“Kenapa degil sangat ni ha? Elok la perangai macam tu depan baba?” tegur Muaz.
“Biar la. Bukan saya marah baba pun.” Sungguh bijak mulut itu menjawab. “Lagi pun saya tak nak tinggal dengan Encik Muaz. Jangan nak paksa-paksa.” Rimas Mia apabila Muaz memerhatinya dengan renungan yang tajam.
“Sayang cakap apa? Ulang sekali lagi.” Muaz sudah menghampiri Mia. Dia mahu dengar dengan lebih jelas.
“Encik Muaz jangan dekat dengan saya. Saya karate kang.” Ugut Mia. Dia takut sebenarnya bila Muaz semakin hampir dengan dirinya.
“Peduli apa abang. Cuba la kalau nak karate sangat. Cepat, abang nak tengok. Hebat ke tak hebat.” Muaz sudah mencapai pergelangan tangan Mia. Ditarik supaya rapat dengannya.
“Encik Muaz, tak nak la. Jangan la paksa-paksa.” Dia cuba melepaskan dirinya.
“Tadi kata nak karate sangat, cepat la. Dah tak sabar nak tengok.” Muaz sengaja mencabar isterinya itu. Macam la berani sangat. Muaz hanya tersengih-sengih melihat Mia yang sedang beusaha melepaskan dirinya.
“Encik Muaz jangan menyesal?” Muaz fikir dia tidak berani untuk bertindak sebegitu.
“Tak sayang, abang takkan menyesal.” Mahu sahaja dicium-cium wajah yang comel itu.
Tanpa berfikir panjang, Mia memijak kaki Muaz dan menggigit tangan Muaz yang kemas memaut lengannya. Akhirnya dia berjaya melepaskan diri.
“Aduh…ini bukan karate. Ini guna taktik kotor. Sakit kaki abang sayang.” Muaz meniup-niup kakinya yang sakit dipijak oleh Mia. Harap badan sahaja kecil. Belum melihat tangannya yang digigit Mia. Pasti kemerahan.
Mia cuba membuka pintu bilik, malangnya Muaz sudah mengunci pintu itu terlebih dahulu.
“Kata hebat sangat, tendang la pintu tu. Kalau tak boleh, terjun la ikut tingkap ni. Biar nanti masuk paper tajuk beritanya, ‘Seorang Pengkarate Menunjukkan Kehebatan Sehingga Patah Tengkuknya’ hahaha…..abang boleh tumpang glamour. Pilih nak buat yang mana satu.”
“Encik Muaz jangan nak lebih-lebih. Saya karate betul-betul karang. Ingat saya tak ada ilmu tu ke? Tak pasal-pasal tidur hospital malam ni.” Meluat Mia melihat Muaz yang ketawa sampai terguling-guling. Melampau!
“Dah tenuk tu, tenuk jugak la.” Walaupun Mia bersuara agak perlahan, Muaz tetap dapat mendengarnya dengan jelas. “Sayang cakap apa tadi? Cuba ulang balik.” Muaz sudah duduk di birai katil. Menggosok-gosok tangannya yang kemerahan akibat digigit oleh Mia sebentar tadi.
“Tak ada apa la. Bak la kunci tu. Saya nak keluar.” Sebenarnya Mia sudah terlepas cakap. Sebelum ini Muaz tidak pernah tahu dengan nama ‘manja’ itu. Khas didaftarkan oleh Nur Mia untuk Muaz Hasbi.
“Baik sayang cakap. Kalau tak jangan harap nak keluar.” Ugut Muaz lagi.
“Eee…saya cakap kalau dah tenuk tu, tenuk jugak la. Dengar? Faham? Jelas tak Encik Muaz Hasbi? Nak saya ulang lagi ke?” perli Mia. Dia langsung tidak memikirkan risiko yang akan ditanggungnya apabila berani mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Sayang maksudkan tenuk tu abang ke?” Muaz masih blur-blur dengan kata-kata Mia tadi.
“Ya Allah, tak faham lagi ke? Iya la. Tenuk tu nama manja Encik Muaz. Bermula dari dulu, kini dan selamanya.” Mia tersenyum gembira apabila dapat mengenakan Muaz.
“Ooo…kali ni abang betul-betul nak ajak Mia berlawan. Mari sini. Tadi nak karate sangatkan? Cepat! Satu lawan satu. Tenuk memang suka berlawan.” Sedikit geram Muaz dengan panggilan Mia itu. Aku dipanggilnya tenuk. Memang nak kena si Mia ni.
Mia sudah berdiri tegak di hadapan pintu. “Encik Muaz jangan cabar saya. Saya ni pantang dicabar.” ‘Mati la aku kalau dia ajak berlawan betul-betul. Nak angkat beras sepuluh kilo pun aku tak larat. Inilah akibatnya kalau selalu cakap besar.
“Memang abang cabar sayang. Cepat! Abang dah ready ni walaupun pakai kain pelekat dengan baju melayu je. Demi menghormati seorang wanita, abang kasi Mia pukul dulu. Tadi kata abang tenuk kan? Sekarang anggap je abang ni tenuk yang jinak. Pukul sekuat hati. Come on sayang!” Muaz sengaja mengapi-apikan Mia. Tadi bukan main suka lagi mengata aku. Sekarang biar dia rasa.
“Betul ni? Nanti jangan ngadu dekat baba atau papa ek?” Mia mengepal-ngepal penumbuknya. Dah ada peluang, apa lagi. Siap la kau!
“Tak, sikit pun takkan mengadu.” Sebaik sahaja Muaz habis berbicara, Mia menghampiri dirinya untuk menyerang. Muaz hanya berdiri memeluk tubuh. Merelakan apa sahaja tindakan Mia. Mia umpama ingin melepaskan geram, menumbuk-numbuk dada Muaz. Tidak puas dengan itu, wajah Muaz pula menjadi sasaran. “Tamparan pertama ni sebab Encik Muaz kecewakan baba dan papa.” Dush! Merah pipi Muaz sebelah kanan. “Tamparan kedua ni sebab Encik Muaz kecewakan saya.” Dush! Pipi kiri pula menjadi sasaran. “Tamparan ketiga ni sebab Encik Muaz selalu paksa saya buat apa yang saya tak suka.” Sekali lagi pipi kanan menjadi mangsa. “Dan yang terakhir ni sebab Encik Muaz macam tenuk.” Merah padam muka Muaz menahan sakit.
Mia yang keletihan terduduk di atas katil. ‘Mamat ni tak sakit ke? Diam je.’ Pelik Mia apabila Muaz langsung tidak bergerak. Hanya menurut. Dia pula penat semacam.
“Dah puas? Nak tambah lagi tak? Kali ni je peluang abang kasi tau. Cepat! Masih ada masa ni.” Muaz mahu menguji, selama mana Mia sanggup menyakiti tubuhnya. Biarlah…sakitnya hanya sementara.
“Dah, saya dah puas. Sekarang bagi saya keluar.” Mungkin Mia terlupa akan sesuatu.
“Eh, sapa cakap sayang boleh keluar? Tadi giliran sayang hentam abang, sekarang giliran abang la pulak. Baru la fair kan? Are you ready my dear?”
‘Alamak, aku terlupa la. Mampus aku.’ Mia sudah berdiri di atas katil. Sudah menunjukkan penumbuknya. “Mari la kalau berani.” Sengaja dicabar-cabarnya Muaz. Lagaknya seperti seorang peninju profesional sahaja.
“Get ready untuk terima apa-apa je erk? Jangan mengadu dekat baba atau papa tau? Atau Mira.” Muaz berkata sambil ketawa terbahak-bahak. Siap la kau Nur Mia sayang.
Tanpa menunggu lebih lama, Muaz menerkam tubuh Mia. Ditolaknya Mia jatuh ke atas tilam. “Apa ni Encik Muaz? Kata nak lawan. Jangan mengada-ngada nak ambil kesempatan pulak.”
“Eh, ikut suka abang la. Ni style abang berlawan.” Terus digeletek tubuh Mia. Mia meronta-ronta kerana tidak tahan diperlakukan seperti itu. Digeletek adalah perkara yang sangat ditakuti sejak kecil lagi. Macam nak tercabut nyawa dibuatnya.
Mia yang geram dengan perlakuan Muaz bertindak menyepak perut Muaz. Tidak disangka pula sepakan itu terlalu kuat. Muaz mengaduh kesakitan. Dengan peluang yang ada, Mia menolak tubuh Muaz. Dia cuba melarikan diri.
“Sayang, mana aci macam ni. Giliran sayang pukul abang dah habis. Sekarang time abang la pulak. Senak tau perut abang. Dah la baru lepas makan.”
“Padan la muka. Siapa suruh buat macam tu.” Ejek Mia.
“Meh sini. Jangan ingat boleh lepas macam tu je.” Muaz mengejar Mia yang sudah lari ke sana ke mari untuk mengelak dari diterkam Muaz. Walaupun bilik itu tidak berapa luas, letih juga bila dapat berlari seperti ini. Mujurlah bilik tersebut dibina daripada batu bata,kalau tidak satu rumah boleh dengar ‘pergaduhan’ mereka. Bilik pun sudah seperti tongkang pecah. Berselerak seperti baru dilanda bencana alam.
“Dah la Encik Muaz. Penat la. Encik Muaz nak kena lagi ke?” Mia sudah tidak berdaya. Sudah sakit tangannya membelasah Muaz tadi. Apabila Mia terleka sebentar, Muaz mencempung dirinya lalu dibaringkan di atas katil. Ditindih tubuh itu apabila Mia langsung tidak mahu mengalah. Ditekup mulut Mia yang tidak henti memarahinya.
“Nak jerit? Jerit la. Sapa-sapa pun tak boleh dengar. Ooo…tadi bukan main kenakan abang ya? Tenuk la, padan muka la. Ni pipi ni dah berbekas dibuat Mia. Belum tengok dada abang dah lunyai ni. Akan tinggalkan parut tau. Tak hensem dah abang.” Muaz melebih-lebih. Tetapi memang tidak dinafikan pukulan Mia agak menyakitkan. Mungkin sudah lama menunggu peluang seperti ini.
“Sekarang abang pulak nak bagi cop mohor kat sayang. Tadi tampar abang empat kalikan? Ok, ciuman pertama ni untuk membuktikan yang abang cintakan sayang.” Muaz memagut bibir Mia. Lama. “Ciuman yang kedua ni untuk kasih sayang abang.” Sekali lagi bibir Mia menjadi mangsa. “Ciuman seterusnya untuk mulut yang sentiasa memanggil abang dengan panggilan ‘encik’…yang keempat istimewa dari Muaz Hasbi untuk Nur Mia.” Kali ini lebih lama. Mia tidak mampu melawan lagi. Hampir tidak bernafas dibuatnya.
“Ok, empat berbalas empat. Tak sakitkan? Ha, abang tak kejam dah. Hehehe…” Muaz tersenyum manja. Puas hatinya. “Kenapa diam? Mesti rasa bahagia je kan? Ke nak lagi ni. Cuma malu nak cakap erk?” Muaz sengaja mengusik Mia yang sudah kelihatan merah padam mukanya.
“Lepas la. Saya bagi tahu baba.” Mia seperti ingin menangis. Mentang-mentang la kudratnya tidak sekuat mana, sesuka hati saja Muaz mencumbuinya.
“Eh, tadi kata tak nak mengadu. Tapi tak pela. Elok juga sayang mengadu dekat baba. Nanti baba cakap apa tau, ‘romantiknya menantu kesayangan baba ni.’ Sayang boleh tumpang happy kan?” dicuit hidung Mia lagi.
“Bangun la. Jangan ingat lepas apa yang Encik Muaz buat ni saya akan maafkan segala kesalahan Encik Muaz. Bertambah benci ada la.” Ditolak-tolak tubuh Muaz. Sudah penat dia merayu. Muaz masih juga seperti tadi. Enak mentertawakn dirinya.
“Eh, abang terlupa la. Tadi sayang ada sepak perut abang sekalikan? So, sayang ada hutang dengan abang lagi la. Tak adil la kalau abang tak balas kan?” Muaz tersengih-sengih nakal. Ada sahaja rancangan jahatnya. Peluang yang ada harus digunakan sebaik mungkin.
‘Takkan dia nak tumbuk aku kot. Biar betul tenuk ni. Mati la aku.’ Sudah berpeluh-peluh dahi Mia menahan debar. ‘Kena gaya dapat la aku tidur hospital malam ni. Baba…tolong Mia.’
“Ready my dear? Abang tumbuk tak pandai pelan-pelan tau.” Muaz menunjukkan penumbuknya pada Mia.
“Tapi Encik Muaz janji, lepas tumbuk saya Encik Muaz kena lepaskan saya. Jangan la dera saya lagi. Kalau tak saya buat police report. Apa nak jadi, jadi la.” Tegas Mia. Lunyai la dia sekejap lagi. Mia sudah bersedia untuk dibelasah. Matanya tertutup rapat. Tidak mahu melihat adegan ganas dari Muaz yang gila itu. Apa sahaja yang jadi selepas ini dia pasrah.
Apabila benar-benar yakin, Muaz membenamkan bibirnya pada leher Mia. Terbeliak biji mata Mia. Kata nak tumbuk aku. Ini bukan menumbuk namanya, tapi memang nak kena penumbuk lagi la jawabnya.
“Apa ni? Bangun la tenuk. Gila ke ha?” Mia berusaha mengalihkan tubuh Muaz. Muaz betul-betul sudah gila.
“Aaa…” akibat terlalu geram, Mia menjerit ingin melepaskan diri.
“Shuuttt…pekak la telinga abang ni. Ini balasan sebab kata abang tenuk…hehehe…ok, sekarang tak ada siapa yang menang tak ada siapa yang kalah ya. Dah, sekarang pergi kemas baju-baju tu semua. Petang karang ikut abang balik KL. Rumah kita!” ditekan-tekan ayat itu supaya Mia mengerti.
“Dan lagi satu, stop panggil abang Encik Muaz. Belajar-belajar la panggil abang. Kalau tak pandai-pandai jugak nanti abang ajarkan ek?”
‘Eee…geramnya aku. Semua nak ikut cakap dia. TENUK!!!’
“Saya tak nak balik ke apartment tu. Saya nak tinggal dengan Mira. Encik Muaz boleh tak jangan paksa-paksa saya? Ingat saya suka ke?”
“Abang tak peduli. Mia di bawah tanggungjawab abang. Takkan abang nak biar sayang hidup sendirian. Makan minum sayang abang yang perlu tanggung tau.” Dia akan memberi masa pada Mia supaya berhenti memanggilnya ‘encik’. Mungkin sudah terbiasa sejak dahulu. Tetapi kalau Mia masih berdegil dia akan bertindak mengikut caranya.
“Selama ni Encik Muaz tak peduli pun. Lagi pun kesian dekat Mira tinggal sorang-sorang. Nanti jadi apa-apa dekat dia macam mana?” Mia cuba meraih simpati. Dia akan mencipta seribu alasan agar dia tidak berpindah ke rumah Muaz.
“Dekat abang tak kesian? Kalau susah-susah sangat ajak Mira tinggal dengan kita. Ok?” dia ingin menjalani hidupnya bersama Mia seperti pasangan suami isteri yang lain. Mahu menebus kesilapan-kesilapan lalu. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas semenjak menikahi Mia ingin ditebus semula.
“Dia tak nak. Dia segan.” Jawab Mia. Ada sahaja jalan Muaz supaya kata-katanya tidak dibantah.
“Eh, belum tanya dah tahu dia segan ek? Sayang ni banyak sangat alasan la. Ingat abang tak faham dengan helah sayang tu? Abang dah minta izin baba. So, tak ada alasan lagi. Kemas apa yang patut. Jangan nak degil sangat.” Muaz bersuara agak serius. Lalu beredar ke luar.
“Arrgghhh…kenapa dia suka memaksa. Benci…benci…” Mia menghentak-hentak kakinya ke lantai tanda protes. ‘Macam mana nak lari dari dia ni ek?’ Mulalah Mia memikirkan rancangannya yang gila-gila. Dia tetap tidak mahu tinggal dengan Muaz. Dia sudah benci untuk pulang ke rumah itu. Tiada apa yang indah di situ melainkan kenangan yang amat pahit untuk ditelan.
***
Setelah hampir dua hari berada di rumah Encik Saufi, Dato` Masyhur meminta diri untuk pulang. Memandangkan esok semuanya harus memulakan rutin harian seperti biasa terpaksalah mereka berangkat ke Kuala Lumpur hari ini. Mia dan Mira juga turut pulang bersama. Cuma berlainan kereta.
“Mira, kau dah letak semua beg dalam kereta ke? Aku nak ambil barang dalam beg aku tu.” Soal Mia ketika mereka sedang bersiap-siap untuk pulang.
“Aku dah isi semua. Mana aku tahu yang kau nak ambil barang lagi.” Mira membetul-betulkan tudungnya sambil menghadap cermin.
“Tak apa la. Aku pergi ambil sekejap.” Ketika sedang sibuk mencari barang yang dikehendaki, Muaz datang mendekati.
“Kejap lagi follow abang dari belakang terus ke rumah papa tau? Malam sikit kita balik rumah kita.” Muaz sudah merancang segala-galanya tanpa pengetahuan Mia. Segalanya diatur rapi.
“Tengok la.” Jawab Mia ringkas. ‘Jangan berangan la aku nak ikut kau.’ Sempat lagi Mia menjeling ke arah Muaz.
“Tak ada tengok-tengok. Ikut jugak.” Muaz seperti memaksa. Bukan boleh percaya sangat dengan si Mia ni. Mia terus berlalu tanpa membalas kata-kata Muaz. Lagi banyak dia bercakap lagi banyak paksaan Muaz. Pening kepalanya sejak Muaz muncul semula dalam hidupnya. Segala perkara harus mengikut kehendak Muaz.
***
“Eh, Mia kitakan dah janji nak follow diorang sampai rumah papa kau.” Setelah sampai di Kuala Lumpur, Mia mengambil jalan pulang terus ke rumah mereka. Bukan ke rumah Dato` Masyhur. Mira dapat rasakan bahawa Mia ingin mencari masalah lagi dengan Muaz. Tidak habis-habis mereka berdua ni. Keluh Mira.
“Ala, malas la aku nak dengar cakap si tenuk tu. Cakap dia je kita nak dengar. Suka paksa-paksa pulak tu.” Masih sempat Mia menggenyitkan matanya pada Mira.
“Kau ni Mia, langsung tak nak dengar cakap. Kau sengajakan nak cari pasal dengan Muaz? Cuba la mengalah sekali-sekala.” Tidak jemu Mira menasihati Mia.
“Dia cari pasal dengan aku dulu. Nasib la.” Sebelum sampai di rumah sewa mereka, handphone Mia berbunyi. Tetapi langsung tidak dihiraukan. “Kenapa kau tak angkat call tu?”
“Ala, tu mesti si Muaz yang call. Malas aku nak jawab. Buat sakit hati je.” Muaz yang sekarang cukup kuat membebel. Kononnya mengambil berat la.
Handphone Mira pula berdering. Tanpa melihat siapa pemanggilnya Mira terus menjawab. “Kitorang dah sampai rumah. Mia terus balik sini. Maaf la Muaz.” Mira pula yang menjadi mangsa.
“Lantak kau Mia. Kau tunggu la apa si Muaz tu nak buat dengan kau nanti. Degil sangat kau ni.” Mira memberi amaran. Dari gaya Muaz berbicara tadi sudah dapat dibayangkan apa yang bakal diterima oleh Mia kerana sikapnya yang langsung tidak mahu mendengar kata.
***
Sudah dua minggu perkara itu berlaku. Tetapi Mia sedikit hairan kerana Mia tidak lagi menerima panggilan dari Muaz. Marah benarkah lelaki itu? Lantak la…
Suatu hari ketika sedang sibuk di pejabat, Mia menerima panggilan dari Myra. Mereka sekeluarga menjemput Mia dan juga Mira hadir ke banglo Dato` Masyhur untuk sama-sama menyambut hari lahir Aisyah Humaira yang kedua tahun. Mahu tidak mahu, Mia terpaksa menerima jemputan itu demi menjaga hati papa dan yang lain. Kecuali Muaz! Itulah yang membuatkan Mia sedikit ragu-ragu untuk menghadirkan diri pada hari tersebut. Risau terjumpa dengan insan yang masih dibencinya. Mustahil Muaz tiada sekali. Benci! Benci! Benci!
Seperti yang dirancang, Mia dan Mira pergi ke banglo Dato` Masyhur demi memenuhi jemputan yang diterima tempoh hari. Terjenguk-jenguk Mia sebelum melepasi pagar rumah mewah itu. Kereta diletakkan di luar pagar kerana halaman rumah sudah dipenuhi dengan khemah.
“Apa yang kau intai-intai tu? Dah tak sabar nak jumpa ke?” Mira sudah tergelak dengan usikannya sendiri. Padahal dia tahu bahawa Mia bimbang seandainya bertemu dengan Muaz. Insan yang sangat mahu dihindari.
“Diam la kau! Saja nak kenakan aku ek?” Dicubitnya lengan Mira. Geram dengan sindiran itu. Sudahlah jantungnya berdegup kencang ketika ini, Mira pula mahu menambahkan kelajuan itu lagi.
“Padan la muka kau. Kau ingat selama-lamanya kau boleh lari dari Muaz? Dia tu suami kau tau tak? Ikatan korang takkan putus sewenang-wenangnya.” Mendalam maksud ayat itu. Biar Mia sedar akan statusnya ketika ini.
“Eh, kak ngah dengan kak Mira dah sampai. Mari la sini.” Tiba-tiba Maisara mencelah antara mereka. Gembira dengan kedatangan insan-insan tersebut.
“Mana Aisyah? Mesti comel dia kan?” Mia terus bertanya akan perihal anak buahnya itu. Tidak mahu Mira dan Maisara berbicara tentang topik yang paling ditakuti.
“Tengah bersiap dengan kak long. Mesti la comel. Tengok la anak buah siapa. Hehehe…” Bangga sekali Maisara mempunyai seorang anak buah yang begitu comel dan cerdik.
“Nah! Ni hadiah dari kak Mira.” Mira menghulurkan sebungkus hadiah yang dibeli khas untuk Aisyah. Rambang matanya ketika ingin memilih hadiah buat si kecil itu kelmarin. Begitu juga dengan Mia. Ikutkan hati mahu diambil semuanya. Ada anak sendiri nanti boleh la…Opss…!
“Kah ngah nak bagi sendiri pada si comel tu.” Mereka bergerak pantas ke dalam banglo. Lagi pun majlis belum bermula. Sengaja mereka datang awal. Mungkin mereka dapat membantu serba sedikit untuk majlis yang sederhana ini tetapi nampak meriah. Bayangkan sahajalah, cucu orang kaya. Tunggal pula tu. Mesti Dato` Masyhur ingin memberikan yang terbaik buat cucu kesayangannya.
Encik Saufi pula tidak dapat menghadirkan diri. Ada urusan di kampung yang tidak dapat dielakkan. Maklumlah, Encik Saufi merupakan salah seorang yang terpenting di kampung itu.
Ketika majlis hampir bermula, kelibat Muaz tidak muncul juga. Keretanya pula tidak ada di ruang parking. Hairan juga Mia tetapi tiada niat langsung ingin bertanya. Nanti disalaherti pula oleh yang lain. ‘Dia tak ada lagi bagus.’
“Kak ngah tunggu angah ya? Dia pergi ambil kawan dia. Dekat mana adik tak pasti. Lupa pulak nak tanya.” Maisara dapat membaca apa yang bermain difikiran kakak iparnya itu.
“Eh, tak ada la.” Malu Mia apabila Maisara dapat membaca fikirannya.
“Kejap lagi balik la tu.” Myra pula menyampuk. Sengaja ingin mengusik.
“Ada depan mata tak suka, tak ada depan mata rindu pulak.” Mira memerli. Menambahkan lagi kekalutan di hati Mia.
Geramnya. Semua orang ingin mengenakan dirinya sahaja. Ini yang dia malas nak ke sini. Pasti dirinya menjadi bahan usikan yang lain. Semuanya kerana Muaz!
Majlis yang bertemakan dalam taman itu sangat meriah. Aisyah sangat comel di samping gaunnya yang sangat unik. Ditempah khas untuk majlis ini. Di atas kepalanya dilekatkan seekor rama-rama hiasan. Cantik sekali. Pandai pula si dia bergaya dengan gaun putihnya itu. Jurugambar pula tidak jemu-jemu mengambil gambarnya secara spontan. Comel sangat. Hadiah-hadiah pula tersusun rapi di satu sudut yang dikhaskan. Bertuah Aisyah kerana menerima hadiah sebanyak itu. Pelbagai juadah makanan disediakan untuk para tetamu. Sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Sampai tidak tahu untuk memilih yang mana satu.
Ketika majlis sedang berjalan dengan rancak, kehadiran Muaz disedari oleh mereka. Sungguh kacak Muaz mengenakan kaca mata gelap. Sesuai dengan wajahnya yang sentiasa kemas. Sesiapa yang terpandang pasti akan menoleh buat kali kedua dan seterusnya.Muaz bergerak ke sebelah pintu penumpang. Lalu dibukakan pintu untuk kawan yang dimaksudkan oleh Maisara sebentar tadi. Terbeliak biji mata Mia apabila ‘kawan’ yang dikatakan itu adalah seorang perempuan. Bergaya pula tu. Mia buat-buat tidak melihat. Sungguh mesra gaya mereka berjalan ke arah keluarga Dato` Masyhur. Mia pula sengaja melarikan diri ke arah Aisyah yang sedang leka bermain. Tidak sanggup berhadapan dengan Muaz ketika ini.
“Papa, kenalkan ini Zara.” Jelas dipendengaran Mia akan nama wanita itu. Nampaknya papa sekeluarga begitu gembira dengan kehadiran Zara. Mia sahaja yang menjauhkan diri.
‘Zara? Awek baru pulak ke? Arghh…biarlah dekat dia. Dia memang takkan berubah sampai bila-bila.’ Walaupun luarannya umpama tiada apa-apa, dalamannya Mia sudah tidak tenang seperti tadi. Muaz juga langsung tidak memandang ke arahnya. Leka dengan si Zara yang cantik itu. ‘Apa hubungan mereka sebenarnya?’
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment