Lima minit sebelum ke angka sepuluh pagi, Muaz sudah tersedia menunggu di hadapan pagar rumah sewa mereka. Dia memberi salam, lalu Mia menjenguk ke arah luar dengan mengisyaratkan agar Muaz menunggunya sebentar. Kelam-kabut dibuatnya. Sebentar tadi dia baru sahaja selesai menyidai pakaian di belakang rumah.
“Adoii…tu la..orang suruh datang pukul 12 tak nak. Aku yang kelam-kabut cam ni.” Masih sempat Mia membebel. Mira pula entah ke mana perginya. Takkan sudah berdating dengan orang sebelah kot.
“Mira…Mira…aku nak pergi dah ni.” Laung Mia.
“Yer…aku dalam bilik la.” Jawab Mira.
Tanpa berlengah Mia bergerak ke bilik Mira.
“Weyh, aku ingatkan kau dah berdating dengan orang sebelah, rupanya tidur.”
“Aku ngantuk la Mia. Semalam tidur lewat. Aku tengok movie sampai pukul 2 pagi tau. Kau dah nak keluar ke? Amboi, cantik bukan main.” Dalam keadaan mamai pun masih ada hati mahu mengusik Mia.
“Kau jangan nak ngada-ngada la Mira. Macam tak biasa tengok aku pakai macam ni.Ok la, aku pergi dulu ek? Kau nak pesan apa-apa tak?”
“Ermm..ada..aku nak pesan jangan tak balik rumah pulak yer? Hehehe…”
“Ish kau ni…aku cubit karang. Kalau kau nak apa-apa call je aku ek?” pesan Mia lagi. Kasihan pula dengan Mira yang akan tinggal di rumah keseorangan.
“Yela, pandai-pandai la aku. Pergi la cepat. Kang merajuk lak laki kesayangan kau tu. Kirim salam dengan dia ek?”
“Ok. Bye Mira. Assalamualaikum.” Lalu Mia beredar ke luar rumah.
***
“Silakan tuan puteri yang comel.” Muaz sudah tersedia membuka pintu di sebelah penumpang. Lalu mempelawa Mia masuk ke dalamnya.
Selepas menutup pintu untuk Mia, Muaz bergerak pantas ke tempat pemandu. Dengan penuh senyuman di bibir, Muaz menatap wajah lembut milik isterinya.
Mia menghulurkan tangan ingin bersalam dengan Muaz. Yang Muaz pula hanya buat tidak faham sahaja. Sengaja dia ingin melihat reaksi Mia yang seterusnya.
Apabila huluran tangannya tidak bersambut Mia ingin menarik kembali tangannya. Tetapi dihalang oleh Muaz. Merah padam muka Mia dibuatnya.
‘Dia ni kan sengaja nak kenakan aku pagi-pagi ni. Aku cancel ikut dia kang baru tahu.’
Tanpa memandang wajah Muaz, Mia mencium tangan lelaki itu. Muaz pula pantas mencium dahi Mia. Bahagia sekali rasanya.
“Sayang dah sarapan? Kalau belum kita singgah mana-mana dulu.” Muaz sendiri sudah bersarapan di rumah sebentar tadi walaupun seleranya sudah hilang. Maklumlah, ingin keluar bersama dengan insan tersayang. Buat apa pun tidak menjadi. Hatinya teringat akan Mia sahaja. Parah…parah…
“Ermm..dah. Saya dah makan roti bakar tadi. Kenyang dah.” Jawab Mia ringkas. Kalau boleh dia tidak mahu ada sebarang persengketaan antara mereka berdua hari ini.
“Roti bakar je? Kenyang ke? Kalau abang confirm tak kenyang.”
‘Memang la tak kenyang, awak tu kan tenuk. Mana cukup roti bakar je.’ Mia sudah tersenyum-senyum.
“Ermm…sayang ada mengutuk abang ke kat dalam tu?” Muaz bagai dapat merasai apa yang sedang berlegar di fikiran Mia sekarang.
“Kat dalam mana?” soal Mia pula buat-buat tidak faham. ‘Dia ni tahu je kalau aku kutuk dia.’
“Kat dalam hati tu la.”
“Mana ada. Eh, bawak la laju sikit. Kalau slow macam ni bila nak sampainya.” Mia sengaja menukar topik perbualan.
“Abang rasa macam tak boleh nak drive bila sayang ada sebelah abang.” Gatal pula si Muaz ni. Mula la nak mengayat tu.
“Kalau macam tu biar saya yang drive. Awak duduk sebelah.” Mia memberi cadangan. Dia malas mahu melayan perangai Muaz yang menggatal sentiasa.
“Ermm…boleh. Tapi abang rasa tak payah la…”
“Kenapa pulak? Tak percaya yang saya ni boleh memandu dengan baik ke?”
“Eh, bukan. Abang risau kalau sayang pun tak boleh nak drive jugak.” Muaz masih bermain kata-kata dengannya.
“Kenapa pulak?” tidak puas hati Mia dibuatnya. Takkan tak percaya yang aku ni boleh memandu walaupun kereta dia ni lebih besar dari kereta aku.
“Ermmm…abang kalau sayang yang drive dan abang duduk di sebelah sayang, abang takkan tengok jer sayang…” sengaja Muaz menggantungkan ayat itu. Biar Mia mentafsirkan sendiri.
‘Haaa…aku dah faham. Kurang asam betul la mamat ni. Seram aku dengar.’ Mia memalingkan wajahnya keluar.
“So, sayang nak bawak jugak ke?” Muaz sudah tergelak-gelak kecil.
“Tak apa la. Terima kasih jer.” Sebaik sahaja ayat itu keluar dari bibir Mia, Muaz ketawa puas hati.
“Ala, abang gurau je. Pandang la muka abang ni. Tengok luar tu bukan ada apa pun.” Rengek Muaz pula. Entah ke mana la Muaz memandu. Mia masih tidak mahu memandang wajah Muaz. Geram apabila diusik seperti itu.
“Yela, abang tau la muka abang ni macam tenukkan. Tak hensem…tak ada harta…sob..sob..sob..” Muaz mengusik Mia lagi.
Terasa bersalah juga Mia dibuatnya. Suami sendiri digelarnya tenuk. Teruk betul aku ni. Lalu dipandang wajah Muaz.
“Maafkan saya. Saya tak sengaja panggil Encik Muaz macam tu.” Lalu Mia menundukkan wajahnya. Benar-benar terasa bersalah.
“Hey…look at me sayang. Abang tak marah sayang la. Tapi abang terasa la jugak bila sayang panggil abang macam tu. Kalau panggil kucing ke, arnab ke..ok la jugak. Comel pun comel. Ini panggil tenuk. Ya ampun….hehehe.” Muaz mahu menceriakan suasana kembali. Dia mengusap-usap kepala Mia. Sebenarnya dia tidaklah berasa hati sangat dengan panggilan itu. Tetapi tidak baik menyamakan manusia dengan binatang.
“Saya minta maaf…” Mia masih mahu memohon maaf.
“Ok..ok..abang maafkan sayang. Tapi dengan satu syarat.” Muaz mencapai tangan Mia pula. Mia pantas memandang seraut wajah Muaz yang tidak lekang dengan senyuman.
“Abang tak nak sayang panggil abang dengan panggilan ‘encik’ dah. Asing betul bunyinya. Ini pun papa tak tahu. Kalau papa tahu lagi teruk abang kena leter tau. Boleh janji dengan abang tak?” pinta Muaz. Setiap kali perkataan ‘encik’ itu keluar dari mulut Mia, dia bagaikan dijatuhi hukuman yang amat berat. Tetapi dia tidak boleh menyalahkan Mia sepenuhnya. Ini semua berpunca dari sikap buruknya dahulu.
“Ermmm…dah tu saya nak panggil apa? Saya dah terbiasa.” Jawab Mia pula. Bayangkan sejak mereka berkahwin lagi Mia sudah memanggilnya dengan panggilan itu. Mahu mengubahnya secara tiba-tiba bukan perkara mudah.
“Panggil ‘abang’ boleh?” pinta Muaz lagi.
“Ermm…saya tak biasa. Saya panggil ‘awak’ je boleh?”
“Ok la…tapi janji dengan abang yang sayang akan usaha untuk ubah panggilan tu kepada yang lebih mesra ya? Abang tahu ni semua salah abang.” Muaz pula tiba-tiba menjadi muram.
“Saya janji..saya akan usaha.” Sudah lama Mia ingin memanggil Muaz dengan panggilan yang lebih manja, tetapi dia tidak diberikan pilihan sebelum ini.
“Kita nak pergi mana ni awak?” Mia cuba membawa Muaz ke dalam suasana yang lebih ceria semula. Hatinya tidak tenang apabila melihat wajah Muaz yang sedikit keruh berbanding tadi.
Bagaikan diberi nafas baru, Muaz mampu tersenyum semula. Dia juga memohon agar ini merupakan titik permulaan bagi kebahagiaan rumahtangga mereka yang telah lama dibina.
“Rahsia.” Muaz menggenyitkan matanya pada Mia.
“Rahsia? Mana aci macam ni. Bagi la tahu…” rayu Mia.
“Abang kata rahsia, rahsia la. Cubit kang.” Muaz mulai mesra kembali.
“Kalau awak cubit saya, saya kasi tahu baba.” Ugut Mia pula. Dia sudah mampu menyesuaikan diri dalam keadaan mereka sekarang. Biarlah dibuang egonya perlahan-lahan.
“Bagi la tahu. Ingat abang takut? Nanti baba cakap apa tau, ‘Muaz cubit jela Mia tu. Sebab dia memang degil sangat sekarang ni. Nak buat lebih dari tu pun baba tak kisah’…Haa…macam tu la baba cakap nanti.”
“Eleh, pandai-pandai je. Macam nujum pak belalang pulak boleh teka-teka ek?”
“Abang lebih hebat dari nujum pak belalang tu tau.” Muaz berbangga.
“Perasan. Kalau awak hebat sangat cuba teka saya pakai beg tangan jenama apa hari ni?” Mia sudah menyorokkan beg tangannya disebalik tudung yang dipakainya.
“Ermm…dari firasat abang yang sentiasa betul ni abang rasa sayang pakai beg tangan jenama….ermm…LV.”
“Eh, mana awak tahu ni?” pelik Mia. Bagaimana Muaz boleh tahu tentang jenama beg tangan yang sedang dipakainya.
“Ha..kan abang dah cakap yang abang ni lebih hebat dari nujum pak belalang tau. Hahaha…” Padahal Mia terlupa akan satu perkara. Beg tangan yang sedang dibawa oleh Mia itu adalah salah satu dari barang hantaran yang diberi oleh pihak lelaki semasa majlis pernikahan mereka dahulu. Kak Myra yang memilih semua itu. Maklumlah, ketika itu hatinya tidak ada untuk menyediakan semua keperluan untuk majlis perkahwinan mereka.
“Awak tipu. Awak main tembak je kan?” Mia masih tidak mempercayai semua itu.
“Laa…betul la sayang. Kalau sayang nak suruh abang teka warna pakaian sayang hari ni pun abang boleh teka dengan tepat tau.”
“Yang tu memang la awak boleh teka sebab awak nampak baju warna apa yang saya pakai. Itu budak darjah satu pun boleh teka tau.”
“Tapi abang boleh teka yang dalam-dalam sekali tau. Hebat tak abang?” rupanya Muaz mahu mengenakan dirinya lagi.
Terbeliak mata Mia mendengarnya. Dengan pantas jarinya mengetip lengan kiri Muaz sekuat hati.
“Auuu….bisanya. Oo…dah pandai cubit-cubit abang ek. Bagi tahu papa.” Muaz sudah membuat muka sedihnya.
“Ngadu la. Anak manja…” Puas hati Mia. Sebenarnya dia tiada niat mahu mencubit lengan Muaz. Tetapi tindakan itu terjadi tanpa dirancang. Malu juga dengan perlakuannya yang terlepas laku itu.
“Wawawa….sayang buli abang. Abang nangis la macam ni.”
“Awak tu yang ngada-ngada sangat. Sape suruh gatal-gatal.” Geram Mia.
“La…dengan isteri sendiri mana boleh pakai istilah gatal tau.” Muaz mencuit hidung Mia.
“Dah la….malas layan awak.” Mia pura-pura merajuk.
“Abang macam terbau-bau la ada orang merajuk. Kat mana bau ni ek? Sayang tolong check untuk abang kejap. Ke dalam beg tangan sayang tu. Beg tangan mahal la katakan. Cuba tengok sekejap.” Muaz hanya menahan tawa sahaja. Manja betul isterinya ini. Tidak boleh diusik sedikit.
Sekali lagi Muaz menjadi mangsa. Kali ini pahanya pula menerima tamparan Mia. Sekali lagi jugalah Muaz mengaduh kesakitan.
“Abang rasakan, mesti papa hairan nanti. Keluar rumah, hensem dan bergaya bukan main. Tapi bila balik rumah papa tengok anak muda dia yang kacak ni dah lunyai. Lebam sana, lebam sini.”
“Awak….” Mia sudah mahu menangis. Muaz tidak habi-habis mengusiknya.
“Ololo….dia dah nak nangis la. Meh sini sayang abang ni.” Ditariknya tubuh Mia lalu menyembamkan wajah itu pada dada bidangnya. Mujurlah mereka sedang berhenti di lampu isyarat. Jika tidak, tindakan itu akan membahayakan pemanduan Muaz.
Kerana bimbang dengan tindakan Muaz yang akan membahayakan mereka, Mia menarik tubuhnya ke tempat asal. Dia sendiri tidak mengerti mengapa hatinya mudah sangat tersentuh dengan setiap usikan Muaz.
“Sayang marah abang ke?” soal Muaz sambil meneruskan pemanduan.
“Kita nak pergi mana ni awak?” soal Mia lembut. Biarlah hal sebentar tadi. Perkara kecil sahaja. Mungkin dia yang terlalu sensitif.
“Abang cakap rahsia la.” Muaz tetap tidak mahu memberi tahu hala tuju perjalanan mereka hari ini.
“Simpan la rahsia awak tu sorang-sorang. Tak hingin saya nak tahu dah.”
“Ok, kita sebenarnya nak pergi….”
“Pergi mana?” teruja pula Mia ingin tahu.
“Eh, tadi kata tak nak tahu?”
Malu Mia dibuatnya. Dia memang teruja ingin mengetahui ke mana arah perjalanan mereka. Dari tadi Muaz asyik berahsia sahaja. Tetapi dari gaya Muaz, Mia dapat rasakan destinasi mereka bukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
“Sekejap lagi sayang akan tahu ek? Sabar tau.” Pujuk Muaz. Bukan dia tidak mahu memberitahu Mia. Cuma dia bimbang Mia tidak akan bersetuju dengan cadangannya nanti.
“Yela, saya ni penyabar orangnya. Bukan macam orang tu...gelojoh…gelabah tak tentu pasal..” Mia sengaja memerli Muaz. Tadi seronok sangat mengenakan orang. Sekarang rasakan.
“Sayang pernah kena gigit tak? Nak rasa tak?” Muaz sedar Mia sedang menyindir dirinya.
“Pernah, masa kecik-kecik dulu.” Mia tahu Muaz sedang menahan rasa geram.
“Nasib baik abang tengah drive. Kalau tak…” Kalau tidak memikirkan dirinya yang sedang memandu, sudah lama di’kerja’kan Mia. Bab menyindir serah saja pada si Mia. Cukup manis dan masinnya.
Menyedari kemenangan berpihak pada dirinya, Mia menjelirkan lidah pada Muaz. Puas hatinya. Muaz yang geram dengan tindakan itu mencucuk pinggang Mia. Apa lagi, menjeritlah dia.
Tidak lama selepas itu, Mia terpandangkan papan penunjuk arah yang tertulis ‘Cameron Highland’. Dan Muaz melalui jalan itu.
“Awak, kita nak pergi Cameron Highland ke?”
Muaz hanya tersenyum sahaja.
“Betul ke awak?” soal Mia tanpa henti. Walaupun dia sudah yakin dengan jawapannya.
“Rasa-rasa sayang?”
“Awak, jauh la. Nanti kita lewat pulak nak balik.”
Muaz sudah dapat mengagak. Inilah reaksi Mia apabila mengetahui destinasi yang akan mereka pergi hari ini. Itulah sebab dia tidak mahu memaklumkan kepada Mia terlebih dahulu. Ada sahaja alasannya. Seperti berjalan dengan orang lain pula. Padahal dengan suami sendiri. Apa la yang nak dibimbangkan sangat.
“Sayang, sayang keluar bukan dengan orang lain tau. Dengan suami sayang sendiri. Kalau tak balik pun bukan masalah bagi sesiapa. Tak ada sapa nak marah tau.”
“Kesian dekat Mira tinggal sorang-sorang.” Itu sahaja alasan yang Mia ada.
“Itulah sayang…asyik guna alasan yang sama je. Mira tu faham dengan keadaan kita. Sayang yang risau tak bertempat.”
“Tapi…”
“Tak pela kalau sayang tak nak pergi. Kita patah balik la. Abang hantar sayang balik terus.” Rajuk Muaz. Mia seperti tidak memahami perasaannya langsung. Pelbagai alasan yang dicipta untuk mengelak dari berdua-duaan dengannya. Fikirnya Mia sudah dapat menerima diri ini sepenuh hati. Tetapi…
Raut wajah Muaz sudah bertukar keruh semula. Sudah pandai merajuk suaminya ini. Dia bukan tidak mahu berdua-duaan dengan Muaz tetapi dia takut untuk memikirkan perkara yang lebih jauh akan terjadi antara mereka.
“Awak…” panggil Mia lembut. Dia tahu Muaz sedang marahkan dirinya. Panggilannya juga langsung tidak berjawab.
“Sayang tak payah la risau. Kalau dah tak nak pergi abang tak nak paksa. Abang ingatkan sayang tak kisah pergi mana pun dengan abang, rupa-rupanya…” Muaz malas mahu menghabiskan ayat itu. Hatinya yang melonjak gembira sebentar tadi, menjadi sedih kembali.
“Bukan saya tak nak pergi tapi…” ‘Apa alasan aku nak bagi ni ek? Alamak, merajuk-rajuk yang aku malas ni.’
“Dah la. Tak payah nak penatkan otak tu cari alasan. Abang faham…” jauh hati benar rupanya. Bukan dia sengaja mahu merajuk, tetapi sikap Mia yang langsung tidak mahu memberi peluang kepada dia untuk membetulkan kesilapan lalu benar-benar membuatkan Muaz kecewa.
“Nanti kita rancang awal-awal ek? Kita ajak Mira sekali. Family kita yang lain pun boleh join jugak. Ok?” Mia cuba memujuk. Tetapi pujukan itu bukan melegakan hati Muaz, malah menambahkan kekecewaan yang mula hinggap di hatinya.
Muaz bertindak mendiamkan diri. Ikutkan haknya sebagai suami Nur Mia, boleh sahaja dia memaksa Mia mengikut apa sahaja katanya, tetapi paksaan bukan jalan yang terbaik buat masa ini. Biarlah dia sahaja yang menanggung kesedihan ini, Mia sudah jenuh melaluinya.
“Awak, jangan la diam je…” Kata Mia lagi. Buntu dibuatnya apabila Muaz langsung tidak memandang wajahnya seperti tadi. Suaranya juga bagai sudah hilang dibawa arus lalu.
“Abang cakap apa pun semua tak betul pada sayang. Jadi, tak payah la abang cakap apa-apa.” Balas Muaz lembut.
“Jangan la cakap macam tu. Saya rasa…” Ish, buat perangai pulak dia ni. Aku nak pujuk macam mana lagi.
Direnung wajah Muaz yang masam mencuka. “Dah la tua, merajuk pulak tu. Lagi nampak tua tau muka tu. Nanti kalau orang tengok saya berjalan sebelah awak mesti diorang cakap, “e’eh…macam anak dengan ayah”. Hehehe…”
Muaz buat tidak peduli sahaja dengan gurauan Mia itu. Katalah apa pun. Hatinya benar-benar terluka saat ini. Matanya hanya ditumpukan pada jalan raya sahaja.
‘Ish…kenapa dia tak respond pun…selalu tu bukan main suka lagi kenakan aku balik.’ Mia masih belum berjaya memujuk Muaz.
Bila memikirkan tiada jalan lain untuk memujuk Muaz, Mia harus akur dengan semua ini. ‘Think positive Nur Mia! Dia suami kau. Bukan lelaki yang tiada apa-apa ikatan dengan kau. Kau kena usaha juga untuk baiki hubungan kamu berdua. Bukan mengharapkan Muaz sahaja.’ Hati kecilnya berkata-kata.
“Awak…tak pela. Kita pergi jela tempat yang awak nak pergi tu. Saya ikut je. Tapi kita balik hari ni jugak tau?” soal Mia. Tetapi Muaz masih seperti tadi. Kaku di tempat duduknya.
“Awak..dengar tak saya cakap ni? Saya ikut je…” Sudah bersetuju pun masih mahu merajuk ke Muaz ni. Aku tarik balik kata-kata tu baru tahu.
“Tak pela. Kita balik je.” Kata Muaz ringkas. Sudah tiada hati dia ingin meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju.
“Saya tahu awak marahkan saya. Saya ikhlas ni…” ujar Mia lagi. Salahnya juga. Cepat sangat menolak sesuatu pelawaan Muaz tanpa berfikir baik dan buruknya.
Ditenung lagi wajah Muaz. Tetapi Muaz langsung tidak sudi memandang wajahnya.
“Saya ikhlas…” dengan penuh keberanian, Mia menyentuh lengan Muaz sebagai tanda dia benar-benar ikhlas mahu mengikuti rancangan Muaz.
Terkejut Muaz dibuatnya. Tetapi dia masih tidak memandang wajah itu. Ikutkan hati mahu sahaja dibalas sentuhan itu, tetapi dia mahu menguji sejauh mana Mia akan memujuknya.
“Awak…saya ikhlas ni…awak jangan la macam ni…” diusap-usap lengan Muaz. Lalu dia menyentuh pula jari-jemari Muaz yang kejap memegang stereng kereta.
Mahu sahaja Muaz menghentikan kenderaannya sekarang. Dia mahu mendakap tubuh isterinya itu. Inilah pertama kali dia menerima layanan seperti ini dari Nur Mia. Hatinya benar-benar terpujuk kini.
“Betul ikhlas? Bukan terpaksa?” soal Muaz lalu memandang wajah Mia.
“Betul…saya nak ikut awak..” Mia juga turut membalas pandangan itu.
“Tak risaukan Mira?” sengaja Muaz ingin melihat reaksi Mia.
“Tak…” Perli aku la tu.
Muaz terus menggenggam jari-jemari Mia lalu dibawa ke mulutnya. Dicium penuh kasih jemari isterinya itu.
Mia yang mula menggelabah dengan tindakan Muaz itu, terus menarik tangannya perlahan-lahan. “Bahaya la…awak tengah bawak kereta.” Alasan yang sangat melucukan bagi Muaz.
“Ok, kita teruskan perjalanan kita. Sebab memang kita tak boleh nak u-turn dah.” Ujar Muaz sambil menayangkan barisan giginya pada Mia. Mood cerianya datang kembali.
Mia yang pada mulanya tidak berapa perasan akan maksud ayat itu, akhirnya menyedari ada sesuatu yang tidak kena. “Apa maksud awak yang kita memang tak boleh nak u-turn dah?”
“Sayang, ni highway. Mana boleh suka-suka hati nak patah balik.” Balas Muaz tanpa rasa bersalah.
“Maksud awak, tadi tu awak sengaja mereka-reka ayat la yang kita boleh berpatah balik?” Mia yakin kali ini Muaz berjaya mengenakan dirinya untuk kesekian kali.
“Entah…” Muaz menjungkitkan bahunya. Sengaja pura-pura tidak tahu.
“Awak…” Panggil Mia agak lantang.
“Yer sayanggggg….” Jawab Muaz manja.
Tanpa sepatah kata, Mia menampar bahu Muaz berkali-kali. Geram dibuatnya. Sudah la sehabis mungkin dia mengeluarkan ayat yang ‘power-power’ untuk memujuk Muaz, rupanya Muaz sengaja mahu mentertawakan dirinya.
“Aauuuu..sakit sayang. Dah la…abang tengah drive ni.” Rayu Muaz. Tangan kirinya cuba menahan tamparan Mia yang bertalu-talu itu, tetapi tidak berjaya kerana Muaz harus menumpukan kepada pemanduannya.
“Tak kira. Sapa suruh awak kenakan saya.” Kini peha Muaz pula yang menerima tamparan yang bertalu-talu.
“Sayang…ampun…ampun…” Rayu Muaz. Pedih sekali tamparan itu.
“Puas hati saya. Lain kali buat lagi. Saya gunting telinga awak.”
“Mak aii..garangnya isteri abang ni.” Lega Muaz apabila Mia menghentikan perbuatannya itu. Digosok-gosok peha dan bahunya yang pedih dek tamparan Mia.
“Biar la…”
“Jangan la marah-marah..nanti nampak lagi tua…bila orang nampak jer abang jalan sebelah sayang orang akan cakap, “macam cucu dengan nenek jer”. Mia sudah menjeling Muaz.
“Diam la…” Marah Mia.
“Ok…ok…abang diam..abang akan cakap dengan stereng kereta, dengan pintu kereta….dengan lampu kereta ni jer tau?”
Mia yang masih geram dengan kenakalan Muaz itu, terus memandang keluar. Lagi dilayan, lagi menjadi la jawabnya.
Muaz mencuit pipi kanan Mia. Mia bertindak pantas dengan menepis tangan Muaz pula. Begitulah sepanjang perjalanan menuju ke destinasi pilihan Muaz. Tidak habis dengan senda-gurau Muaz yang sentiasa ingin mengusik isterinya itu.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment