Baba memaklumkan bahawa Dato` Masyhur sekeluarga akan bermalam di rumah mereka. Hal itu akan menambahkan kerisauan di hati Mia. Dia sudah tidak sanggup bertentang mata dengan Muaz. Tambahan pula Muaz akan bertindak sesuka hatinya.
Malam itu Dato` Masyhur mengajak mereka semua makan di luar. Mengambil peluang berjalan di pekan Melaka. Bukan mudah untuk mendapat peluang berjalan-jalan seperti ini.
Selepas Mia bersiap ala kadar, dia terus menuju ke luar bilik. Tetapi dia sedikit hairan, mengapa senyap sunyi sahaja. Tadi bukan main meriah lagi. “Mira…baba…” Mia memanggil-manggil mereka.
“Diorang semua dah pergi.” Ada satu suara menyapa dari arah belakang. Tanpa menoleh pun Mia sudah dapat mengagak siapakah gerangan empunya suara.
“Kenapa diorang tak tunggu saya? Bukan lama pun saya bersiap.” Geram Mia.
“Abang yang suruh. Abang nak bincang dengan Mia dulu. Banyak perkara yang perlu kita bual dan selesaikan.” Ucap Muaz. Kalau dia tidak mengambil peluang ini, entah bila lagi dia boleh berbincang dengan Mia.
“Yang Encik Muaz pandai-pandai tu kenapa? Kalau Encik Muaz tak nak pergi jangan la libatkan saya pulak.” Mia sudah naik angin. Sudahlah dia cuba sedaya-upaya untuk mengelak dari Muaz, yang Muaz pula sengaja mencari peluang untuk bersamanya.
“Sayang, bagi la peluang abang betulkan semua ni.” Muaz cuba meraih tangan Mia. Tetapi ditolak kasar.
“Encik Muaz jangan nak buat tak senonoh dalam rumah ni. Saya tak suka dan saya bencikan Encik Muaz.” Mia ingin berlalu ke biliknya tetapi ditahan oleh Muaz.
“Kalau sayang nak marah, marah la. Tapi jangan la membenci abang. Tolong sayang.” Muaz cuba memujuk Mia.
“Tepi la.” Mia menolak kasar tubuh Muaz. Ingin sahaja ditampar wajah itu. Hatinya sangat marah ketika ini.
Sebelum sempat Mia menutup pintu biliknya Muaz sudah menahan dari luar. Kudrat Mia tidak mampu melawan tenaga Muaz. “Saya tak nak tengok muka Encik Muaz. Pergi!” Mia sudah mengalirkan air mata.
Muaz bertindak melangkah ke dalam bilik itu dan menguncinya. “Saya kata pergi, pergi!” Mia menolak-nolak tubuh Muaz supaya keluar dari bilik itu.
“Sayang, dengar sini. Kita tak boleh terus macam ni. Berilah abang peluang sayang.” Muaz memegang erat bahu Mia. Dia ingin memandang wajah itu sepuas-puasnya. Mia pula tidak henti-henti meronta.
Muaz sudah tiada pilihan lain. Muaz mengendong tubuh Mia yang masih meronta-ronta dan membaringkannya di atas katil. Ditindih tubuh Mia supaya tidak bergerak. Ketika ini, wajah mereka tidak sampai tiga inci jauhnya. Ditenung mata Mia yang kemerahan.
“Abang terpaksa buat macam ni. Kalau tak sampai bila pun takkan selesai.”
“Lepaskan saya. Encik Muaz tak ada hak nak buat saya macam ni. Saya benci Encik Muaz. Saya benci.” Mia cuba melepaskan dirinya dari rangkulan Muaz. Bimbang seandainya perkara yang tidak diingini berlaku pada mereka.
“Sayang jangan bimbang. Abang takkan apa-apakan sayang. Cuma abang nak Mia dengar penjelasan abang.” Ditanggalkan tudung Mia yang sudah menutupi separuh wajah Mia.
“Saya tak nak dengar apa-apa. Saya tak perlukan apa-apa penjelasan dari Encik Muaz. Saya benci dengan semua ni.” Mia sudah teresak-esak sambil menolak-nolak dada Muaz.
“Kalau Mia tak nak abang bertindak lebih jauh, jangan berkelakuan macam ni. Kalau tak abang takkan teragak-agak lakukan.” Muaz terpaksa mengugut Mia seperti itu. Sudah sakit dadanya menjadi sasaran Mia.
Mia yang takut dengan ugutan itu terus berhenti meronta. Tidak mustahil Muaz akan berbuat demikian. Tambahan pula di rumah itu hanya tinggal mereka berdua. Kecut perut Mia apabila memikirkan perkara tersebut.
“Abang tahu abang terlalu banyak buat silap dulu. Abang seorang suami yang kejam, yang tak berhati perut. Dah terlalu banyak dosa abang pada Mia. Abang sendiri tak dapat nak maafkan diri abang sayang. Semenjak sayang pergi dari hidup abang, segala-galanya berubah. Abang sedar abang ni jenis manusia yang tak bersyukur. Abang ingat lepas Mia pergi dari hidup abang, abang akan gembira. Tapi ternyata semua tu langsung abang tak rasa. Hidup abang kosong. Hari-hari abang tunggu kepulangan sayang, tapi semakin hari hati abang semakin meronta-ronta untuk berjumpa dengan sayang. Nak tatap wajah sayang, nak mohon ampun pada sayang. Abang sanggup buat apa sahaja asalkan sayang maafkan abang.” Muaz menemukan dahinya dengan dahi Mia. Dia sendiri tidak dapat menahan sebak. Mia pula memejamkan matanya.
“Maafkan abang sayang.” Pinta Muaz lagi tanpa jemu. Dicium-cium dahi Mia. Sudah lama dia ingin berbuat begitu. Air matanya menitis di atas wajah Mia.
Sekali lagi Mia cuba menolak tubuh Muaz dari terus menindihnya. Kali ini Muaz hanya membenarkan. Mia berjalan menuju ke jendela yang terbuka luas. Cuaca malam ini baik-baik sahaja. Walaupun bulan tidak kelihatan penuh tetapi amat menyenangkan sesiapa yang memandang.Tidak seperti dirinya yang sentiasa mendung.
“Dah lama saya beri peluang tu pada Encik Muaz. Sejak awal perkahwinan kita lagi. Tapi Encik Muaz langsung tak menghargai semua tu. Encik Muaz tak pernah anggap saya sebagai isteri Encik Muaz. Tak dinafikan, masa mula-mula kita kahwin dulu, saya sendiri tidak dapat menerima diri Encik Muaz. Demi kasih sayang saya pada baba, saya sanggup korbankan perasaan saya. Saya fikir Encik Muaz ikhlas terima saya. Tapi…” Mia sudah tidak dapat meneruskan kata-kata. Sebak sekali hatinya. Muaz hanya mendengar setiap butir bicara Mia. Biarlah dia melepaskan segala yang terbuku di segenap hati kecilnya.
“Hari-hari saya kena hina. Hari-hari saya kena marah. Hidup saya lebih teruk dari orang gaji. Semua yang saya buat serba tak kena di mata Encik Muaz. Saya usaha supaya Encik Muaz tak marahkan saya lagi tapi apa yang saya dapat? Encik Muaz pernah tanya saya dah makan ke belum? Saya kerja dekat mana? Saya sakit ke apa ke. Pernah? Tak pernahkan? Saya hanya pekakkan telinga je bila Encik Muaz kritik masakan saya, Encik Muaz hina barang kepunyaan saya.
Encik Muaz langsung tak hormat saya sebagai seorang isteri sampai sanggup bawa perempuan lain ke rumah. Masa Encik Muaz sakit, ada Encik Muaz berterima kasih atas segala yang saya lakukan? Saya tinggalkan kerja saya semata-mata nak jaga Encik Muaz. Saya sedar tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Encik Muaz tahu apa itu tanggungjawab?
Yang paling mengecewakan saya Encik Muaz sanggup tidur dengan perempuan lain di hadapan saya…maruah saya sebagai isteri macam dipijak-pijak oleh Encik Muaz dan perempuan tu…” Mia terjelepuk ke lantai. Masih jelas terbayang kejadian hitam itu.
Muaz yang sudah tidak sanggup mendengar semua itu bergerak pantas ke arah Mia lalu dipeluknya tubuh itu seerat mungkin. Dikucup seluruh wajah Mia.
“Saya benci Encik Muaz.” Mia menampar-nampar dada muaz. Ingin melepaskan segala kemarahan yang sudah lama disimpan. Muaz hanya membiarkan sahaja walaupun tubuh Mia masih dalam dakapannya. Sakit di dadanya tidak dapat dibandingkan dengan penderitaan yang ditanggung oleh Mia selama ini.
“Sayang, maafkan abang. Abang betul-betul menyesal. Abang yang hina, abang yang bodoh.” Kedua-dua insan itu menangis mengenangkan kehidupan mereka sebelum ini. Akhirnya Mia keletihan dan layu di dalam pelukan Muaz. Dia sudah tidak berdaya ingin memukul Muaz.
Setelah Mia kembali tenang, Muaz bersuara. “Abang tak halang sayang marahkan abang. Satu je yang abang minta, janganlah membenci abang. Abang tak sanggup.” Ditepuk-tepuk belakang Mia. Seperti mendodoi seorang bayi. Mereka masih seperti tadi. Terduduk di tepi jendela itu.
“Abang janji sayang, abang akan buat sayang jatuh cinta dan sayang pada abang. Abang janji.” Sungguh yakin Muaz dengan kata-kata itu.
“Encik Muaz takkan berjaya.” Mia sudah mampu berbicara. Gayanya seperti mencabar Muaz.
“Abang akan usaha sampai berjaya. Sebab abang sayangkan Mia. Abang cintakan Mia.” Terkeluar juga ayat keramat itu dari bibir Muaz yang penuh keegoan suatu ketika dahulu.
“Tak payah la Encik Muaz menuturkan kata-kata yang Encik Muaz sendiri tak yakin dengan semua tu.” Bukan mudah Mia ingin mempercayainya. Lebih-lebih lagi dari bibir Muaz.
“Abang yakin sayang. Abang teramat yakin. Itulah perasaan abang saat ni dan sampai bila-bila. Mia kena percaya semua ni.” Lega sikit hati Muaz apabila Mia sudah mahu berbicara dengannya. Walaupun nadanya seperti mengejek, Muaz tidak peduli. Sekurang-kurangnya peluang yang dinanti-nantikan masih ada.
“Dah, jom kita keluar. Sayang tak lapar ke? Abang rasa diorang semua ada lagi dekat tempat makan tu.” Muaz ingin memaut tubuh itu supaya sama-sama berdiri dengannya.
“Tak nak. Saya malas nak keluar dah. Kalau Encik Muaz nak pergi, pergi sorang-sorang.” Jangan ingat Muaz boleh membeli hati dan jiwanya dengan pujuk rayu semata-mata. Hatinya masih sakit dengan apa yang berlaku.
“Jangan la macam ni. Ok, kalau sayang malas nak keluar, sayang kena masak. Kita makan dekat rumah je. Jom, abang tolong.” Dia menarik tangan Mia pula.
“Saya kata tak nak, tak nak la. Tak faham ke? Saya tak lapar. Saya nak tidur. Dah la, Encik Muaz pergi keluar.” Ditolak-tolak tubuh Muaz supaya keluar dari biliknya.
“Abang lapar sayang...” Muaz merengek manja.
“Itu Encik Muaz punya pasal. Saya tak nak ambil tahu.” Mia juga masih dengan kedegilannya. Muaz harus diajar.
“Ok, tak apa. Kita tak payah makan. Tadi sayang kata nak tidurkan? Jom abang temankan.” Muaz sudah menarik tangan Mia menuju ke katil.
“Apa ni? Encik Muaz memang tak faham bahasa ek? Harap belajar je tinggi tapi bahasa yang mudah pun susah nak faham.” Mia melarikan diri ke hujung katil. Takut seandainya Muaz bertindak di luar jangkaan.
“Amboi, amboi…sedapnya bahasa dia ek? Sekarang sayang pilih sama ada nak keluar makan ke, nak masak atau nak tidur. Abang bagi masa sepuluh saat. Kalau degil jugak, abang yang akan buat pilihan. Tapi dalam tiga-tiga tu, dah tentu abang akan pilih yang ketiga. Cepat!” Muaz sudah mula menghitung. Gembira hatinya dapat mengenakan isteri tercinta.
“Encik Muaz tak boleh paksa-paksa saya tau. Nanti saya bagi tahu dekat baba.” Mia pula cuba mengugut. Debaran di hati hanya Tuhan yang tahu. Benci dengan sikap Muaz yang tidak berubah-ubah. Suka memaksa!
“Manjanya dia nak ngadu-ngadu ek? Ok, masa dah tamat!” Muaz sudah bergerak menghampiri Mia.
“Yela-yela…kita keluar makan. Saya malas nak masak untuk Encik Muaz. Masakan saya kan tak sedap.” Sempat lagi memerli Muaz. Geram apabila dipaksa begitu.
“Ha, kan senang macam tu. Jimat masa. Dah, jom pergi sekarang. Karang kalau lapar abang ni tak dapat ditahan, abang makan sayang je senang.” Muaz sudah ketawa. Seronok dengan reaksi Mia.
“Jangan nak merepek boleh tak? Pergi keluar dulu.” Arah Mia. Setelah apa yang berlaku Mia ingin mengemaskan dirinya semula. Ingin mencuci muka yang penuh dengan kesan air mata.
“Ala, abang tunggu sini jela.” Dengan selamba Muaz membaringkan dirinya di atas katil empuk Mia.
“Kalau Encik Muaz tak nak keluar sekarang, saya terjun dari tingkap ni.” Mia tiada cara lain. Dengan ugutan seperti itu, mungkin Muaz akan mengalah.
“Ok la…ok la…eee…garangnya. Tapi ingat, kalau sayang tak keluar karang tahu la apa abang nak buat.” Akhirnya Muaz mengalah. Tidak sanggup memikirkan yang isterinya akan terjun dari tingkap itu. Dia tidak sanggup kehilangan Mia lagi.
***
“Eh, kenapa kau tidur dekat sini?” Mira hairan apabila Mia tidak tidur bersama dengan Muaz.
“Ni bilik aku kan? Kenapa aku kena tidur dekat lain pulak?” Mia sengaja buat-buat tidak faham. Padahal dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Mira itu.
“Aku tahu la. Tapi sebelum ni Muaz tak ada. Ni kan dia ada dekat sini. Tu la, aku nak tidur dekat lain kau tak bagi. Segan pulak aku dengan Muaz. Nanti dia fikir aku yang tak bagi kau tidur dengan dia.”
“Dah la. Aku mengantuk ni. Kau tak payah la fikir bukan-bukan. Pandai-pandai la dia cari tempat tidur lain.” Malas Mia memikirkan soal Muaz. Sakit hatinya masih belum kurang. Mahu tidur sebilik dengan Muaz? Dibayar seribu ringgit pun dia tidak mahu. Seram dibuatnya.
“Kau ni Mia. Kesian dekat Muaz tu. Nanti apa pula kata family suami kau kalau kau biarkan si Muaz tu tidur sorang-sorang.” Mira masih menasihati Mia. Diri Mia sekarang ini cukup degil. Bukan seperti Mia yang mudah mengalah dan lembut seperti dahulu.
“Mira, sudah la tu membebel. Aku mengantuk la. Esok kita sambung cerita ek? Please Mira. Jom tidur.” Ditariknya tangan Mira supaya sama-sama berbaring dengannya. Apa sahaja yang Mira cakap hanya masuk ke telinga kanan dan terus keluar dari telinga kiri.
“Lantak kau la Mia. Aku cakap je. Nanti si Muaz tu marah kau, kau jawab la sendiri ek? Jangan nak suruh aku back up pulak.” Akhirnya Mira juga turut membaringkan tubuhnya di sebelah Mia. Tidak mahu memanjangkan cerita.
***
“Baba dah ketuk pintu, tapi dua-dua dah lena agaknya. Muaz bolehkan tidur di ruang tamu? Baba minta maaf sangat dengan perangai Mia. Degilnya menjadi-jadi.” Serba salah Encik Saufi. Kalau Mia di hadapan sudah pasti dileternya. Sampai hati membiarkan si suami tidur di ruang tamu.
“Tak apa la baba. Silap saya jugak. Hati dia masih sakit lagi tu. Saya akan beri dia masa selama mana yang dia inginkan.” Muaz menepuk-nepuk belakang Encik Saufi. Dia mengerti dengan kemarahan Encik Saufi ketika ini. Dia sudah mengagak, pasti Mia ingin terus lari darinya.
***
“Kak long, cepatnya si comel ni bangun. Nak tolong mak ngah buat sarapan ya?” dicium-cium pipi Aisyah. Geram dengan keletah si kecil itu. Mereka semua sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Nasi lemak menjadi menu utama. Encik Saufi lah yang menjadi ketua chef. Yang lain hanya mengikut arahan.
“Biasa la Mia. Dia bukan boleh dengar bising sikit. Mula la celik matanya. Kadang-kadang kak long dengan abang long belum bangun, dia dah jaga dulu.” Ceria sahaja suara Myra menceritakan telatah anak daranya yang seorang itu.
“Mia, pergi panggil Muaz,papa dengan abang long breakfast.” Arah Encik Saufi. Ikutkan hati, ingin sahaja dimarahi anaknya itu berkaitan hal semalam. Tetapi biarlah Muaz yang menyelesaikan hal itu.
“Sara, tolong panggilkan diorang boleh?” bisik Mia di telinga Sara. Sara hanya mengikut arahan.
“Eh, Sara tak payah pergi. Biar kak ngah kamu yang panggilkan. Itu pun malas. Pergi cepat!” agak keras suara Encik Saufi. Sesekali kedegilan Mia harus dibalas dengan kekerasan juga.
‘Ala, Mia bukan malas. Tapi menyampah nak tengok muka si tenuk tu!’ digagah jua kaki melangkah ke ruang tamu. Arahan baba tidak boleh dibantah lagi.
“Papa, abang long…jom breakfast. Nanti sejuk makanan tu semua dah tak sedap.” Mia sempat menghadiahkan senyuman buat papa dan abang long. Tidak dipandang pun wajah Muaz.
“Mia tak nak jemput cik abang tu sekali ke? Karang dia merajuk susah Mia nak pujuk.” Abang Syukri sempat mengusik Mia. Tanpa berlengah terus beredar ke dapur bersama dengan Dato` Masyhur.
“Ala, sekali la.” Mia terpaksa juga memandang seraut wajah Muaz yang langsung tidak ceria. ‘Peduli apa aku!’ pantas dia menyusun langkah menuju ke ruang makan.
“Mia masih ada hutang dengan abang. Jangan ingat boleh lepas.” Ugut Muaz sambil berbisik di telinga Mia. Dia memotong langkah Mia. Dijeling wajah itu tanda benar-benar terasa hati.
Ketika semua sedang enak menjamu selera, Muaz hanya mendiamkan diri. Wajah Mia juga tidak dipandang seperti selalu. Mia langsung tidak mempedulikan dirinya. Seolah-olah dia tiada di samping mereka semua. ‘Abang dapat Mia nanti siap la!’
Mia pula merasakan seperti tiada apa yang berlaku. Wajahnya hanya bersahaja. Walaupun dia perasan dengan perubahan Muaz, sedikit pun tidak dipeduli. ‘Nak merajuk? Merajuk la. Nak marah? Marah la…’ puas hati Mia.
“Baba, saya nak minta izin untuk bawa Mia pulang dan tinggal dengan saya semula.” Tiba-tiba sahaja Muaz bersuara. Semua mata memandang tepat ke arahnya. Mia apatah lagi. Mahu terkeluar biji matanya. Hatinya bertambah sakit apabila Muaz pandai-pandai membuat keputusan tanpa berbincang dengan empunya diri terlebih dahulu.
“Tak payah minta izin baba pun Muaz. Mia tu hak kamu. Baba lebih suka dia tinggal dengan kamu.” Encik Saufi tiada halangan langsung berkaitan masalah itu. Hatinya lebih senang apabila Mia berada di sisi suaminya. Ini tidak, nama sahaja sudah bersuami. Tetapi seorang ke timur seorang ke barat.
“Mia tak nak. Mia nak tinggal dengan Mira.” Mia tetap tidak mahu mengalah. Dijeling Muaz. Kalau ikutkan hatinya, mahu diganyang-ganyang tubuh Muaz. Sudah tidak peduli dengan pandangan orang lain.
“Mia jangan degil. Dengar cakap Muaz tu.” Encik Saufi meninggikan sedikit suaranya. Kedegilan Mia semakin melampau. Yang lain hanya memandang. Sudah faham benar dengan perangai Muaz dan Mia. Seperti anjing dengan kucing. Pantang sahaja bertentang mata.
“Tak apa baba. Biar saya yang uruskan.” Tanpa mempedulikan yang lain, Muaz menarik tangan Mia. Hal seperti ini tidak sepatutnya dibincangkan di hadapan umum.
“Biar diorang selesaikan masalah itu sendiri. Jom kita sambung makan. Tak baik bertengkar depan rezeki.” Dato` Masyhur juga malas untuk mencampuri urusan anak menantunya. Masing-masing sudah pandai berfikir.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment