“Eh, jom la makan lagi. Rugi tau makanan banyak tapi tak nak hargai.” Ajak Mira. Sebenarnya dia perasan yang Mia tiba-tiba saja berubah mood selepas melihat kedatangan Zara di sisi Muaz. Tiba-tiba dia mendapat idea nakal untuk mengusik Mia.
“Mia, cantik gilakan Zara tu? Kau tak nak pergi sembang-sembang dengan dia ke? Baik gila tau. Lembut je orangnya.” Mira cuba memancing perhatian Mia.
“Gila? Apa guna kalau cantik tapi gila.” Saja Mia berkata begitu.
“Eh, kau jeles ek tengok diorang datang berdua? Tu la kau. Masa Muaz tu kejar kau, kau lari jauh-jauh. Sekarang kau…” belum habis Mira berbicara Mia sudah memotong cakapnya.
“Cop…cop!! Sapa cakap aku jeles? Tolong sikit ek. Sikit pun aku tak jeles dan tak terkejut langsung kalau Zara tu awek baru dia. Aku dah faham sangat dengan perangai playboy dia tu.” Dia terus leka melayan kerenah si kecil Aisyah.
“Marah nampak.” Mira mecuit-cuit pipi tembam si kecil itu.
“Sekarang ni kau yang sengaja nak bagi aku marahkan? Kau ingat aku hairan sangat dengan Muaz tu? Pi gi da…” Mia cuba meyakinkan Mira akan perasaannya ketika ini. Dia tidak mahu Mira syak apa-apa perubahan di wajahnya.
“Mana ada aku nak bagi kau marah. Kalau muka kau bertambah cantik time marah tak pela jugak. Ini dah macam nenek kebayan jer aku tengok.” Mira menjelir lidah pada Mia.
“Kau ni kan memang nak kena tau…” Mia mencalit sedikit krim dia atas kek berdekatan dengannya lalu disapukan ke wajah Mira.
“Mia, abis la make up aku ni. Wawawa…” Mira sengaja buat-buat menangis. Aisyah memandang pelik kedua-dua wajah insan di hadapannya.
“Eee…tak malu la kau ni. Dah tua tapi nak nangis lagi kan baby Mak Ngah?” Lantas Mia memeluk tubuh kecil Aisyah Humaira. Dicium-cium wajah itu.
“Ya ampun… apa Kak Ngah dengan Kak Mira buat ni? Mengalahkan Aisyah nakalnya.” Tiba-tiba Maisara datang bertanya.
“Kau tengok la Kak Ngah kesayangan kau ni. Abis muka Kak Mira yang hot ni tau.” Sempat lagi Mira memuji dirinya. Itulah Mira.
“Hot la sangat…” Mia dan Maisara bersuara serentak diiringi gelak tawa mereka.
“Eh, papa panggil Kak Ngah masuk dalam. Meh sini si comel tu. Abis anak Mak Su ni di kerjakan Mak Ngah kan sayang?” dicium-cium pipi Aisyah pula. Beruntung Aisyah kerana di kelilingi oleh insan-insan yang sangat menyayanginya.
“Kenapa papa panggil?” tanya Mia. Malas betul dia mahu bersua muka dengan Muaz dan perempuan itu. Jeles? Tak laaaa……
“Entah, pergi la. Diorang semua dekat ruang tamu.” Arah Maisara. Mira pula sudah meminta diri untuk ke bilik air. Membersihkan wajahnya yang telah dicomotkan oleh Mia.
Dengan malas, Mia melangkah ke dalam rumah.
***
“Haa, Mia. Mari sini. Papa nak kenalkan Mia pada anak kawan papa ni.” Pelawa Dato` Masyhur.
‘Dekat mana aku nak duduk ni? Haa..sebelah Kak Long.’
“Ini papa kenalkan Zara Farisya. Anak kawan baik papa. Dia wakil pada parentnya. Diorang tak dapat datang.” Tanpa menunggu lebih lama, Mia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Zara. Memang cantik orangnya. Nampak keayuan di wajahnya. Muaz pula langsung tidak memandang wajahnya. ‘Ada aku kisah?’
“Hai, saya Zara.” Lembut suara Zara menyapa.
“Hai, Mia.” Itu sahaja yang mampu Mia kata kan. Begitu hampir sekali duduknya Zara dengan Muaz.
“Zara dengan Muaz ni memang kawan baik dari dulu lagi. Sejak Zara ke luar negara sahaja hubungan mereka renggang sikit.” Sambung Myra pula. Mungkin bimbang jika aku marah melihat kelakuan Zara yang tampak begitu mesra di sisi Muaz.
“Ooo…” Mia tidak tahu untuk berbalas apa dengan kata-kata Myra itu.
“Diorang ni dulu kalau berjumpa je macam dah tak boleh dipisahkan lagi. Zara memang manja dengan Muaz.” Dato` Masyhur menambahkan perisa dalam ayat Myra. ‘Manja? Eee…gelinya aku dengar. Kenapa tak kahwinkan aje budak berdua ni?’ Mahu sahaja Mia bertanya begitu.
‘Ewah-ewah, Muaz tu suka la bergesel-gesel dengan Zara. Kau ingat aku akan jeles? Tak ada pasal ok?’ Mia berbicara sendiri. Meluat Mia melihat Muaz yang buat-buat tidak nampak yang dia turut ada di situ.
“Eh, Zara jom kita pergi makan. Berbual-bual dari tadi langsung lupa nak ajak makan. Kesian dekat Zara.” Myra menarik lengan Zara diikuti oleh Dato` Masyhur dan juga Abang Long supaya mengikut langkahnya ke luar untuk menjamu selera. Dibiarkan Muaz yang masih di ruang tamu. Mia juga tidak tahu untuk berbuat apa.
Muaz agak bengang apabila Mia langsung tidak menunjukkan reaksi marah atau sebaliknya. Macam orang tak ada perasaan je. Sudahlah kejadian dua minggu lepas langsung tidak dihiraukan. Bukan nak pujuk aku ke apa ke.
“Jom ikut abang.” Ajak Muaz. Kalau mereka bertekak pun biarlah hanya mereka berdua yang tahu. Lagi pun ramai kehadiran kanak-kanak di rumah mereka ketika ini.
Mia terus dengan sikap degilnya. Dia bangun ingin menuju ke pintu utama untuk keluar menyertai mereka semua di luar.
“Abang cakap ikut abang!” Muaz sudah meninggikan suaranya walaupun kedengaran agak perlahan.
“Tak nak.” Pergi Mia tanpa menghiraukan arahan Muaz.
Belum sempat Mia sampai ke pintu utama Muaz sudah memaut pinggang Mia. “Degil tak habis-habis.” Muaz mengheret tubuh Mia supaya mengikutinya ke tingkat atas.
“Eh, lepas la…saya kata tak nak, tak nak la. Lepas! Lepas!” Muaz menutup mulut Mia yang sudah mahu menjerit. Apabila merasakan Mia semakin liat untuk bergerak, Muaz mengendung tubuh Mia di atas bahunya. Mujurlah tiada sesiapa di dalam rumah kerana majlis dilangsungkan di perkarangan luar rumah.
Sampai sahaja di dalam biliknya, dia meletakkan tubuh Mia di atas katil dengan agak kasar. Geram dengan sikap Mia yang keras kepala.
“Sakit la. Ingat orang ni simen ke nak hempas-hempas?” Hakikatnya tidaklah sesakit mana. Sengaja Mia ingin membuat Muaz rasa bersalah.
“Kalau simen abang tak hempas, abang baling terus kat dinding tu.” Bukan niat untuk berkasar, tetapi perangai Mia betul-betul mencabar kesabarannya kali ini. Dia mengambil tempat di sofa berdekatan dengan katilnya.
“Kenapa datang sini?” soal Muaz.
“Dah Kak Long jemput, datang jela.” Jawab Mia pula.
“Ingatkan dah jijik nak datang ke rumah ni.” Perli Muaz. Ketika dia menjemput Mia ke sini dua minggu yang lepas, mentah-mentah Mia menolak. Paling dia sakit hati segala panggilan dan mesej darinya langsung tidak berbalas.
“Sapa cakap jijik. Encik Muaz yang cakap.” Mulut itu memang sudah pandai menjawab itu dan ini. Dia tidak mahu kalah dengan Muaz.
“Hari tu kenapa tak datang sini dulu? Tak faham cakap abang ek? Call, mesej semua tak berjawab.” Muaz sudah memulakan ceramah freenya. Yang menjadi mangsa adalah telinga Mia.
“Saya tak janji pun nak datang sini. Encik Muaz tu yang pandai-pandai buat keputusan sendiri. Sendiri tanggung la. Orang lain tak marah pun saya tak datang sini.” Mia membela dirinya. Padan muka Muaz.
“Amboi, mulut tu. Abang gigit karang. Ada je nak dijawabnya. Mia ni degil sangat tau sekarang.” Peringat Muaz.
“Biar la. Bukan susahkan sapa-sapa pun.”
“Tak susahkan sapa-sapa? Pandai je dia. Cakap orang langsung dia tak nak dengar ek? Abang dah cakapkan, lepas balik sini hari tu kita terus ke rumah kita.” Muaz sudah malas mahu meninggikan suara. Mia tetap juga begitu.
“Datang dengan siapa?” soal Muaz lagi. Dia sudah tahu Mia datang bersama dengan Mira, sengaja mahu melihat reaksi Mia lagi.
“Tak nampak ke Mira dekat bawah tu? Dah tahu saja tanya lagi. Penat la nak jawab. Yang penting saya tak datang dengan boyfriend saya.” ‘Eee…kenapa ayat tu yang keluar dari mulut aku? Adoiii…mesti dia ingat aku jeles dengan dia. Ish…teruk aku kali ni.’
Seperti yang dijangka, Muaz sudah tersengih-sengih di hujung sana. Ini satu perkembangan yang baik. Mia jeles apabila melihat Muaz berkepit dengan Zara tadi. Geli hati dibuatnya. Sedikit demi sedikit kemarahannya hilang bersama angin petang.
“Ooo…sayang abang ni jeles ek? Hehehe…” Muaz sudah bergerak untuk mendekati Mia.
‘Aku dah kata dah. Tenuk ni mesti ingat aku jeles dekat dia.’
“Comel tak girlfriend abang tu?” Muaz sudah duduk di hujung katil. Mia pula bergerak untuk menjauhi Muaz. Muaz ni bukannya boleh pakai sangat. Ikut suka dia sahaja mahu berbuat apa. Tak tahu bagi signal langsung.
“Comel. Tapi kurang padan la dengan tenuk macam Encik Muaz ni. Lagi satu, saya sikit pun tak jeles ok? Saya dah faham sangat dengan perangai gatal Encik Muaz tu. Dah la, lebih baik saya keluar dari melayan orang gila macam Encik Muaz ni.” Dia segera menuju ke pintu bilik untuk keluar.
“Nanti sekejap!” Muaz sudah mengepung Mia. Ditahan kedua-dua belah tangannya pada pintu bilik itu. Menahan Mia dari keluar. Dia masih mahu menyakat Mia.
“Nanti saya bagi tahu dekat awek Encik Muaz yang Encik Muaz gatal macam ni. Pergi la layan dia nun.” Mia sudah memalingkan wajahnya ke lain. Menyampah melihat wajah Muaz yang seperti mengejeknya.
“Jadi betul la sayang jeles ni? Bestnya… Tak apa la. Abang ada tiga lagi tempat kosong. Lagi pun Zara tu tak kisah jadi nombor dua. Pandai-pandai la abang bahagikan masa nanti ek?” Muaz sudah gelak berguling-guling dalam hatinya. Seronok melihat wajah Mia yang tidak tentu hala itu. Mahu sahaja dikucup-kucup wajah comel itu.
“Ish, saya kata saya tak jeles la. Tak langsung. Nak kahwin ke? Ok, sekarang pun boleh, saya sanggup jadi saksi. Lepas dah kahwin dengan Zara yang cantik tu boleh la Encik Muaz lepaskan saya.” Betul ke apa yang aku cakap ni?
“Mengarut apa ni?” marah Muaz tiba-tiba. Mia langsung tidak berfikir dulu sebelum bercakap. Tidak tahukah Mia apa hukumnya apabila isteri meminta cerai dari seorang suami.
“Mana ada mengarut. Betul la apa yang saya cakap. Zara tu kan lengkap semuanya. Tak macam saya. Tak pandai bergaya, tak cantik, orang kampung……” Geram melihat Mia tidak henti-henti mengarut, Muaz memagut bibir comel Mia. Lama.
Mia menolak-nolak dada Muaz yang begitu hampir dengan tubuhnya. “Arghh…apa ni Encik Muaz?” hampir tidak bernafas Mia dibuatnya dengan tindakan berani mati Muaz itu.
“Puas tak? Nak lagi? Kalau Mia cakap macam tu lagi, bukan setakat cium, lebih dari tu abang akan buat tau.” Ugut Muaz. Biar Mia rasa.
“Balik-balik ugut. Itu la yang Encik Muaz tahu. Saya bagi tau Zara.” Mia pula cuba mengugut.
“Bagi la tahu. Sayang nak bagi tahu dia yang abang kiss sayang ek? Dia pun pernah rasa jugak.” Muaz mengangkat-angkat keningnya tanda seronok.
Kurang asam punya jantan. Mia memijak kaki Muaz sekuat hati. Melompat Muaz dibuatnya.
“Kalau dah gatal tu gatal jugak la dekat mana-mana pun. Encik Muaz nak cium dia ke apa ke terserahlah. Saya tak peduli sikit pun. Tapi lain kali kalau Encik Muaz buat dekat saya macam ni lagi, saya report polis.” ‘Eh, benda macam ni boleh report polis ek?’ Mia sendiri bingung.
“Adoii…lebam la kaki abang ni. Abang yang akan report polis dulu sebab sayang dera suami sayang. Sakit tau.” Muaz meniup-niup kakinya yang sakit.
“Padan muka. Ikutkan hati saya ni, saya nak kerat-kerat badan Encik Muaz tu. Bukan 18 tapi 28. Lepas tu buat sup, bagi tenuk makan.” Geram Mia. Dia tahu dia sudah berkurang ajar dengan suami sendiri. Tapi Muaz sengaja menambah-nambah sakit di hatinya.
“Garangnya, kalah Mona Fendy. Seram! Seram!” sempat lagi Muaz buat lawak murahan dengan wajah yang sengaja ditakut-takutkan.
“Tepi la. Macam mana saya nak keluar kalau Encik Muaz bersandar dekat pintu ni? Tepi!” mahu sahaja ditolak tubuh Muaz itu. Tetapi dia sudah tidak berani dekat dengan Muaz. Takut Muaz bertindak yang bukan-bukan lagi.
“Kalau nak keluar, tolak la badan abang ni dulu. Kalau berjaya baru boleh keluar, kalau tak jangan harap ye adik manis.” Muaz sudah berbaring di hadapan pintu itu. Sedang bersantai seperti di tepi pantai.
Aduh, gila betul la mamat ni. Sedap pulak dia landing dekat depan pintu ni. Takkan nak langkah kot. Itu memang kurang ajar tahap dewa dah tu.
“Encik Muaz jangan nak lebih-lebih. Diorang kat bawah tu dah lama tunggu kita. Apa pulak kata diorang nanti.” Mia cuba berlembut. Tiada gunanya berkasar sentiasa dengan Muaz ni. Dia cakap orang, padahal dia pun degil jugak.
“Ala, apa nak dihairankan. Kita bukannya orang lain. Kalau kita lama-lama berdua macam ni pun diorang paham apa ‘aktiviti’ kita. Papa akan bertambah gembira tau. Mesti papa dah berangan nak tambah cucu lagi tu.” Muaz tergelak dengan kata-katanya sendiri.
Fuhh…lelaki ni betul-betul mencabar tahap keimanan aku ni. Orang serius dia nak main-main pulak. “Eh, nanti awek Encik Muaz tu merajuk macam mana? Dia ingatkan pakwe dia ni baik, padahal masyaAllah, gedik nak mampus.”
“Apa? Gedik? Apa tu? Jarang abang dengar. Ala, dia pun paham sebab kita dah lama tak jumpa. Mesti dia tahu yang abang ni nak melepaskan rindu pada isteri abang yang garang macam monster ni. Hehehe…” Muaz tidak menghiraukan wajah Mia yang sudah merah menahan marah padanya.
“Ooo…Encik Muaz nak main-mainkan saya yer? Baik, nak main sangatkan? Tunggu kejap ek.” Mia terus berlalu ke bilik air.
‘Apa dia nak buat ni? Baik aku bersiap sedia, si Mia ni pun bukan boleh percaya sangat. Otaknya sekarang sudah sedikit gila-gila.’
Dia melihat Mia keluar dari bilik air dengan sebaldi air. “Encik Muaz nak ke tepi ke tidak? Sekarang saya bagi dua pilihan, samada nak ke tepi atau nak mandi dekat sini?”
“Eh, jangan la sayang. Basah baju abang ni karang. Malas nak tukar dah. Ala, kita duduk-duduk la dulu dekat dalam bilik ni. Ok la, abang tak kacau sayang lagi. Kita sembang-sembang je ek?” Muaz cuba tawar-menawar dengan Mia. Dia bukan malas mahu menukar baju sebenarnya, tetapi bimbang dengan permaidani dan perabot dalam biliknya ini. Kalau basah susah pulak nak keringkan.
“Duduk-duduk? Dengan tenuk macam Encik Muaz ni? Bagi seribu ringgit pun saya tak hingin la. Cepat la buat pilihan.”
“Ok, dua ribu nak tak?” Muaz masih tidak membuat keputusan. Sengaja melengah-lengahkan masa yang ada.
Tanpa memberi amaran, Mia mencurahkan air ke tubuh Muaz. Habis tubuh Muaz basah kuyup. Belum melihat permaidani yang sudah digelempangi air.
“Sayang, abis bilik ni. Baju abang lagi.” Muaz mengibas-ngibas bajunya yang basah.
“Padan muka. Saya cakap sekali Encik Muaz tak nak dengar. Sekarang rasakan.” Puas hatinya.
“Sayang kemas bilik ni balik. Kesian nanti Sara nak kena kemaskan.” Arah Muaz.
“Eh, kenapa Sara kena kemaskan pula. Encik Muaz la yang kemas sendiri. Ni bukan bilik orang lain.” Mia sudah tersenyum melihat Muaz yang basah kuyup.
“Tapi ni bilik sayang jugak.” Muaz tidak mahu mengalah.
“Eh, saya tak ada buat pelaburan pun dalam bilik ni. Lagi-lagi dengan Encik Muaz yang gedik ni.”
“Sayang, tolong la. Abang janji abang tak buat lagi.” Muaz pula merayu-rayu.
“Hahaha…tak ada masa saya nak layan.” Mia terus berlalu ke luar. Ditinggalkan Muaz yang masih merayu-rayu padanya. Puas sungguh rasanya dapat mengenakan Muaz seperti itu.
***
“Eh, Mia kau ke mana? Ooo…kau bermesra-mesra dengan Muaz ek? Korang dah baik ek?” soal Mira bertubi-tubi. Mia pula hanya buat muka selamba. Malas menjawab segala pertanyaan Mira itu.
“Mia, Muaz mana? Saya nak balik dah ni. Ada hal sikit.” tiba-tiba sahaja Zara bertanya kepada Mia.
“Entah, saya pun tak tahu. Ada dalam bilik dia kot.” Jawab Mia ringkas. Memang betullah kata Dato` Masyhur. Mereka memang tidak boleh berpisah langsung. Lantak korang la!
***
Sedang enak menjamah nasi beriani yang masih berbaki dalam pinggannya bersama dengan Mira, Muaz menjelma. Pakaiannya sudah bertukar. Rambutnya masih basah. Apabila teringat akan hal tadi, Mia rasa mahu gelak sambil berguling-guling dilantai.
“Apa yang lama sangat dekat atas tu Muaz? Kesian dekat Zara. Dia tunggu kau tadi. Dah lama sangat, dia minta diri dulu.” Tanya Dato` Masyhur. Apabila Zara memaklumkan yang dia tidak dapat berlama-lama di situ, Dato` Masyhur meminta pemandunya, Pak Kadir menghantar Zara pulang.
“Ooo…yeke? Maaf la. Tadi Mia mandi dulu, lepas tu baru Muaz yang mandi pulak. Tu lambat sikit.” Balas Muaz sambil menjeling ke arah Mia. ‘Rasakan. Nak kenakan abang sangatkan? Biar sama-sama kita kena.’
Semua mata tertumpu kepada Mia. Terbeliak semua mata yang ada di situ. Mia pula sudah tersedak-sedak. Mahu terkeluar semua isi perutnya. Muaz betul-betul mengeluarkan ayat powernya sehingga semua mata tidak beralih-alih memandang wajahnya. Mujurlah semua tetamu sudah pulang.
Mia menjeling Muaz. Kurang asam betul. Malunya aku. Apa diorang fikir nanti. Geram betul aku dengan Muaz ni. Cakap tu bertapis la sikit. Dia ni memang sengaja nak kenakan aku nampak gayanya. Nak balas dendam la kononnya.
“Kenapa sayang? Tersedak ek? Meh abang sapu belakang tu.” Muaz menghampiri Mia. Diusap-usap belakang tubuh Mia. Yang lain masih belum puas memandang gelagat mereka berdua. Perbuatan Muaz bakal membuatkan yang lain bertambah yakin dengan kata-kata ‘power’ Muaz sebentar tadi.
“Aaa…jom Aisyah, pergi sana dengan atuk. Kita tengok ikan nak?” Dato` Masyhur mengendung cucu tunggalnya itu. Dia sendiri jadi blur dengan anak menantunya itu.
“Abang, tolong Myra angkat hadiah-hadiah baby girl tu ke dalam ek?” Myra pula menarik tangan suaminya berlalu dari situ. Kelu lidahnya ketika ini. Tidak tahu mahu menunjukkan reaksi apa pada Mia dan juga Muaz.
“Aa…Kak Mira, Sara nak tunjukkan dekat Kak Mira novel yang baru Sara beli semalam. Lima sekali Sara beli tau.”
“A`ah, Sara kan dah janji nak tunjuk dekat Kak Mira kan. Jom!” sempat Mira menggenyitkan matanya pada Mia. Mia pula menjeling tajam. Ini semua kerana mulut celupar Muaz. Dirinya terlibat sekali.
“Apa Encik Muaz ni? Tak habis-habis lagi ke?” Mia bertanya kasar kepada Muaz. Tetapi suaranya diperlahankan kerana bimbang ada yang memasang telinga.
“Baru fair kan? Tadi sayang kenakan abang.” Jawab Muaz selamba lalu mengambil pinggan Mia yang masih bersisa lalu menyuapkan nasi beriani itu ke dalam mulutnya pula.
“Fair tak fair. Tak malu ek keluarkan ayat macam tu? Geram betul la. Encik Muaz ni dah melampau tau. Malu la saya. Mana nak letak muka ni?” sudah la membuat salah, sedap-sedap je dia melantak nasi beriani aku.
“Nak malu apanya. Kita ni kan suami isteri. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata makan nasi beriani la kita. Letak muka tu dekat dada abang kalau tak nak orang tengok. Hehehe…” selera sungguh Muaz menjamu selera. “Sayang nak? Meh abang suapkan?” sempat lagi dia bergurau.
Sekali lagi kaki Muaz menjadi mangsa.
***
Ketika dalam perjalanan pulang, Mira tidak mahu melepaskan peluang yang ada untuk bertanya akan hal tadi. “Mia, kau ni ekpres betul la. Hehehe…”
“Apa yang kau merepek ni haa?” Mia sudah tahu, mesti soal tadi yang dijadikan topik perbualan mereka kali ini.
“Yela, dalam duk gaduh-gaduh boleh pulak korang…”
“Dah, kau jangan nak naikkan darah aku. Apa yang korang semua fikir tak macam apa yang jadi la.” Mia pasti Mira memikirkan bahawa mereka sudah tuttttttt…
“Eh, kenapa kau nak marah pulak? Bukan korang dah berbaik ke? Aku tengok romantik giler laki kau tu Mia.”
“Sapa cakap kitorang dah berbaik-baik? Kau percayakan sangat la si Muaz gedik tu.”
“Bukti dah jelaskan yang korang dah berbaik? Muaz boleh pulak tanpa segan silu menceritakan ‘kisah sebenar’ korang. Dengan rambut basah lagi. Hehe…kelakar la korang ni.” Masih jelas diingatan Mira apabila melihat ekpresi wajah-wajah di hadapannya ketika Muaz menceritakan bahawa dia baru sahaja selesai mandi.
“Jadi, korang fikir bila rambut Muaz basah kitorang dah berbaik la? Mengarut betul.”
“Eh, orang yang tak kahwin pun boleh faham la keadaan korang. Korang menghilang punya la lama. Bila Muaz turun dia baru sudah mandi. Yang syok lagi dia siap cakap yang kau pun baru sudah mandi. Apa kes lagi tu?” Mira tidak berpuas hati apabila Mia tidak mahu mengaku.
“Arghhh…ni semua sebab mamat gila tu. Macam mana aku nak nafikan lagi kalau kau sendiri pun tak nak percayakan aku. Tapi aku nak ingatkan apa yang korang fikir bukan macam apa yang terjadi. Muaz tu saja nak kenakan aku la. Cuba la faham.” Geram Mia. Mira langsung tidak mahu mempercayai ceritanya. Yang si Muaz pula kebal dengan bukti-bukti yang ada. Menyesal aku siram air dekat dia tadi. Kalau tahu jadi macam ni, sumpah dia takkan bertindak seperti itu. Sumpah!
“Ala, malu-malu pulak kau.” Mira pun apa lagi. Tidak habis-habis mahu menyakatnya. Sehingga ke rumah Mia cuba menafikan sangkaan Mira dan yang lain. Tetapi Mira tidak mahu mempercayai semua itu lagi.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment