Selama Muaz terlantar di hospital, Elisa tidak pernah datang melawatnya. Muaz agak berkecil hati. Muaz terus mencapai telefon bimbit untuk menghubungi buah hatinya itu.
“Hello Elisa. Ke mana you menghilang ni?” Muaz terus menyoal Elisa. “Eh, Muaz. Sorry la, I sibuk sikit la sekarang.” Elisa cuba memberi alasan untuk menyelamatkan dirinya.
“Sampai hati you. Selama I sakit ni you tak pernah datang melawat I pun.” Muaz terus berasa hati dengan sikap Elisa. “Ala, I bukan tak nak datang tengok you tapi perempuan tu ada je dengan you. Mana I ada peluang nak pergi jenguk you sayang.” Elisa mereka-reka alasan lagi.
“Ala, you datang jela. Bukan dia boleh kata apa pun. I yang berkuasa.” Betapa egonya Muaz.
“You dekat mana sekarang? Nanti I datang lawat you.” Elisa cuba meyakinkan Muaz.
“I dekat apartment la. Datang ya? I tunggu.” Muaz bersuara manja.
“Dekat rumah you? Tak nak la. Apa pulak kata perempuan tu nanti.” Elisa tidak mahu menambahkan masalah yang sedia ada.
“Kan I dah bagi tahu you, jangan kisah tentang perempuan tu.” Suara Muaz agak meninggi. Runsing hatinya apabila memikirkan soal Mia. Terselit perasaan kesal jauh di lubuk hatinya.
“Okay la, I datang tapi you janji dan pastikan perempuan tu tak akan apa-apakan I. Okay sayang?” Elisa ingin memastikan dirinya selamat ketika berada di apartment Muaz. Ikutkan hatinya tidak berapa mahu untuk menjenguk Muaz. “I jamin you tak akan diapa-apakan.” Muaz tersenyum puas.
***
“Mana perempuan ni?” Muaz mengeluh kerana dia ingin ke bilik air untuk mandi. Walaupun dia sudah mampu untuk bergerak sendiri, hatinya masih ragu-ragu untuk bergerak begitu banyak. Ngilu di perutnya masih bersisa. Sekurang-kurangnya jika ada yang membantu kurang sedikit pergerakannya. “Mia…Mia…” Jerit Muaz.
‘Dia panggil aku ke? Apa lagi yang nak dimarahkan.’ Agak kusar hati Mia ingin bertentang mata dengan Muaz. Hatinya masih kecewa dengan perbuatan Muaz yang lepas. “Ya Encik Muaz!” Mia menjenguk ke bilik Muaz.
“Tolong aku ke bilik air.” Pinta Muaz dengan wajah yang agak mencuka. Wajah Mia tidak dipandangnya. Tanpa berlengah Mia memimpin Muaz ke bilik air. Mujurlah bilik air sudah tersedia di dalam bilik Muaz. Jadi tidak perlulah Mia menahan berat tubuh Muaz begitu lama.
‘Boleh patah pinggang aku macam ni.’ Dengan saiz tubuh Mia yang kecil agak menyukarkan Mia mengimbangi berat tubuh mereka berdua.
“Dah, kau tunggu dekat luar. Kalau aku nak keluar karang aku panggil kau.” Arah Muaz lagi. Sebenarnya Muaz masih tidak mampu untuk mandi sendirian. Balutan di perutnya harus dijaga supaya tidak terkena air. Tetapi untuk meminta pertolongan dari Mia amat mustahil.
“Encik Muaz boleh mandi sendiri ke?” Mia memberanikan diri untuk bertanya. Apabila melihat keadaan Muaz, Mia yakin bahawa Muaz tidak mampu bergerak terlalu banyak. “Boleh.” Jawab Muaz ringkas.
“Saya tolong ya? Macam mana Encik Muaz nak sabun badan tu? Mesti kena banyak bergerak.” Mia cuba untuk menghulurkan bantuan.
“Tak apa! Aku boleh buat sendiri. Dah, pergi keluar. Pandai-pandai la aku nak buat macam mana.” Muaz bertegas tidak mahu menerima bantuan dari Mia. Tidak mahu termakan budi sebenarnya.
Lalu Mia terus beredar ke luar untuk menunggu sehingga Muaz selesai mandi. ‘Terpulang la. Aku nak tolong sombong sangat. Rugi betul jadi kau Muaz. Sombong tak bertempat.’ Mia mengomel sendirian. Niatnya hanya untuk membantu seseorang yang dalam kesusahan. Tambahan pula Muaz adalah suaminya. ‘Suami? Dia tak pernah anggap aku isterinya.’ Hati Mia bagai dijentik-jentik.
“Aduh!” Mia terdengar jeritan kecil Muaz.
‘Betul ke dia boleh mandi sendiri ni? Aku nak tolong tak bagi. Payahnya bercakap dengan orang sombong ni.’ Bicara Mia lagi.
“Aduh!” Sekali lagi Mia terdengar jeritan itu.
‘Nak tolong ke tidak ni? Adoii…nak buat apa ni? Masuk jela tolong. Dia nak marah, marah la. Aku pekakkan je telinga ni.’ Tanpa menunggu lebih lama, Mia terus menolak daun pintu bilik air itu.
“Apa kau buat ni ha?” Tengking Muaz yang terkejut apabila Mia menjengukkan dirinya di depan pintu. Saat itu barulah Mia tahu Muaz sedang berusaha untuk mencapai gayung yang terjatuh ke lantai.
“Kalau Encik Muaz nak marah, marah la. Tapi saya tetap nak tolong.” Itulah jawapan yang keluar dari bibir Mia. Muktamad! “Aku kata keluar, keluar la. Tak faham ke?” Muaz bertambah marah dengan keberanian Mia itu. Tangannya terus memercikkan air ke tubuh Mia untuk menghalau Mia keluar.
Tanpa memikirkan nasib yang bakal diterimanya, Mia terus menghampiri Muaz yang sedang duduk di atas kerusi. Mia berusaha untuk menanggalkan t-shirt Muaz yang sudah basah. “Jangan sentuh aku la bodoh!” Muaz menepis-nepis tangan Mia. Terus disimbahkan air ke tubuh Mia. Tetapi Mia langsung tidak mempedulikan kelakuan Muaz itu.
“Encik Muaz anggap la saya jururawat Encik Muaz. Bukan isteri, bukan musuh atau apa-apa saja.” Mia terus menanggalkan pakaian Muaz.
“Siap la kau kalau aku sihat nanti.” Muaz memberi amaran. Dia sudah tidak mampu melawan. Tubuhnya semakin sakit. Mia meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan bebelan Muaz. Disabun seluruh tubuh Muaz. Tidak lupa rambutnya juga.
Ketika itu Muaz merasakan satu perasaan yang agak ganjil singgah di hatinya. Setiap sentuhan Mia amat lembut dan mendamaikan. Sedikit pun tidak menyakitkan tubuhnya. Hakikat yang sebenar, Muaz sangat malu ketika itu. Seluruh tubuhnya telah ditonton oleh Mia. Merah padam mukanya menahan perasaan tetapi cuba disorokkan dari penglihatan Mia.
Habis basah baju Mia umpama dia yang dimandikan oleh Muaz. Hatinya sedaya upaya ditabahkan untuk mendengar penghinaan yang keluar dari bibir Muaz tanpa henti.
“Okay, dah selesai. Sekejap lagi saya gantikan balutan dekat perut Encik Muaz tu. Saya yakin Encik Muaz tak mampu nak lakukan sendiri.” Bicara Mia lagi. Setelah mengemaskan tuala ditubuh Muaz, Mia berusaha membantu Muaz berdiri menuju ke arah katil. Pergerakan Muaz agak perlahan memandangkan kaki kanannya masih bersimen.
“Encik Muaz duduk dulu saya nak pergi tukar baju sekejap.” Mia seakan memberi arahan kepada Muaz. Wajah Muaz ketika itu masam mencuka. Marah dengan tindakan Mia. Sepatah kata pun tidak keluar dari bibirnya. Hanya memerhati Mia beredar ke luar untuk menukar pakaiannya yang juga basah.
“Ikhlas ke dia buat semua ni? Aku tengok muka dia tenang je. Bukan macam orang terpaksa. Masa aku simbah air dekat dia pun, dia tak marah. Hanya menurut.” Muaz berbicara sendirian. Tidak sangka Mia akan membantu dirinya sebegini rupa.
“Sekarang saya nak ganti balutan dekat perut Encik Muaz tu. Encik Muaz cakap kalau sakit ya. Saya tak pernah buat benda-benda macam ni.” Mia menyandarkan tubuh Muaz di kepala katil beralaskan bantal yang telah ditindih dua.
Mia membuka balutan itu dengan sungguh berhati-hati. Bimbang Muaz akan kesakitan. Muaz hanya memerhati tingkah laku Mia. Saat itu, dia terpandang akan wajah Mia yang bersih dan tenang. ‘Kenapa kau sanggup buat semua ni?’ Ingin sahaja Muaz bertanya tetapi demi menjaga maruahnya Muaz pendamkan sahaja.
Diamati wajah Mia seboleh-bolehnya. Dari mata Mia yang begitu tekun memandang ke arah kerjanya, hidung Mia yang agak mancung, pipi Mia yang langsung tidak dihinggapi jerawat, beralih pula ke bibir Mia yang sentiasa kemerah-merahan. Sempurnanya ciptaan Tuhan ini.
“Ahh…” Muaz menjerit kesakitan.
“Maaf…maaf…saya tak sengaja.” Mia terus meniup lembut pada kesakitan Muaz itu. Saat itu, Muaz terasa amat dimanjai. Mia begitu lembut menyentuh tubuhnya. Perasaan marah sedikit berkurangan. Ditatap lagi wajah Mia yang penuh keayuan dan kasih sayang.
“Dah siap! Sekarang saya tolong Encik Muaz pakai baju ya. Encik Muaz nak pakai baju apa? Saya ambilkan.” Mia tersenyum ke arah Muaz umpama tiada apa yang berlaku.
Kerja Mia bertambah mudah apabila Muaz langsung tidak melawan. Mia agak hairan dengan perlakuan Muaz yang nyata berubah. Selalunya ada sahaja yang hendak dibebelkan. “Mana-mana jela.” Muaz menjawab ringkas. Masih memandang setiap perlakuan Mia.
“Saya pilihkan ya? Tapi jangan komen apa-apa tau.” Mia cuba berjenaka. Ingin menceriakan suasana. Dia sendiri tidak pasti dari mana datangnya perasaan berani untuk bertindak sebegitu rupa terhadap Muaz.
“Disebabkan kaki Encik Muaz masih bersimen, saya cadangkan Encik Muaz pakai kain pelekat je ya? Mudah sikit nak bergerak.” Mia memberi cadangan. Tidak dihiraukan dengan wajah Muaz yang tertanya-tanya dengan tindakannya.
“Ermm…” Muaz juga turut bersetuju sambil menganggukkan kepala. Muaz sendiri bingung dengan sikapnya waktu ini. Apa yang dia tahu, hatinya sudah tersentuh dengan bantuan Mia.
Dirasakan Mia betul-betul ikhlas melayan dan membantunya. Tambahan pula inilah kali pertama Muaz melihat senyuman Mia yang betul-betul ikhlas buat dirinya. Sekali lagi Muaz berasa teramat malu apabila Mia melihat tubuhnya. Antara mahu dengan tidak, Muaz terpaksa membenarkan.
“Saya sikatkan rambut Encik Muaz.” Mia terus mencapai sikat yang berada di atas meja solek berdekatan dengan katil Muaz. Mia terpaksa memegang dagu Muaz bagi memudahkan tangannya untuk menyisir helaian rambut Muaz.
Dengan begitu teratur Mia melakukannya perlahan-lahan. Seram sejuk Mia rasa apabila terpandangkan mata Muaz sedang galak menatap wajahnya.
“Okay, semuanya dah siap. Saya minta maaf kalau saya ada berkasar dengan Encik Muaz. Saya keluar dulu. Kalau Encik Muaz perlukan apa-apa, panggil je saya.” Mia terus beredar apabila mata Muaz tidak lepas memandang dirinya.
“Ya Allah, apa aku dah buat ni. Aku tak pernah buat semua ni pada mana-mana lelaki. Tapi dia kan suami aku. Ermm…” Mia tiba-tiba mengeluh. Melayang-layang fikirannya.
Sebenarnya Mia sendiri tidak dapat menepis perasaan takut dan gementar saat terpaksa menyentuh tubuh Muaz. Sekaligus memandang keseluruhan yang menjadi milik Muaz. Tetapi dia terpaksa bertindak begitu kerana ingin membantu Muaz. Tidak dapat digambarkan perasaannya saat ini. Hanya Tuhan yang tahu. Sekurang-kurangnya dia sudah membuat pahala terhadap suaminya, Muaz.
Muaz masih bingung dengan keadaannya sekarang. Masih terasa akan setiap sentuhan Mia terhadapnya. Dirinya umpama ditiup angin bayu, selembut ombak yang memecah pantai.
Begitu sekali layanan Muaz terhadapnya. Saat Mia menyentuh dagunya ingin sahaja dikucup jari-jemari Mia. Saat Mia menyisir rambutnya, mahu sahaja Muaz memeluk erat tubuh genit itu. “Ah…kenapa dengan aku ni? Aku sendiri tak mampu untuk menolak.” Hatinya tiba-tiba menjadi sesal apabila mengingatkan kembali setiap perlakuan buruknya terhadap Mia selama ini.
“Aku tak boleh biarkan dia buat baik dengan aku lagi. Aku tak nak termakan budinya.” Muaz sentiasa ragu-ragu terhadap diri Mia. Masih ada sesuatu yang menyekat kehendaknya.
***
Ketika Mia menjenguk ke bilik Muaz malam itu untuk memastikan Muaz sudah memakan ubat-ubatannya, Mia agak terkejut apabila terpandangkan Muaz sudah terlena. Tetapi ubatnya tidak disentuh.
Pesan Doktor Asri, seandainya Muaz tidak berterusan memakan ubatnya itu bimbang kesihatannya akan lambat sembuh. Mia terpaksa mengejutkan Muaz.
“Kenapa kau ganggu aku ha?” Muaz sedikit berang apabila lenanya diganggu. “Encik Muaz tak makan ubat lagikan? Nanti lambat sembuh.” Mia cuba mengingatkan Muaz. Apabila mendapati Muaz hanya mendiamkan diri, Mia terus bertanya. “Kenapa Encik Muaz tak makan ubat sebelum tidur?”
“Er…air kosong dah habis.” Ringkas sahaja jawapan Muaz. “Laa…kenapa Encik Muaz tak panggil saya?” Mia terus keluar ingin mengambil air mineral untuk diberikan kepada Muaz. ‘Sebab aku tak nak susahkan engkau.’ Hati Muaz berkata.
Niat di hatinya memang ingin mengambil ubat sebelum tidur, tetapi apabila terpandangkan air mineralnya sudah kehabisan, Muaz segera mematikan niatnya. Malas mahu memanggil Mia. Beerti dia akan termakan budi Mia sekali lagi.
“Encik Muaz makan ubat ni. Krim dah sapu pada perut tu?” Mia bertanya pula soal luka yang masih berbekas di kulit perut Muaz itu. Muaz hanya menggeleng.
Tanpa meminta keizinan, Mia terus sahaja menyelak baju Muaz ke paras dada. “Apa kau nak buat ni ha?” Muaz segera bertanya apabila dia sendiri terkejut dengan tindakan Mia itu. “Saya nak sapukan krim ni. Kan doktor dah pesan, kena sapu selalu pada luka tu supaya cepat sembuh dan tak berparut.” Mia bercakap umpama dirinya seorang jururawat terlatih.
“Macam doktor la kau ni.” Muaz bersuara dengan nada yang rendah sahaja. Dia membiarkan sahaja tindakan Mia itu. Hatinya begitu senang dan selesa. “Bukan doktor tapi nurse.” Ucap Mia pula sambil tersenyum ke arah Muaz.
Sebelum beredar, Mia sempat membetulkan selimut pada tubuh Muaz. “Selamat malam Encik Muaz.”
“Selamat malam.” Balas Muaz tanpa memandang ke arah Mia.
“Sebelum terlupa,kalau Encik Muaz nak ke toilet panggil je saya. Saya tidur dekat sofa luar tu. Jadi saya akan dengar kalau Encik Muaz panggil.” Pesan Mia.
“Kenapa kau tidur dekat sofa tu pulak?” Soal Muaz pula.
“Nanti kalau saya tidur dekat dalam bilik saya, susah nak dengar kalau Encik Muaz panggil.” Jelas Mia. Bimbang seandainya kejadian siang tadi berulang lagi.
Tersentap Muaz mendengar jawapan Mia. Tidak disangka olehnya Mia sanggup berkorban begitu sekali. Tanpa sedar Mia sudah beredar ke luar bilik.
Hampir satu jam Muaz memikirkan tindakan dan sikap Mia terhadapnya. Akhirnya Muaz membuat keputusan ingin memanggil Mia tidur di biliknya.
“Tapi aku tak boleh terlalu berterus-terang. Malu la aku macam tu. Nanti dia kata aku dah sukakan dia pulak.” Muaz bimbang seandainya ajakan beliau akan disalahertikan oleh Mia. “Macam mana nak buat ni ya?” Muaz masih bingung. Jam sudah menunjukkan ke angka 1.05 pagi.
“Mia! Mia!” Muaz tidak mahu menunggu lagi. Dia harus bertindak.
Dengan wajah yang kebingungan Mia menjenguk ke bilik Muaz. “Encik Muaz nak ke toilet ke?”Mia terus bertanya. Mata Muaz tepat memandang ke wajah Mia yang begitu comel kerana Muaz yakin Mia sudah terlelap sebentar tadi.
“Er…tak….aku nak minum. Air kopi!” Tidak disangka oleh Muaz itu yang terkeluar dari bibirnya. ‘Nak buat apa minum air kopi? Tak tidur la aku.’ Muaz menyesal dengan ketelanjurannya. Tetapi untuk menidakkan kembali amat mustahil.
“Ha! Air kopi? Encik Muaz tak nak tidur ke?” Mia sendiri hairan dengan permintaan Muaz yang agak ganjil itu. ‘Tak nak tidur ke mamat ni?’ Hati Mia berbisik. “Buat jela…jangan banyak tanya.” Muaz bimbang seandainya Mia dapat menangkap dirinya yang serba tidak kena ketika ini.
“Baik, tunggu sekejap.” Mia terus berlalu ke dapur.
“Ini kopinya Encik Muaz.” Mia menghulurkan kepada Muaz dan berdiri di sisinya. Muaz tiada pilihan. Dia harus menghabiskan kopi tersebut. Malu seandainya Mia dapat menghidu taktiknya.
“Dah.” Muaz menghulurkan cawan yang sudah kosong itu kepada Mia. ‘Biar betul dia ni. Dah la kopi ni panas. Tak sampai dua minit dah habis.’ Mia kebingungan.
“Er…karang kau tak payah tidur dekat luar tu.” Muaz bersuara agak perlahan. Ada perasaan gementar di situ. “Kenapa? Jadi saya nak tidur dekat mana?” Mia agak pelik dengan permintaan Muaz itu. Dirasakan sikap Muaz ketika ini agak berlainan.
“Ermm…kau tidur je dalam bilik ni. Aaa…maksud aku nanti kalau kau tidur dekat luar aku kena jerit kuat-kuat. Buatnya kau tak dengar sapa nak tolong aku ke toilet?” Muaz mereka-reka alasan yang dia sendiri tidak yakin dengan alasan itu.
“Eh, saya dengar Encik Muaz. Encik Muaz tak menjerit pun saya boleh dengar.” Mia cuba berdalih kerana dia tidak pernah terfikir untuk tidur di bilik Muaz. Tidak sanggup rasanya.
“Aku cakap tidur dekat sini, tidur jela.” Suara Muaz agak meninggi. Dia sudah tidak mempunyai jalan lain untuk menyuarakan hasratnya itu.
“Yela. Sekejap saya ambil bantal lain.” Mia terus beredar keluar. Dia masih tertanya-tanya dengan perangai Muaz yang agak lain dari yang lain itu. Akhirnya keinginan Muaz tercapai. Dia tersenyum puas.
Setelah mengambil tempat di atas permaidani berhampiran dengan katil Muaz, Mia terus merebahkan diri. Teramat mengantuk.
‘Eh, tidur pun pakai tudung? Biar betul perempuan ni.’ Muaz hanya memerhati susuk tubuh Mia yang sudah lena. Letih barangkali. Inilah akibatnya apabila mengambil air kopi di tengah-tengah malam. Matanya tidak mampu untuk dipejamkan walaupun seketika.
Hatinya bagai dijentik-jentik untuk menatap wajah ayu yang kini tidur menghadapnya. ‘Eh, lasak juga dia tidur ya?’ Muaz tersenyum sendirian. Begitu comel Mia saat ini. Sehingga lena, wajah Mia menghiasi lenanya.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment