cakap dengan aku yang pintu hatinya sudah tertutup untuk mana-mana perempuan.” Mia agak pelik dengan sikap Muaz itu.
“Alah, orang lelaki Mia. Bila-bila je boleh berubah hati. Apa kata balik ni kau bersemuka dengan dia. Kau tak boleh biar dia terus pijak kepala kau.” Cadang Mira.
“Aku takut Mira. Dia pernah cakap yang aku tak ada hak langsung ke atas kehidupan dia. Dia tak bagi aku masuk campur dalam urusan dia.” Jelas Mia dalam kesayuan.
“Kau kena berani Mia. Aku geram la dengan lelaki-lelaki yang berperangai macam ni. Tak cukup dengan satu. Apa lagi yang kurang dengan kau ni?” Mira cuba mempertahankan Mia.
“Aku tak setanding dengan dia Mira. Dia pernah cakap yang baju-baju aku semua tak ada citarasa. Duit gaji aku sebulan pun tak dapat nak beli sepasang baju dia.” Begitu hiba Mia menuturkan kata-kata itu.
“Tak apa Mia. Nanti dia akan dapat balasan yang setimpal dengan perbuatan dia ni. Suatu hari nanti, kita yang sengkek ni la yang dia cari tau.” Mira cuba menyedapkan hati Mia.
“Eh, pasal apa cari kau jugak. Cari aku jela.” Mia sempat mengenakan Mira yang masih dalam perasaan marahnya.
“Mia, aku serius tau. Yang lain tak penting tapi aku nak kau bersemuka dengan dia balik karang. Faham?” Tegas sekali suara Mira.
“Aku cuba ya.” Lantas mereka berpelukan.
***
‘Patut ke aku bersemuka dengan dia? Dia marah aku nanti macam mana? Takut la.’ Mia agak gentar untuk berdepan dengan Muaz. Tambahan pula Muaz langsung tidak mahu berjumpa dengannya.
Mia sampai di apartment itu ketika cuaca sudah kelihatan gelap. Sudah masuk waktu maghrib pun. Tetapi seperti biasa, wajah Muaz tidak kelihatan kerana dia masih belum pulang.
Kelakuan Muaz sudah semakin melampau sekarang. Aku tidak boleh membuat kesilapan sedikit pun. Pasti aku akan dimaki hamun tanpa belas kasihan.
Setelah selesai menunaikan solat maghrib, Mia memberanikan diri menunggu Muaz pulang. Dia harus berbicara dengan Muaz. Betul juga kata Mira, aku tidak boleh membiarkan dia terus-terusan menghina aku.
Apabila kedengaran pintu apartment ditolak, Mia terus menanti penuh debar. Apa nak jadi, jadi la. Aku harus berani.
“Encik Muaz, boleh tunggu sekejap?” Soal Mia lembut. Menghalang Muaz dari memasuki kamarnya.
“Kau nak apa? Aku letih la.” Balas Muaz kasar.
“Please Encik Muaz…sekejap je.” Pinta Mia lagi. Walaupun suaranya sudah tersekat-sekat menahan rasa.
“Apa halnya? Jangan nak buang masa aku. Cakap cepat!” Tengking Muaz.
“Betul ke Encik Muaz ada perempuan lain?” Mia terus bertanya. Tidak mahu berselindung lagi.
“Apa yang kau mengarut ni ha? Pandai-pandai je tuduh aku macam tu. Dari mana kau dengar semua cerita ni?” Tanya Muaz geram.
‘Macam mana dia bolah tahu ni.’ Muaz bimbang rahsia yang disimpan selama ini terbongkar.
“Tapi Mira cakap dia nampak Encik Muaz dengan perempuan tu bukan main mesra lgi.” Jelas Mia.
‘Aku dah agak dah. Mesti perempuan sengal tu yang bagi tahu dia. Bodohnya perempuan tu.’ Ngomel Muaz sendiri.
“Ooo…jadi kawan baik kau tu la yang pandai-pandai bawa cerita ya? Yang kau pun percaya bulat-bulat ya?” Soal Muaz bengang.
“Jadi betul la apa yang Mira nampak tu?” Mia inginkan penjelasan.
“Kau nak tahu sangatkn? Ya, memang betul pun. Aku tengah syok bercinta sekarang. Nak buat main-main apa salahnya kan? Lagi pun dia pandai layan aku. Bukan macam kau, menyusahkan saja.” Muaz berterus terang dengan bangganya.
“Kenapa Encik Muaz sanggup buat saya macam ni? Saya ni isteri Encik Muaz. Bukan orang gaji atau perempuan simpanan.” Lepas Mia dengan esak tangis.
“Eh, kau sapa nak halang-halang apa yang aku nak buat? Aku pernah cakapkan yang kau tak ada hak nak masuk campur dalam hidup aku.” Muaz mengamuk.
“Tetapi perbuatan Encik Muaz itu salah di sisi agama. Gunalah cara yang baik.” Nasihat Mia.
“Kurang ajar kau. Dah pandai nak mengajar aku ya?” Muaz terus menampar wajah Mia. Mia tersungkur ke lantai.
Malang tidak berbau, dahinya terkena bucu meja. Sekelip mata bibir dan dahi Mia mengalirkan darah pekat. Tetapi sedikit pun tidak membuatkan Muaz menyesal.
“Inilah akibatnya kalau suka sangat menyibuk. Ikut suka aku la nak buat apa pun. Dosa aku, aku tanggung sendiri. Bukan bagi dekat kau pun. Kau nak tahu, kau bukan setakat macam orang gaji tapi lebih rendah lagi dari itu. Faham?” Tengking Muaz lagi dan terus menghina Mia tanpa jemu.
‘Ya Allah, takdir apakah ini? Mengapa aku diuji sehebat ini?’ Mia menangis teresak-esak sambil menahan sakit di seluruh tubuh badannya.
“Kau pergi masuk bilik kau sekarang sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.” Ugut Muaz lagi.
Tanpa berfikir panjang, Mia terus berlari ke arah bilik kecilnya. Mia terus menghempaskan tubuhnya di atas katil bujang itu. ‘Mira, aku dah cakap. Mesti aku juga yang akan dipersalahkan. Aku dah tak sanggup untuk menghadapi semua ini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.’ Rintih Mia dalam sendu menahan tangisnya.
“Kurang ajar punya perempuan. Disebabkan mulut dia, aku bertindak macam ni.” Muaz terus menyalahkan Mira kerana membocorkan hal ini kepada Mia.
Perempuan yang dimaksudkan oleh mereka adalah salah seorang pelanggannya. Dia begitu tertarik dengan Elisa kerana dia merupakan perempuan yang lemah-lembut, manja dan pandai menggoda.
Pada mulanya Muaz tidak menghiraukan godaan Elisa. Lama-kelamaan,dia sendiri tertarik dengan Elisa. Bermula dari saat itu, Muaz begitu rapat dengan Elisa. Berkepit ke mana sahaja.
Walaupun hati dan perasaan Muaz tidak cintakan Elisa, sekurang-kurangnya dia boleh berseronok dengan Elisa.
Dia lupa segalanya. Kelab-kelab hiburan sudah menjadi tempat kesukaannya. Hampir setiap petang juga, Muaz akan tewas di dalam dakapan Elisa. begitulah kehidupan gelapnya sekarang.
***
Selepas kejadian malam itu, Mia sudah bertekad, dia tidak akan menghiraukan Muaz lagi. Jika Muaz bebas berbuat apa sahaja, aku juga mampu berdikari.
Aku sendiri yang akan menjarakkan lagi hubungan kami. Seperti yang kau pinta. Mia sudah tidak sanggup dihina, dimaki atau dicaci lagi. Semua ini harus berakhir.
Mia nekad untuk menjadi seorang yang tabah. Apa sahaja yang akan dilakukan oleh Muaz tidak akan diendahkan lagi.
Kata putusnya, Mia dengan cara hidupnya, Muaz juga dengan gayanya.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment