“Baba, Mia dah buat keputusan. Mia nak berpisah dengan Muaz. Mia nak mulakan hidup baru.” Mia mengambil keputusan ingin berehat di kampung halamannya demi menenangkan hatinya yang sedang berkecamuk.
“Mia, jangan cakap macam tu sayang. Sekarang ni Mia tengah marah. Segala yang keluar dari mulut Mia tu di bawah kawalan. Nanti Mia yang akan menyesal.” Nasihat Encik Saufi.
“Baba sanggup tengok Mia hidup merana macam ni? Baba tak sayangkan Mia ke?” Mia sudah mengeluarkan air matanya. Setelah apa yang terjadi dalam hidup Mia, air matanya akan bercucuran tanpa dipinta.
“Sebab baba sayangkan Mia la, baba cakap macam ni. Lagi pun Muaz kan dah menyesal dengan apa yang dia buat selama ni. Dia betul-betul sayangkan Mia. Percaya la nak.”
“Kenapa semua orang mudah sangat percayakan dia. Sebelum ni pun dia tipu semua orang jugak. Mia dah tak sanggup berdepan dengan dia. Mia benci sangat dengan dia. Bila Mia dah mula sayangkan dia, dia langsung tak hargai.”
Encik Saufi terus memeluk anak tunggalnya itu. Kasihan dengan Mia. Tetapi dia sangat yakin bahawa Muaz sudah berubah. Dari tindakannya sahaja sudah menampakkan bahawa dia betul-betul sayangkan Mia.
“Sabar sayang. Sekarang ni Mia tenangkan dulu fikiran Mia yang serabut tu. Mia nak tahu, kalau ibu masih ada mesti dia pun tak suka Mia cakap macam ni. Ibu dulu seorang yang tenang. Ibu tak suka marah-marah.” Encik Saufi juga turut menitiskan air mata apabila terkenangkan isteri tersayang yang telah pergi dahulu menghadap Illahi. Diusap-usap bahu Mia cuba menenangkan anaknya itu. Mia sedikit terpujuk dengan kata-kata Encik Saufi.
***
Pada malamnya pula, Dato` Masyhur menelefon Mia. Begitu juga dengan Dato` Masyhur. Dia tidak mahu anak menantunya berpisah. Dia menasihati Mia supaya banyakkan berdoa semoga ditenangkan hati yang mula gelap.
Dato` Masyhur juga menceritakan keadaan Muaz ketika ini. Muaz tidak seperti dahulu lagi. Hidupnya hanya di pejabat dan apartmentnya. Dia tidak mahu tinggal bersama papanya. Dia ingin menunggu di apartment kalau-kalau Mia sudi pulang. Dia ingin sekali menyambut kepulangan isteri tersayang.
Hati Mia masih keras walaupun mendengar pujuk rayu papa dan adik-beradik Muaz yang lain. Sekali lagi malam itu tidur Mia bertemankan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
***
Setelah hampir empat bulan melalui episod-episod duka, Mia memulakan kerjanya seperti biasa. Cuma dia sudah tidak berulang dari apartment Muaz tetapi dari rumah Mira. Dia kembali menyewa di situ. Mujurlah Mira sudi membenarkan dia menyewa di rumah itu semula. Mia juga sudah mampu ketawa, senyum dan bercerita seperti dahulu. Senang hati Mira kerana sudah mendapat sahabatnya yang dahulu.
Muaz juga sedikit pulih dari kesedihannya. Tetapi dia tidak pernah berhenti merindui dan menyayangi isterinya. Satu perubahan yang nyata adalah kini Muaz yang tidur di bilik Mia ketika Mia masih tinggal di apartment mereka. Sekurang-kurangnya rindu di hati sedikit terubat apabila dapat memeluk bantal kepunyaan Mia satu ketika dahulu.
Ketika sedang menjamu selera di rumah papanya, Sara menegur Muaz. “Angah dah bertambah hensem la sekarang ni. Cuma kurus sikit dari dulu.” Tersenyum Muaz mendengarnya. Tubuhnya sedikit kurus bukan kerana tidak makan tetapi terlalu rindukan Mia.
“Angah rindukan Mia ya?” Myra pula menegur. Tersedak Muaz dibuatnya.
“Sudah-sudah. Makan dulu. Karang baru sembang panjang.” Dato` Masyhur menegur. Dia faham perasaan Muaz ketika ini. Biarlah Muaz menghabiskan makanannya dahulu. Risau anaknya itu hilang selera.
***
Selepas mereka selesai menjamu selera, masing-masing merehatkan diri di ruang tamu. Tambahan pula melihat kerenah Aisyah Humaira yang tidak henti-henti berceloteh. Entah apa yang disembangnya. Mereka hanya mampu ketawa.
“Angah, Mia macam mana sekarang?” soal Dato` Masyhur.
“Angah tak pernah dapat sembang dengan dia papa. Tiap kali angah telefon mesti dia tak nak jawab. Kalau angah nak tahu perkembangan dia, angah telefon baba je.” Agak pilu suara Muaz. Dia sangat merindui insan yang seorang itu.
“Ermmm…korang tak boleh berterusan macam ni. Papa rasa Mia masih sayangkan kamu. Cuma mungkin dia masih bersedih.”
“Angah dah usaha papa. Tapi Mia masih tak dapat maafkan angah.”
“Apa kata kau cuba tackle dia balik.” Sampuk Syukri. Yang lain semua menunjukkan reaksi terkejut dengan cadangan Syukri.
“Maksud abang long?” Muaz sendiri tidak sangka begitu sekali cadangan abang iparnya itu.
“Korang kan masih suami isteri, lagi senang kau nak dekati dia. Tak ada apa yang dapat menghalang hak kau sebagai suami dia. Tapi kau kena berani la sikit.”
“Betul cakap abang long tu angah. Angah kena tambat hati kak ngah semula. Lembutkan hati dia balik.” Sara pula menambah. Dato` Masyhur hanya mendengar. Selagi perkara itu baik dia tidak akan menghalang.
“Kak long setuju sangat. Kau kena jadi lelaki yang lebih macho sikit la.” Yang lain sudah ketawa dengan kata-kata Myra itu.
“Cara dia kau kena fikir sendiri la. Gunakan kebijaksanaan kau tu.” Syukri menepuk-nepuk belakang Muaz ingin memberikan semangat.
“Aisyah, pak ngah akan dapatkan mak ngah balik untuk kita.” Muaz sudah memeluk Aisyah yang tidak mengerti apa-apa. Dato` Masyhur terus mendapatkan telefon untuk menghubungi Encik Saufi. Dia juga mempunyai rancangannya sendiri untuk menyatukan anak dan menantunya.
***
Di atas permintaan Encik Saufi, Mia pulang ke kampung pada hujung minggu itu. Mira juga turut serta. “Mia, pagi esok kita pergi pasar ya. Baba nak cari ketam dan barang dapur sikit.” “Baik baba.” Mia hanya menurut.
“”Baba, banyaknya lauk baba beli. Yang nak makan kita bertiga je.” Sempat Mia memandang ke arah Mira. Pelik dengan babanya. Begitu banyak sekali Encik saufi memborong barang dapur.
“Pakcik nak buka kedai sendiri ke?” Mira pula menyampuk. Lebih kepada mengusik sebenarnya. “Sapa cakap kita bertiga je yang nak makan? Ramai tau. Kita ada tetamu hari ni.” Jelas Encik Saufi.
“Siapa?” serentak Mia dan Mira bertanya. Pelik mereka. Semalam Encik Saufi tidak bercerita apa-apa pun dengan mereka. Tiba-tiba cakap ada tetamu nak datang.
“Baba, cakap la siapa yang nak datang ni?” soal Mia lagi ketika mereka sibuk memasak di dapur. “Ada la. Tunggu je. Sikit lagi sampai la mereka tu.” Encik Saufi hanya tersengih dan masih ingin berahsia.
“Ada orang nak datang meminang pakcik ke?” tidak habis-habis Mira mengusik. Tidak kira dengan siapa pun.
“Ha, itu dah sampai dah tu. Jom Mira kita pergi sambut mereka.” Ajak Encik Saufi.
“Eh, baba ajak Mira je? Mia nak tengok jugak siapa yang datang.” Mia seakan merajuk tetapi tidak dihiraukan oleh Encik Saufi. Sempat Mira menggenyitkan matanya pada Mia.
Riuh-rendah suasana di ruang tamu. Mia pula masih sibuk mengucai ketam masak lemak yang masih belum masak dengan sempurna.
“Assalamualaikum. Kak ngah adik buat apa tu?” Mia seakan kenal dengan suara tersebut. Lalu dipalingkan muka menghadap arah suara yang kedengaran tadi. “Waalaikumsalam. Eh, adik. Datang dengan siapa ni?” dipeluk tubuh Sara. Rindu pada adik iparnya itu.
“Tu, kak long pun ada.” Sara menunjuk pula pada Myra yang sedang menuju ke arah mereka. Ingin memeluk tubuh Mia.
“Kak long apa khabar? Si montel tu mana? Rindu sangat dengan dia.” Sudah tidak sabar Mia ingin bertemu dengan Aisyah Humaira. Mahu dicium-cium pipi si kecil itu.
“Ada dekat depan tu dengan abang long.” Tanpa menunggu lebih lama, dia menutup api dapur lalu mencapai tudung yang disangkut pada kerusi dan menuju ke depan. Ditarik tangan Myra dan Maisara sekali.
Alangkah terkejutnya Mia apabila menyedari Muaz yang sedang mengendong Aisyah. Semua mata tertumpu pada Mia. Serba-salah dibuatnya. Fikirnya Muaz tiada sekali.
“Papa apa khabar? Sihat?” Mia tidak jadi mahu mengambil Aisyah. Terus disalamnya tangan Dato` Masyhur. Sempat juga bertanya khabar dengan Syukri.
‘Apa aku nak buat ni? Nak salam dia ke? Tak payah la.’ Dia ingin berlalu ke dapur semula tetapi Muaz sudah menghulurkan tangan ingin bersalam dengannya. Sekali lagi Mia menjadi tontonan semua. Apabila melihat baba merenung tajam ke arahnya, Mia terus menyambut huluran tangan tersebut.
“Sayang sihat?” ringkas sahaja pertanyaan Muaz tetapi sudah cukup menggambarkan betapa rindunya dia pada insan bernama Nur Mia. Tangan Mia masih belum dilepaskan.
“Sihat.” Mia cuba menarik tangannya dari pegangan Muaz. Rimas apabila semua mata memandang ke arah mereka. “Mia ke dapur dulu ya. Makan tengah hari tak siap lagi.” terus Mia beredar ke dapur. Niat di hati ingin mengucup pipi si Aisyah dibatalkan sahaja. Tidak mampu berlama-lama di situ.
Ketika menjamu selera beramai-ramai, Mia berasa langsung tidak selesa. Mata Muaz tidak lepas dari memandangnya. Hilang seleranya walaupun hidangan di hadapan mereka adalah lauk kegemarannya.
“Sudah-sudah la tu angah. Bagi la Mia makan dulu. Kamu duk pandang dia macam tu, macam mana dia nak makan.” Tegur Dato` Masyhur. Dia sedar akan kelakuan anak terunanya itu. Yang lain sudah tersengih-sengih. Mia terpaksa menahan malu.
Mujur juga Aisyah berada di atas ribaannya. Dapat juga dia menghilangkan sedikit perasaan gelisah di dadanya. ‘Apa pandang-pandang orang ni. Korek biji mata tu baru tahu.’ Geram Mia. Nasib baik tengah ramai ni. Kalau tak siap la dia.
“Tak apa kak long, biar Mia yang kemas semua ni. Tu, Aisyah dah meragam. Dia nak susu kot.” Mia menghalang Myra dari terus mengemaskan dapur selepas mereka makan tadi. Hanya tinggal dia, Mira dan Sara sahaja di dapur.
Apabila Sara perasan Muaz menjenguk diri ke dapur, Sara menarik tangan Mira supaya beredar ke depan. Mereka tahu Muaz memerlukan lebih banyak masa bersama dengan isterinya. Mia yang sedang leka membasuh pinggan tidak perasan apa yang terjadi di belakangnya.
Muaz sudah mendapat idea gilanya. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah Mia. Dia harus berani untuk bertindak sekali pun akan menerima kemarahan dari isterinya. Lalu dipeluknya pinggang Mia dari belakang. “Sayang buat apa ni? Nak abang tolong?”
Mia yang terkejut dengan perlakuan Muaz itu terus memalingkan muka ke arah belakang. ‘Cis, budak berdua ni pun sama. Saja tinggalkan aku sorang-sorang.’
“Apa ni Encik Muaz? Tolong la jangan buat macam ni. Tak malu ke kalau yang lain tengok?” Mia sudah menepis-nepis tangan Muaz. Sakit hatinya apabila Muaz bertindak sesuka hatinya.
“Nak malu kenapa? Yang lain semua dah tahu yang abang rindu sangat dekat sayang.” Dicium kepala Mia. Terubat sedikit rindu yang sarat di dadanya.
“Lepas la. Saya tak suka la Encik Muaz buat macam ni. Saya tak suka!” Mia mengeraskan suaranya lagi. Tidak disangka bahawa Muaz sungguh berani berkelakuan seperti ini. Langsung tak sopan.
“Abang rindu la sayang. Penat tau abang datang sini semata-mata nak jumpa sayang. Dah la dari tadi langsung tak hiraukan abang.” Diperkemaskan lagi pautannya di pinggang Mia. Biarlah kalau Mia nak marah sekali pun.
“Saya jerit karang. Biar semua orang dalam rumah ni tahu.” Ugut Mia. “Dan saya tak suruh pun Encik Muaz datang sini. Tak jemput pun.” Mia bukan seperti Mia yang dahulu. Hatinya semakin cekal sekarang. Bertambah menyampah apabila Muaz masih menggunakan bahasa yang dia sendiri tak lalu nak sebut. Abang sayang konon.
“Amboi, kasarnya bahasa. Setahu abang, isteri abang ni kan lembut je orangnya. Tak suka marah-marah. Sekarang dah garang ya? Seram abang.” Ada tawa di hujung ayat Muaz itu. Sikap isterinya agak berlainan dari dulu. Mungkin salahnya juga.
“Itu dulu. Sekarang lain. Manusia bila-bila je boleh berubah. Dah la, lepaskan saya. Rimas la. Lagi satu, tak payah la guna bahasa cam tu. Nak terkeluar isi perut saya. Geli tau!” Mia cuba memijak kaki Muaz pula. Biar dia tahu yang Mia betul-betul marah dengan perlakuan Muaz.
“Adoi, sakit la sayang. Ganasnya. Tapi abang tetap tak nak lepaskan. Apa nak jadi, jadi la. Dan untuk pengetahuan sayang abang ni, biar la abang nak guna bahasa macam mana pun. Mulut abang, bukan mulut sayang.” Masih sempat Muaz menongkatkan dagunya pada bahu Mia.
‘Geramnya aku dengan tenuk ni. Tak faham bahasa betul. Dah la datang tak dijemput. Buat rumah orang macam rumah sendiri pulak.’
“Ya Allah budak berdua ni. Sudah-sudah la tu main sabun. Jom solat jemaah sama-sama.” Encik Saufi sempat menggenyitkan mata pada Muaz. Lalu beredar ke bilik air.
“Jom sayang kita solat. Tinggal dulu semua ni. Karang kita sambung.” Dia ingin menarik tangan Mia, tetapi Mia merentap kasar. “Pergi la dulu.” Mia masih dalam ‘musim cuti’. Tapi takkan nak diceritakan kepada Muaz.
“Sayang cuti ek? Tak apa la. Abang pergi dulu ya?” sempat lagi dia mengusik. Merah padam muka Mia. ‘Kurang asam punya tenuk.’ Selepas Mia beralih ke belakang, Muaz menghampiri Mia semula. Dicium pipi kanan Mia dan terus beredar. Dia tersenyum gembira.
***
“La, kat sini rupanya kau. Kenapa tak join kitorang borak-borak dekat luar? Si Muaz tu tak habis-habis bertanyakan kau.” Patut la kelibat Mia tiada di ruang tamu. Rupanya dia berkurung di dalam bilik.
“Malas aku. Semua orang macam tak faham je yang aku tak sukakan tenuk tu. Korang semua seronok mengenakan aku ada la.” Mia kecewa apabila orang lain tidak memahami perasaannya. Selama ini dia bukan pura-pura membenci Muaz tetapi dia benar-benar maksudkan semua itu. Yang melalui setiap kepahitan itu adalah dirinya.
“Apa maksud kau ni Mia? Lagi pun aku tengok Muaz tu banyak yang dah berubah. Aku nampak yang di betul-betul sayangkan kau. Aku tak nafikan yang dulu aku pun tak sukakan perangai dia. Dan setahu aku kau seorang yang pemaafkan? Dia tu suami kau Mia.”
“Korang tak faham apa yang aku alami selama ini. Aku betul-betul terluka dengan sikap dia. Dah lama aku bersabar Mira. Dah lama sangat. Kau ingat aku boleh lupakan macam tu je? Kau tahu tak, setiap kali aku pandang wajah dia aku terus terbayangkan dia dengan perempuan tu. Hati aku sakit Mira.” Mia sudah menangis teresak-esak.
Mira terus memeluk sahabatnya itu. “Aku faham Mia. Aku bukan nak sebelahkan Muaz tapi tak salah kau beri dia satu lagi peluang untuk dia tebus kesalahan dia dulu. Aku percaya dia akan buatkan kau bahagia.” Berusaha Mira meyakinkan Mia.
“Aku tak tahu Mira. Aku perlukan masa. Aku tak kuat untuk tempuh sebarang kesakitan lagi. Cukuplah dengan apa yang dah jadi dalam hidup aku selama ni.” Mira cuba mengesat air mata yang mengalir di pipi Mia.
“Ya, kau ambillah sebanyak mana masa pun. Aku yakin, Muaz akan memahami. Dah jom keluar. Si Aisyah tu dah mencari-cari mak ngahnya ni. Dah tua pun kuat menangis lagi. Malu je dekat Aisyah.” Mira cuba menceriakan suasana. Sudah puas dia melihat Mia menangis selama ini.
“Mengada la kau.” Ditamparnya paha Mira. Masih ada hati mahu mengusiknya. Apabila teringatkan si kecil itu, hatinya kembali ceria. Tidak sabar mahu menggomol si Aisyah. Selepas mengemaskan dapur sebentar tadi, Mia mengurung dirinya di dalam bilik. Ingin bersendirian.
Muaz yang mendengar perbualan mereka sebentar tadi hanya mengalirkan air mata. Niatnya ingin mencari Mia. Tidak sangka Mira sudah mendahuluinya. Benarlah kata Abang syukri, dia harus menambat hati isterinya semula. Peluang itu masih ada, cuma dia perlu pandai menggunakannya. ‘Sayang, abang akan buat sayang jatuh cinta dengan abang. Abang janji.’
Salahnya juga kerana tidak memberi masa kepada Mia terlebih dahulu. Mungkin Mia masih terkejut dengan pertemuan yang tidak disangka olehnya. Tetapi apabila dia terpandangkan Mia sebentar tadi, hatinya tidak dapat ditahan-tahan dari terus mendekati Mia. Memang sudah lama dia ingin mengucup dan memeluk tubuh Mia. Ingin melepaskan rindu yang menggunung di hatinya. Muaz mengeluh sendirian.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment