“Awak, kita nak pergi rumah sapa ni?” soal Mia apabila dirasakan perjalanan ke rumah Muaz agak jauh menyimpang. Takkanlah jalan ke rumah Muaz sudah bertukar.
“Laa, balik rumah kita la. Ke mana lagi.” Jawab Muaz.
“Kenapa macam lain je jalannya.” Komen Mia.
“Sayang kan dah lama tak balik rumah kita. Tu la pasal sampai dah lupa jalan ek?”
“Walaupun dah lama saya tak pergi rumah awak, tapi saya ni masih ingat lagi selok-belok ke rumah awak tu tau. Saya muda lagi. Awak tu yang dah tua.” Usik Mia. Sengaja mahu mengenakan Muaz balik.
“Sayang muda? Abang tua? Ok, tak apa la. Usia je tua, tenaga muda lagi.” Entah apa yang dimaksudkan oleh Muaz itu. Dijelingnya Mia. Biar Mia yang mentafsirkan ayat itu sendiri. Nak sangat kenakan orang.
‘Kurang asam la dia ni. Otak tu tak ke lain.’ Rungut Mia di dalam hati. Dia hanya mendiamkan diri sahaja selepas itu.
“Aik, kenapa diam? Dah habis hujah-hujahnya ke Puan Nur Mia? Kira kalah la ni?”
“Cakap la betul-betul kita nak pergi mana ni? Awak nak culik saya ek?” teka Mia. Walaupun dia tidak serius dengan kata-kata itu tetapi tidak mustahil Muaz akan melakukan perkara tersebut.
“Tepat sekali. Memang abang nak culik sayang. Runding-runding tak ada ek?”
“Runding? Maksudnya?” bingung Mia dengan ayat Muaz itu.
“Yela, kalau orang kena culik kan ke ada buat rundingan kalau nak tebus mangsa. Dengan abang tak ada rundingan la kalau sapa-sapa nak tebus sayang.” Tersengih-sengih Muaz. Bab merepek serah saja pada dia.
Mia memang malas mahu melayan. “Lantak awak la. Malas saya nak fikir. Awak nak culik sayakan? Culik la.” Berani sungguh Mia.
“Abang serius ni. Lepas ni abang takkan lepaskan Mia tau. Abang nak ikat sayang.” Ugut Muaz.
“Nak ikat? Ikat dekat pokok rambutan tau? Sekarang ni kan musim buah. Boleh jugak la saya makan buah rambutan tu. Tapi jangan ikat saya dekat pokok durian tau. Nanti buah tu gugur, awak dituduh membunuh pulak.” Rasakan kau Muaz. Orang yang suka merapu ni, elok juga dibalas dengan ayat merapu.
“Ooo…sayang ingat abang main-main ek? Tak apa. Kita tengok la nanti.” Kata Muaz penuh kesungguhan.
“Ok, wait and see!” balas Mia. Sengaja mahu menyakitkan hati Muaz.
“Dah sampai. Jom turun!” ajak Muaz.
“Rumah sapa ni wak? Awak tak cakap pun kita nak singgah mana-mana dulu.” Keluh Mia.
“Jom turun dulu. Karang tahu la.” Muaz melangkah keluar ingin mengangkat beg-beg isterinya.
Mia yang sudah letih bertanya pada Muaz hanya menurut. Mia nampak Muaz mengeluarkan kunci rumah dari poket seluarnya. Biar betul Muaz nak masuk rumah orang sesuka hati sahaja.
“Welcome home sayang!” itulah ayat pertama yang dikeluarkan oleh Muaz setelah dia menapak ke dalam rumah batu dua tingkat itu.
“Maksud awak?” Mia masih belum faham lagi apa sebenarnya yang berlaku.
“Mari la masuk dulu. Karang abang cerita semuanya.” Muaz terus menarik tangan Mia agar melangkah ke dalam rumah tersebut.
Sebaik sahaja melangkah ke dalam, terpegun Mia dibuatnya. Bukan kerana dihiasi dengan perabot-perabot yang mewah tetapi susunannya yang sangat unik.
“Rumah sapa ni awak?” tanya Mia lagi.
Mia yang leka melihat ke kiri dan kanan rumah itu tidak menyedari Muaz sudah memeluk erat pinggangnya dari arah belakang.
“Rumah kita.” Jawab Muaz ringkas tetapi penuh makna betul-betul di tepi telinga Mia.
“Rumak kita? Takkan la apartment awak dulu dah bertukar macam ni. Ajaibnya.”
“Sayang merepek apa ni? Ni rumah baru kita la. Tak ada lagi apartment abang yang dulu. Sekarang, abang nak kita mulakan hidup baru di sini dengan suasana yang baru. Ok?” diciumnya kepala Mia tanda teramat bersyukur.
Sengaja dia memilih kediaman seperti ini. Walaupun dia mampu untuk tinggal di kediaman yang lebih mewah, dia tetap mahukan persekitaran yang baru. Dia juga tahu bahawa isterinya itu lebih gemar hidup bersederhana seperti ini.
“Kenapa awak pindah? Sejak bila?” Mia masih belum memandang ke wajah Muaz. Dia masih leka dengan kediaman baru ini. Tidak dinafikan kali ini kediaman mereka tidaklah semewah sebelum ini tetapi Mia amat gemarkannya. Segalanya dalam keadaan sederhana. Inilah yang Mia harapkan dalam kehidupan mereka.
“Abang dah lama beli rumah ni. Dan apartment yang lama tu abang dah jual. Tak lama lepas sayang keluar dari rumah kita dulu abang dah mula menetap dekat sini. Abang tahu, sayang banyak kenangan pahit dekat rumah lama dulukan? Jadi abang tak nak sayang hidup dalam kenangan tu lagi. Jadi abang ambil keputusan supaya berpindah.” Jelas Muaz serba-sedikit.
Sayu hati Mia apabila mengenangkan kembali peristiwa selama tinggal di apartment itu. Mia bersyukur seadanya apabila Muaz membuat keputusan untuk tidak lagi tinggal di situ. Memang ikutkan hati dan perasaannya dia tidak mahu lagi pulang ke situ. Tidak sangka pula yang Muaz sangat memahami. Berlinang jua air matanya di kala ini.
“Hey, kenapa nangis ni? Sayang tak happy ke pindah ke sini?” Muaz memalingkan tubuh Mia agar menghadapnya. Dilihat air mata Mia sudah memenuhi kelopak matanya.
Mia pula tidak tahu mahu mengucapkan apa ketika ini. Adakah dia gembira dengan semua ini?
Apabila melihat Mia yang masih dengan tangisannya, Muaz menarik tubuh itu ke dalam pelukannya. Dipeluk seerat mungkin. Diusap-usap belakang tubuh itu. Sayangnya melimpah ruah buat si isteri.
Bertambah sayu hati Mia apabila Muaz berkelakuan seperti itu. Dengan penuh kerelaan Mia membalas pelukan Muaz. Inilah kali pertama dia berbuat begitu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia bertindak seperti ini. Adakah kerana kasihan pada Muaz atau dia benar-benar ingin melakukannya. Oh Tuhan, benarkah apa yang aku lalui kini?
Lama mereka berkeadaan begitu. Akhirnya Muaz meleraikan pelukan lalu memegang dagu Mia kerana ingin berkata sesuatu, “abang minta maaf kalau kediaman kita kali ni lebih bersederhana. Abang sengaja pilih macam ni. Abang tak nak kita hidup dalam kemewahan tetapi kasih sayang kita kurang. Selepas ni, biarlah hidup kita dilimpahi dengan kasih sayang pula ya?”
“Saya tak kisah la. Saya lebih suka macam ni.” Balas Mia.
“Thanks sayang.” Dicium lembut dahi itu.
“Awak, saya ada nak cakap something. Boleh?”
“Eh, sejak bila pandai minta izin dulu sebelum bercakap?” perli Muaz. Dipimpinnya Mia menuju ke sofa di ruang tamu rumah itu.
“Awak, saya minta maaf kalau apa yang saya bakal cakap ni buatkan awak kecewa.”
Ada reaksi bimbang di wajah Muaz. “Tak apa la. Cakap je. Abang akan dengar.” Apa sahaja yang bakal Mia katakan dia akan terima dengan hati terbuka walaupun perkara itu bakal mengecewakannya.
“Saya tahu niat awak nak kita berbaik macam pasangan suami isteri yang lainkan? Saya pun nak macam tu jugak..tapi…”
“Tapi apa sayang?” Muaz sudah mula cemas.
“Boleh tak kita mulakan sebagai seorang kawan?”
“Kawan? Maksud sayang?”
“Yela, kita berkawan dulu. Kita ikut step yang sepatutnya. Awak pun tahukan sebelum kahwin kita tak sempat kenal antara satu sama lainkan?”
“Kitakan dah kahwin sayang. Nak kawan apanya lagi?” tidak faham Muaz dengan permintaan Mia.
“Maksud saya peringkat. Peringkat dalam sesuatu hubungan. Kan saya nak kita mula dengan berkawan, I mean kita kena ikut rules sebagai seorang kawan la.” Bolehkah Muaz menerima usulnya ini?
“Maksud sayang, sayang nak kita layan antara satu sama lain macam seorang kawan melayan kawannya? Macam tu?”
“Ya.”
“Lebih tepat tak boleh tidur sekali? Tak boleh bersentuhan dan sebagainya?” Muaz mula ingin protes. Dia sudah mengerti apa yang Mia ingin dan maksudkan.
“Maksud saya tak boleh berlebihan la.” Betul ke apa yang aku buat ni.
“Ermm…abang faham maksud sayang. Kalau itu yang sayang mahukan abang ikut je. Abang nak angkat barang-barang sayang dalam kereta.” Muaz benar-benar terasa. Fikirnya Mia akan memulakan kehidupan barunya di sini sebagai isteri yang sebenar-benarnya. Rupa-rupanya Mia masih mahu mengelak.
Terkejut Mia apabila Muaz berlalu keluar dengan wajah yang nyata-nyata kecewa. Bukan niat Mia mahu lari dari tanggungjawab sebagai seorang isteri, tetapi dia perlukan masa.
“Jom abang tunjukkan bilik sayang.” Ajak Muaz sambil melangkah ke tingkat atas.
“Ni bilik sayang.” Muaz meletakkan beg pakaian Mia di tepi katil. Ini merupakan bilik utama. Mengikut perancangan Muaz, inilah bilik yang akan menjadi ruangan kasih buat mereka berdua setelah Mia pindah ke sini. Malangnya lain pula yang diminta oleh Mia. Dia hanya menurut.
“Besarnya bilik ni. Tak apa la. Saya duduk bilik lain pun tak apa. Awak memang tidur dekat sinikan?” Mia yakin dengan kenyataannya itu kerana terdapat barang dan pakaian Muaz di situ.
“Tak apa. Sayang tidur dalam bilik ni. Abang yang akan tidur bilik lain. Nanti abang kemaskan barang-barang abang.” Kata Muaz. Di wajahnya sudah tidak seceria tadi. Mia perasan akan perubahan itu. Bercakap pun sudah tidak mahu memandang wajahnya.
“Awak marah ke?” soal Mia pura-pura tidak mengerti.
“Abang pergi ambil barang sayang dekat bawah tu lagi.” Muaz tidak menjawab pun pertanyaan Mia itu. Dia bimbang emosinya tidak dapat dikawal. Bayangkanlah,dia sudah berangan mahu tinggal dengan Mia sebagai sepasang suami isteri yang bahagia. Tetapi lain pula yang jadi. Tidak mengapalah, Mia sudah mahu tinggal bersama dengannya pun sudah cukup baik.
“Maafkan Mia…” malangnya Muaz sudah berlalu pergi. Mia terduduk di atas katil itu. Adakah dia sudah mencipta jurang yang lebih besar antara mereka?
***
Malam itu Mia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Mungkin agak menyesal dengan permintaannya. Bagaimanakah perasaan Muaz ketika ini?
Muaz yang tinggal di bilik sebelah juga begitu. Hatinya teramat sedih ketika ini. Dia tidak mampu melelapkan mata langsung. Fikirannya hanya pada permintaan Mia siang tadi. Tanpa disedari, air mata Muaz mengalir membasahi pipinya. Pilu sekali rasanya.
“Maafkan Mia…” mahu sahaja diucapkan kalimah itu pada Muaz ketika ini. Tetapi dia pasti Muaz sedang kecewa.
***
Muaz benar-benar mengotakan apa yang dipinta oleh Mia. Walaupun masih menggunakan bahasa diri abang dan sayang, tingkah lakunya nyata-nyata sudah berubah. Mia rasakan mereka bukan sebagai sahabat, tetapi sudah seperti musuh.
Memang Muaz tidak memarahi atau berkasar dengannya, tetapi dia umpama ingin melarikan diri darinya.
Sudah hampir seminggu Mia di sini. Kadang kala dia berasa amat bosan kerana Muaz sudah tidak suka mengusik seperti dahulu. Dia hanya bercakap benda yang penting sahaja. Walaupun mukanya tidak menunjukkan seperti marah terhadapnya tetapi Mia dapat rasakan perubahan Muaz itu. Ketara sekali.
“Awak, saya nak cakap sikit boleh?” pinta Mia satu malam ketika mereka sedang menonton tv bersama-sama.
Apa lagi yang mahu disyaratkan oleh Mia kali ini. “Cakap la. Tak payah minta kebenaran.”
“Kenapa awak dah tak macam dulu?” pada mulanya Mia malas mahu memikirkan tentang perubahan sikap Muaz itu, tetapi hatinya menjadi tidak tenang selagi belum mendapat penjelasan dari mulut Muaz sendiri.
“Apa yang tak macam dulunya?” soal Muaz pula. Matanya tetap diarahkan ke kaca televisyen.
“Awak tipu. Awak dah berubah.”
Lantas Muaz memandang wajah isterinya itu. “Kenapa dengan Mia ni? Sayang yang nak kita jadi macam kawankan? Abang ikut la kata sayang tu.” Jelas Muaz.
“Memang la. Tapi kalau kawan mana ada bermasam muka macam kita ni.”
“Bila masa pulak kita bermasam muka?”
“Yela, memang la kita tak bergaduh atau apa-apa. Tapi awak dah jadi macam pendiam.”
“Kan sayang yang nak abang jadi macam ni?” Ada keluhan di hujung ayat itu.
“Saya rasa awak dah salah faham dengan permintaan saya ni. Kalau sebagai kawan pun kita masih boleh gelak sama-sama, gurau-gurau…tapi awak macam marah dekat saya.”
“Mana ada abang marah dengan sayang. Abang ok jela.” Nafi Muaz. Dia bukan marah sebenarnya. Dia cuma terasa hati dengan sikap Mia.
“Awak tipu…” masih ayat itu yang keluar dari bibir Mia. Tidak faham Muaz dibuatnya.
Lantas Muaz pun bangun dari tempat duduknya dan beralih ke arah isterinya itu. Dia melutut di hadapan isterinya yang seperti tadi masih duduk di atas sofa. Lalu memegang kedua-dua belah tangan Mia.
“Sayang…sayang nak macam mana sebenarnya?” rintih Muaz.
Sayu hati Mia mendengar pertanyaan Muaz itu. Rasa bersalah mula menyerbu dirinya.
“Saya minta maaf wak…” Mia tidak mampu menahan air matanya lagi. Semua ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap mementingkan diri berbanding perasaan Muaz. Teruk benar rasanya.
“Sayang…abang tak nak la tengok sayang menangis macam ni. Sekarang sayang cakap, sayang nak hubungan kita ni berlanjutan macam mana. Abang tak faham sayang. Abang rasa apa yang abang buat semuanya tak betul. Abang buntu.”
“Memang saya minta kita jadi kawan. Tapi lepas saya cakap macam tu saya rasa antara kita dah makin renggang. Bukannya makin baik.” Keluh Mia masih dalam tangisan.
“Sayang yang minta kita jadi kawan. Abang tak reti nak realisasikan watak tu macam mana. Apa yang abang tahu abang nak kita jadi suami isteri. Itu je.”
“Saya minta maaf…” pinta Mia lagi.
“Sudah la tu. Abang jugak jadi sedih kalau sayang terus macam ni. Abang minta maaf kalau layanan abang terhadap sayang selama di sini buat sayang sedih macam ni. Mungkin semuanya salah abang.”
“Tak, salah saya.”
“Ok la. Abang janji lepas ni abang akan ubah sikap abang ek? Kalau abang salah lagi, sayang tegur ya?” pinta Muaz. Kalau itu yang Mia mahukan dia akan buang sikap kecewanya terhadap Mia selama seminggu mereka berkeadaan seperti ini.
“Saya yang patutnya berubah…” Mia hanya mampu menundukkan wajahnya ke lantai. Tidak sanggup mahu memandang wajah sang lelaki.
“Sayang..abang tak nafikan bila tiba-tiba sayang nak abang layan sayang macam kawan abang rasa frust sangat. Abang tak faham apa sebenarnya yang sayang nak dalam hubungan kita. Abang jadi tak reti sayang tahu tak? Sayang macam nak main tarik tali dengan abang. Abang takut kalau abang terlalu mesra nanti sayang kata abang tak hormat permintaan sayang. Tapi hakikatnya jiwa abang terseksa sangat bila tak dapat nak melawak atau mengusik sayang macam selalu. Tapi abang takut abang tersalah langkah lagi.” Air matanya juga turut mengalir. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya mudah sangat tersentuh jika berhadapan dengan Mia. Dari seorang lelaki yang ego terus menjadi seorang suami yang mudah mengalirkan air mata. Biarlah jika Mia mahu mengatakan dia lemah. Dia sudah tidak kisah dengan semua itu.
Hati Mia bertambah sayu. Rasa bersalahnya sudah sampai ke kemuncak. Lalu dia cuba mencari sepasang mata sang suami untuk dilihat sejauh mana kebenaran kata-katanya itu. Yang jelas dimatanya hanyalah cahaya cinta. Dengan tiba-tiba Mia memeluk erat tubuh itu. Dia tidak sanggup untuk berkata apa lagi.
Muaz pada mulanya agak terkejut dengan tindakan drastik Mia. Tetapi akhirnya dia sendiri tenggelam dalam pelukan yang sungguh syahdu. Masing-masing melepaskan perasaan yang sudah lama tersimpan rapi di dalam hati. Air mata Mia juga masih belum mampu untuk berhenti.
“Sudah la yang. Tak nak nangis-nangis macam ni. Bengkak mata tu nanti.” Disapu air mata yang masih setia mengalir di pipi comel isterinya itu.
“Awak, saya tak nak teruskan permintaan tu kalau awak tak happy dengan semua ni. Saya yang kejamkan? Saya tak kisah kalau tidur sebilik dengan awak. Awak tak payah la tidur bilik sebelah tu ek?” pinta Mia. Memang tidak dinafikan walaupun ayat itu keluar dengan separuh rela, dia sanggup! Dia tidak mahu Muaz bermuram seperti ini. Hidupnya lebih terseksa.
Muaz merenung lama ke dalam anak matanya. “Sayang, dengar sini. Abang tau sayang masih belum bersedia dengan semua ni kan? Mungkin silap abang jugak sebab tak nak faham sayang. So, sekarang kita berkawan dulu ek? Nama saya Muaz Hasbi bin Dato’ Masyhur. Awak?” soal Muaz sambil menghulurkan salam perkenalan.
Terkejut Mia dengan Muaz. Ceria sungguh wajah itu tanpa sedikit pun rasa terpaksa. Mia terus menyambut huluran tangan itu. “Nama saya Nur Mia binti Saufi. Tak ada Dato’ tau.” Perli Mia ingin mengusik Muaz. Muaz hanya menjeling manja sahaja.
“Ok, secara rasminya kita dah berkawan.” Tersenyum lebar Muaz. “Boleh abang peluk sayang sebagai meraikan persahabatan kita ni?” sambung Muaz lagi.
“Eh, kawan mana boleh peluk-peluk.” Usik Mia lagi.
“Tak kira. Nak jugak.” Terus sahaja ditarik sekali lagi tubuh itu ke dalam pelukannya.
Lega Mia dengan perubahan itu. Muaz juga masih menghormati perasaannya. Jika benar Muaz bersetuju dengan cadangannya untuk tidur sebilik, tidak tahulah apa yang mahu dibuatnya. Mujurlah Muaz mengerti.
Malam ini kedua-duanya terlena tanpa dipaksa walaupun jasad mereka berada ditempat yang berasingan.
***
Kehidupan seharian mereka nyata-nyata berubah. Masing-masing sudah boleh bergelak-ketawa seperti dahulu. Walaupun masih ada yang terbatas, Mia bersyukur dengan semua ini. Dia sentiasa berdoa agar hubungan mereka akan lebih utuh dan mesra.
Bagi Muaz pula, biarlah Mia mahu menganggap hubungan mereka berdasarkan sepasang sahabat sahaja. Tetapi bagi dirinya mereka adalah pasangan suami isteri. Walaupun keinginan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami yang sebenar-benarnya masih tidak mampu dipenuhi, sekurang-kurangnya Mia dekat dengan jasad dan jiwanya. Dia percaya suatu hari nanti Mia pasti akan merelakan segalanya.
“Awak, nanti masa majlis bertunang Mira saya nak ikut dia balik kampung boleh?” soal Mia pada suatu pagi sebelum mereka melangkah keluar untuk ke tempat kerja.
“Dekat mana? Bila?”
“Taiping, Perak. Minggu depan la kiranya. Kan dah hujung bulan.”
“Jauh tu sayang. Tak tidur sana tak boleh? Nanti hari kenduri tu kita pergi la awal-awal pagi.” Cadang Muaz.
“Tapi saya dah janji dengan Mira. Saya ingat nak ambil cuti dari hari khamis tu. Hari rabu malam saya berangkat ke sana.” Dari dulu lagi dia sudah berjanji dengan Mira ingin membantu segala persiapan untuk majlis bertunang dan majlis pernikahan Mira. Begitu juga dengan Mira dahulu. Sentiasa ada dengannya saat Mia mahu bergelar isteri orang.
“Amboi, semangatnya. Nanti malam kita bincang lain. Jom pergi kerja. Abang hantar sayang ek?”
“Eh, tak apa la. Karang awak lambat ke tempat kerja pulak. Saya drive sendiri je.” Bantah Mia.
Muaz agak terkilan kali ini. Apa salahnya sekali-sekala dia ingin menghantar isteri sendiri ke tempat kerja. Dia tahu Mia seorang yang berdikari tetapi dia juga mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Ikutkan hati setiap hari dia mahu menghantar dan mengambil Mia di tempat kerja. Tetapi jangan haraplah. Mia tidak pernah memberi peluang itu kepadanya.
“Terpulang la. Abang pergi dulu.” Terus sahaja Muaz ingin berlalu pergi. Tetapi belum sempat dia melangkah, Mia menarik tangannya. Ingin bersalam seperti biasa. Dia tahu Muaz terasa hati dengannya. Dia cuma tidak mahu menyusahkan Muaz sahaja.
“Maafkan saya.” Itu sahaja yang mampu Mia ucapkan tatkala melepaskan jari-jemari Muaz.
Muaz pula hanya berlalu pergi.
***
“Mira, kau start cuti hari apa?”
“Hari selasa. Tapi pagi rabu baru aku balik kampung. Kenapa?”
“Ooo…yeke…aku ingat nak ikut kau sekali. Sebabnya hari khamis aku dah cuti.”
“Eh, awalnya kau nak ikut aku. Muaz tak kisah ke?” memang dia benar-benar mengharapkan kedatangan Mia seawal yang boleh sempena dengan majlis pertunangannya nanti. Tetapi dia faham kedudukan Mia sebagai isteri orang. Lagi pun Mia baru sahaja berpindah ke rumah Muaz.
“Ayat kau macam tak suka je aku nak ikut kau balik.” Mia seakan berjauh hati.
“Bukan macam tu maksud aku. Tapi Muaz tak kisah ke kau ikut aku awal-awal sangat ni?”
“Aku kan dah janji dengan kau dulu.” Ingat Mia.
“Yer, aku tahu. Tapi keadaannya dah berubahkan? Bukan aku tak kenal perangai kau tu. Kalau Muaz tak bagi pun mesti kau nak pergi jugakkan?” teka Mira.
Mia hanya terdiam. Sebenarnya Muaz belum memberi kata putus, tetapi dia sudah memaklumkan kepada Mira terlebih dahulu.
“Aku nak tanya kau ni. Muaz dah beri keizinan ke kau nak ikut aku balik kampung ni?” soal Mira lagi apabila Mia tidak menjawab soalannya tadi.
“Aku dah beritahu dekat dia yang aku nak ikut kau balik kampung..tapi…”
“Tapi apa?” Mira yakin mesti ada yang tidak kena.
“Dia tak bagi kata putus lagi sama ada benarkan atau tidak.” Sambung Mia ringkas.
“Aku dah agak dah. Aku bukan tak nak kau datang rumah aku awal-awal. Ikutkan hati aku ni, nak sangat kau ada di samping aku. Tapi aku tahu keadaan kau Mia. Aku tegaskan dekat sini, kalau Muaz tak izinkan kau ke kampung aku, aku pun takkan benarkan kau datang nanti. Ingat pesan aku.” Agak tegas ayat Mira itu.
Dia bukan tidak tahu dengan perangai Mia. Dan dia seakan yakin bahawa Muaz tidak membenarkan Mia mengikutinya terlalu awal. Mira faham benar dengan sikap Muaz yang masih mahu bermanja dengan sahabatnya itu. Mia pula bukan tidak mengerti tetapi sengaja buat-buat tidak faham.
“Tak apa la kalau kau kata macam tu.” Terus sahaja Mia meletakkan telefon. Dia benar-benar terasa hati dengan Mira. Dia merasakan bahawa semua orang hanya memikirkan perasaan Muaz sahaja.
“Mia…Mia…aishh dia ni. Merajuk la ni. Biarlah…” bukan Mira mahu bersikap kejam dengan Mia, tetapi dia tidak mahu kerana dirinya, hubungan suami isteri itu akan bertambah renggang pula.
***
Muaz yang sedang termenung di bilik pejabatnya tidak mampu berkata apa-apa lagi. Kadang kala pening dibuatnya memikirkan hal isterinya yang seorang itu. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi untuk menambat hati insan bernama Nur Mia.
Apa lagi yang tidak kena dia pun tidak tahu. Jika masa yang menjadi alasan Mia, rasanya sudah terlalu lama waktu yang diambil oleh Mia untuk menerimanya sebagai seorang suami pada zahir dan batinnya.
Kejujuran sebagaimana rupa lagi yang Mia mahukan dari dirinya. Muaz rasakan Mia adakalanya langsung tidak memikirkan perasaannya sebagai seorang suami yang perlukan perhatian dan belaian dari seorang isteri. Dia bukan jemu untuk terus menunggu, tetapi jika dirinya sahaja yang berusaha untuk memulihkan hubungan mereka mana mungkin perkara itu akan terjadi.
Dia tahu dan sedar akan kesilapan yang pernah dilakukannya dahulu. Memang benar bibir Mia mengatakan yang dia sudah memaafkan segala kesilapan lalu. Tetapi tindakannya tidak langsung menunjukkan kata-katanya itu adalah lahir dari keikhlasan. Hina rasanya apabila diri umpama tiada kepentingan di mata Mia.
Apabila memikirkan perkara yang Mia bangkitkan sebelum mereka ke tempat kerja tadi, Muaz menjadi serba-salah. Jika dia tidak membenarkan adakah Mia akan mengatakan bahawa dia cuba mengongkong kehidupan peribadinya? Tetapi dia punya hak sebagai seorang suami.
Andainya dia membenarkan, dia akan berjauhan dengan isterinya lagi. Bukan dia tidak mahu memberi kebebasan kepada Mia, tetapi dia sangat mengharapkan perhatian dari Mia ketika ini. Mereka baru sahaja tinggal sebumbung, kini Mia seperti cuba mencari jalan untuk melarikan diri darinya.
“Apa aku nak buat ni? Tak payah la bagi dia pergi. Tapi, kalau aku tak bagi nanti dia merajuk pulak. Aishh, apa nak buat ni. Kenapa sayang buat abang macam ni?” Serabut kepalanya.
***
“Sayang…mari sini sekejap.” Panggil Muaz apabila melihat Mia ingin melangkah ke tingkat atas. Mungkin mahu menunaikan solat isyak.
Sejak pulang dari tempat kerja, wajah Mia muram sahaja. Sebenarnya dia masih marah dengan kata-kata Mira siang tadi. Dia merasakan bahawa Muaz adalah penyebabnya.
Dengan langkah yang lemah, Mia menurut sahaja. Muaz menarik tangan itu agar duduk berhampiran dengannya. Senang sedikit mahu berbicara.
“Kenapa?” soal Mia.
“Kenapa muka sayang muram je ni?” soal Muaz pula sambil mengusap pipi kanan Mia. Dia perasan dengan reaksi isterinya semenjak dia pulang dari kerja tadi. Di meja makan pun Mia hanya diam sahaja. Tanya sepatah jawab sepatah. Pelik Muaz.
“Awak nak cakap apa sebenarnya ni?” malas Mia mahu melayan pertanyaan Muaz itu. Ditepis tangan Muaz yang sedang mengusap-usap wajahnya. Ini semua kerana Muaz. Kalau tidak, pasti Mira tidak akan kata begitu.
“Kenapa nak marah-marah ni? Abang ada buat salah ke?” apa lagi kesalahan yang dilakukannya sehingga Mia marah sebegini rupa.
“Cepat la cakap apa yang awak nak cakap. Kalau tak saya nak naik atas.”
“Ermm..abang nak cakap pasal kenduri Mira tu. Sayang nak pergi, pergi la. Abang izinkan.” Balas Muaz. Walaupun dia tersentap dengan sikap isterinya di kala ini, biarlah disembunyikan perasaan itu dari pengetahuan Mia.
“Tak payah la. Saya malas nak pergi.”
“Eh, kenapa pulak? Betul, abang ikhlas izinkan sayang pergi lebih awal.” Pelik Muaz.
“Tak kira la ikhlas ke tidak. Saya cakap tak nak pergi, tak nak la.” Bantah Mia lagi. Tiba-tiba hatinya menjadi panas kembali.
“Sayang, kenapa ni?” dipegang kedua-dua bahu Mia.
“Ish, tepi la. Disebabkan awak la semuanya jadi macam ni.” Mia sudah bangun berdiri.
“Astaghfirullahala’zim…kenapa ni Nur Mia? Tiba-tiba nak marah abang ni? Abang buat silap apa lagi ni?” soal Muaz bertalu-talu. Tetapi dengan nada yang lembut sahaja. Dia sudah letih untuk bertekak. Tambahan pula dia tidak tahu di mana puncanya Mia menjadi semarah ini.
“Disebabkan awak la semua orang macam marah dengan saya. Semua orang macam tuduh saya la penyebab hubungan kita jadi keruh. Padahal awak la puncanya.” Tuduh Mia lagi. Sebenarnya dia sudah hilang kawalan. Perasaannya sudah dikuasai oleh hasutan jahat.
“Ya Allah…sayang cakap apa ni? Sebab apa sayang jadi macam ni? Cuba cerita dengan abang. Kita bawak berbincang. Jangan marah-marah macam ni. Mari sini…” Muaz ingin mencapai lengan Mia supaya berdiri dekat dengannya. Apalah yang telah merasuk isterinya itu.
“Jangan pegang-pegang saya la.” Tengking Mia lantas berlari ke atas.
Terduduk Muaz dibuatnya. Ujian apa ini Ya Tuhan?
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment