“Sini!” Panggil Muaz agak tegas setelah dia duduk di atas sofa. “Kau tak tidur lagi kan? Aku tahu…” Muaz menjawab bagi soalannya sendiri.
‘Dia yang tanya, dia jawab pulak.’ Mia mahu tergelak.
‘Kau ingat aku tak tahu yang kau tengah takut dengan aku. Hehe…’ Nakal sekali ketawanya.
“Aku ada banyak benda nak bincang dengan kau sebelum semuanya terlambat. Kau tak payah takut, bukan aku nak makan kau pun walaupun rasa macam nak makan.” Usik Muaz. ‘Aku tak ingin dekat kau la.’
“Sini la! Kau nak aku paksa kau ke?” Ugut Muaz apabila melihat Mia tidak bergerak sedikit pun.
‘Ish..garang gila mamat ni. Takkan macam ni sikap sebenar dia? Siang tadi bukan main lembut lagi.’ Soal Mia hairan dengan nada suara dan bahasa yang digunakan oleh Muaz terhadapnya. Agak kasar. Bukan agak lagi, memang kasar pun.
‘Ya Allah…selamatkan la aku dari segala bencana.’ Melihat wajah Muaz yang serius membuatkan Mia agak takut.
Tanpa berlengah Mia pun bangun dari pembaringannya dan duduk bersila di atas katil pengantin yang dihias indah. Begitu teruja Mira menghias bilik pengantinnya semalam. Umpama dia yang akan merasmikan bilik ini. Teringat Mia akan sahabatnya yang seorang itu. Muaz pula lebih selesa duduk di atas sofa berhadapan dengannya.
‘Segak jugak dia bila pakai kain pelekat dengan baju melayu.’ Puji Mia akan suaminya itu. Tetapi hanya disimpan di hati kecilnya.
“Malam ni aku nak settlekan semuanya dengan kau. Aku tak nak terus berbohong tentang perkahwinan ni. Sebelum tu aku nak kepastian dari kau. Kau kahwin dengan aku kerana terpaksa atau rela? Aku nak kau jawab sejujurnya dan bila bercakap pandang muka aku ni.” Tegas sekali suara Muaz beserta arahan.
Terkejut Mia dengan pertanyaan suaminya itu.
‘Apa aku nak jawab ni..?’ Mia buntu. “Se..se..sebenarnya pada awal perancangan ni saya rasa macam dipaksa untuk berkahwin dengan abang. Tapi bila saya fikir-fikirkan balik tak salah saya terima cadangan baba ni. Jadi setelah berfikir panjang saya terima semua ni dengan hati yang redha…” Jawab Mia ikhlas dari lubuk hatinya yang tulus.
“Fikir panjang kau kata? Dan lagi satu pasal apa kau pandai-pandai panggil aku ‘abang’ ni? Aku tak ada adik nama macam kau. Lagi pun nama ayah kita lain-lainkan?” Begitu meluat Muaz mendengar Mia memanggilnya dengan panggilan ‘abang’. ‘Geli aku tahu tak’.
Bagai mahu pecah dada Mia menahan sebak.”Itu kan tandanya hormat seorang isteri terhadap suaminya.” Mia cuba membela dirinya. Walaupun hatinya bagaikan dihiris-hiris oleh Muaz. ‘Ini lelaki yang baba cukup sanjung selama ni? Lelaki yang akan menghancurkan hidup anak baba ni.’ Sayu hati Mia.
“Oppssss… kau kena ingat bukan aku yang nak semua ni terjadi. Buat pengetahuan kau wahai tuan puteri yang perasan nak kahwin dengan anak raja, aku dipaksa oleh papa aku tu tau. Kalau aku tak kahwin dengan kau, aku akan merempat dekat tepi jalan tu.” Muaz berterus-terang.
“Jadi aku nak kau sedar yang aku kahwin dengan kau hanya kerana nak kekalkan kedudukan yang aku ada sekarang. Aku tak sanggup nak hidup dalam kesusahan semata-mata kerana perempuan macam kau. Faham?” Tengking Muaz.
“Sampai hati abang buat Mia macam ni. Mia pun bukan minta semua ni terjadi. Sebelum hari pernikahan kita Mia dah tanya dekat baba sama ada abang mahukan Mia atau terpaksa. Tapi baba cakap abang tak kisah dengan semua ni.” Jelas Mia sambil mengalirkan air mata.
“Sekali lagi kau panggil aku abang, kau jangan tanya aku kenapa tangan aku naik dekat muka kau ya.” Muaz memberi amaran yang keras terhadap Mia. “Kecuali depan family kita aku benarkan.” Sambung Muaz penuh keegoan.
‘Ya Allah…dugaan apa yang Kau turunkan pada hambaMu ini?’ Mia merintih mengenangkan nasibnya pada masa akan datang.
“Tak payah la berlakon dengan mengeluarkan air mata palsu kau tu. Menyampah aku tengok. Walaupun kita dah berkahwin aku nak kau simpan baik-baik dalam otak kau tu yang kau sikit pun tak ada hak terhadap aku. Aku boleh buat apa sahaja yang aku suka. Kau juga ada hak sebegitu. Cuma pandai-pandai la kau jaga maruah aku sebagai seorang suami depan sesiapa pun. Faham?” Tanya Muaz inginkan kepastian.
‘Padan muka kau. Nak sangat kahwin dengan aku kan?’ Sorak Muaz di dalam hati tanda kemenangan di pihaknya.
Mia hanya mengangguk tanda faham dengan permintaan Muaz yang kejam itu.
“Tapi saya nak tanya awak satu soalan. Kenapa awak nak cepatkan hari pernikahan kita ni kalau awak benci sangat nak hidup dengan saya?” Soal Mia inginkan penjelasan segera dari Muaz.
“Bagus soalan kau tu. Aku dah tak larat hari-hari nak dengar papa dan adik-beradik aku tu puji kau la apa la depan aku ni. Sekurang-kurangnya bila dah kahwin diorang tak kan masuk campur hal kita lagikan.” Jelas Muaz menunjukkan bahawa dia tidak sabar-sabar untuk memusnahkan hidup insan bernama Nur Mia.
“Aku sikit pun tak ada hati dekat kau. Kesian kau kan. Ingatkan dapat la hidup senang-lenang bila kahwin dengan aku, rupa-rupanya derita yang kau dapat. Tapi nak buat macam manakan… kau yang nak sangat.” Bebel Muaz tanpa belas kasihan.
‘Kenapa kau begitu kejam dengan aku Muaz? Ibu..Mia nak ibu..’ Mia amat terluka dengan setiap penjelasan Muaz terhadapnya. Seandainya sudah tertulis nasib Mia begini, Mia akan menerimanya dengan hati yang ikhlas. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi sekarang.
“Aku rasa kau dah jelas dengan semuanya kan? So, aku nak kau sentiasa ingat kedudukan kau di sisi aku ya? Aku dah mengantuk sangat. Demi menghormati aku sebagai suami kau, tak salahkan aku tidur atas katil tu?” Tanya Muaz sambil menuding jari ke arah katil yang diduduki Mia.
‘Dia nak tidur sebelah aku ke? Tadi bukan main benci lagi.’ Perasan Mia sendiri. Lalu dia berganjak ke tepi sedikit demi memberi ruang kepada Muaz untuk baring di sebelahnya.
“Eh, pasal apa kau tak turun dari katil ni lagi? Kau ingat aku boleh tidur ke kalau kau ada sebelah aku? Aku kan tetamu. Jadi kau tu sebagai tuan rumah yang kena berkorban. Aku rasa sofa tu sesuai untuk kau tidur malam ni. Lagi pun badan kau bukannnya besar pun.” Begitu kejam Muaz terhadap Mia.
‘Sampainya hati dia. Bukannya aku nak apa-apa kan dia pun kalau tidur sebelah dia. Atas sofa dia suruh aku tidur?’ Mia terasa ingin menangis. Dia tidak pernah dilayan sekejam ini.
Mia pun beredar ke sofa yang diduduki oleh Muaz sebentar tadi.
“Sebelum aku terlupa, aku nak kau rahsiakan semua ni dari sesiapa pun. Kalau aku dapat tahu kau cerita dekat sesiapa, siap la kau. Jaga sikit mulut tu. Kau yang nak sangat kahwin dengan aku kan. So, inilah yang patut kau dapat.” Muaz memberi amaran yang keras sekali sebelum menutup matanya.
‘Faham Encik Muaz.’ Mahu sahaja Mia menjawab seperti itu. Tetapi dia takut akan tindakan Muaz terhadapnya.
‘Aku yang dikatakan mahu sangat berkahwin dengan dia? Tolong sikit Encik Muaz, saya hanya menurut perintah orang tua saya.’ Mia hanya mampu membela nasibnya dalam diam.
‘Baba…kalaulah baba dapat lihat nasib anak baba pada malam pertamanya pasti baba akan diserang sakit jantungkan?’ Mia cuba menceriakan hatinya.
‘Mia dah kahwin ibu, Mia ‘bahagia’ sangat seperti yang diharapkan oleh baba.’ Mia menangis lagi. Malam pertama yang sepatutnya dilalui dengan penuh kasih sayang bersama suaminya menjadi malam yang sangat ngeri.
Tiada belaian manja, tiada bisikan syahdu, tiada pelukan mesra dan tiada ciuman sayang buat dirinya yang baru bergelar isteri. Bagaimana harus aku menempuhi hidup sebagai insan yang dinafikan hak sebagai seorang isteri oleh suaminya sendiri.
‘Mira, di manakah kebahagiaan yang selalu engkau doakan untuk aku selama ini? Adakah aku tidak layak untuk mengecapi manisnya hidup sebagai seorang isteri?’ Mia melayani perasaannya sendiri di kala Muaz sedang lena beralaskan tilam yang empuk. Sedangkan aku hanya terbaring di atas sofa seperti beralaskan duri-duri yang mencengkam diriku. Teramat sakit.
Adakah adik-beradik Muaz yang lain juga tidak dapat menerima diriku seperti mana Muaz bencikan aku? ‘ Tetapi Muaz ada mengatakan adik dan kakaknya sering memuji diriku. Itu bererti mereka dapat menerima aku.’ Mia cuba memujuk dirinya yang sedang merana itu.
Sekurang-kurangnya Mia tidak akan berasa sunyi apabila tinggal di rumah Dato` Masyhur nanti. Mia masih belum berkesempatan mengenali keluarga Muaz dengan lebih dekat. Apa yang diketahui olehnya Muaz mempunyai seorang anak buah yang dipanggil Aisyah.
Aisyah begitu manja sekali dengan Muaz. Jelas kelihatan kemesraan mereka ketika majlisnya siang tadi. Mia juga hanya sempat bertanya khabar dengan Myra dan juga Maisara.
Jika diberi kesempatan dia akan berusaha untuk lebih rapat dengan keluarga Muaz. Nampak gayanya mereka dari golongan yang tidak sombong walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi berbanding keluarganya.
Cuma Muaz yang agak berbeza. Berlagak, sombong, bongkak. Ingin sahaja Mia luahkan pada Muaz ketika ini. Biar dia sedar yang dirinya bukan patung untuk dilakukan sesuka hati.
Akhirnya Mia tertidur sendiri setelah letih melayani perasaannya sendiri.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment