“Baik baba. Saya akan jaga Mia macam saya jaga nyawa saya sendiri.” Jeling Muaz ke arah Mia.
Masih terngiang-ngiang perbualan Muaz dan baba sebentar tadi.
“Apa yang kau angankan tu? Dah berangan nak jadi madam besar dekat rumah aku ke?” Tegur Muaz apabila melihat Mia jauh termenung memandang ke arah luar kereta.
Mia tersentak. “Kenapa Encik Muaz tak habis-habis bersangka buruk dengan saya? Apa salah saya pada Encik Muaz?” Soal Mia dengan memberanikan diri. Tetapi pandangan Mia tetap diarahkan keluar.
“Ewah..ewah.. dah pandai bersuara ek? Masa dekat rumah kau bukan main diam lagi. Dah macam orang bisu aku tengok.” Balas Muaz apabila merasakn Mia cuba mencabar egonya.
“Kau tanya salah kau pada aku apa? Nampak sangat kau ni tak sedar diri.” Muaz terus-terusan menghentam Mia.
“Pada aku perempuan semuanya sama. Pantang tengok lelaki tu ada harta, ada rupa, ada pangkat mula la mengatur strategi.” Bebel Muaz sendirian.
‘Strategi? Kenapa la sampai macam tu dia tuduh aku? Selama ni aku ikhlas dengan semua ni.’ Mia cuba membela dirinya.
Tetapi hanya mampu diluahkan sendirian. Mia sudah tidak berani untuk bersuara lagi.
***
“Liza, you tak boleh buat I macam ni tau. Sampai hati you.. Okay, tak apa. I maafkan segala kesilapan you terhadap I selama ni. Kita lupakan semuanya ya?” Muaz cuba merayu kepada Liza walaupun ternyata semua itu salah Liza.
“I tak nak ada husband yang kuat mengongkong macam you ni. Itu tak boleh, ini tak boleh.” Liza cuba mempertahankan dirinya.
“Sayang, I bukan sengaja nak halang you buat semua ni. Tapi, tak lama lagi kan kita nak kahwin. Takkan you nak teruskan dengan kehidupan yang macam ni?” Muaz cuba berlembut dengan Liza.
“Lagi pun apa kata family I nanti. Tentu mereka kecewa kalau mereka tahu bakal menantu mereka ni mempunyai kehidupan yang sangat bebas macam ni.” Rayu Muaz lagi.
“Balik-balik family you. Perasaan dia orang je yang you fikir. I ni macam mana?” Soal Liza.
“And for your information Encik Muaz Hasbi, mummy dengan daddy tak pernah halang I buat apa pun. Pasal apa you nak lebih-lenih pulak?” Liza cuba mempertikaikan tindakan Muaz itu.
“You kan dah janji dulu. Lepas kita bertunang you nak berubah. You dah tak nak buat semua benda ni.” Muaz cuba mengingatkan Liza akan janjinya dahulu.
“Hello… you pun tahu kan I ni macam mana orangnya. Lagi pun I tak hairan la dengan gelaran tunang pada you.” Berlagak Liza.
“I boleh dapat yang lagi hebat dari you tau. Kalau setakat macam you, bersepah dah I jumpa.” Begitu ego sekali percakapan Liza.
“Eh, dulu you yang terhegeh-hegeh sangat nak dekat I kan?” Perli Muaz.
“Masa tu I terdesak la sayang. I dah tak ada tempat bergantung.” Begitu hina sekali Muaz di mata Liza.
“Kurang ajar you Liza. I sanggup berhabis untuk you selama ni. Apa sahaja yang you minta semua I tunaikan. Apa lagi yang tak cukup?” Muaz cuba meminta penjelasan dari Liza.
“Hahaha… you tu yang bodoh sangat. Ya, memang cukup dengan apa yang you bagi selama ni. Tapi I jemu la dengan you. Baik sangat.”
“Walaupun kita pernah buat segala-galanya bersama, you anggap jela benda-benda tu semua tak pernah terjadi ya?” Begitu mudah jawapan Liza.
“You memang kejam Liza. Apa I nak jawab dengan parent I? Majlis kita dah tak lama tau?” Muaz ingin menangis ketika itu.
“Alah, susah-susah you kutip la mana-mana perempuan tepi jalan, you ajak dia kahwin dengan you. Okay sayang?” Liza cuba menyentuh pipi Muaz, tetapi ditepis kasar.
“I tak sangka you sekejam ini. I takkan lupa setiap perbuatan you. You tunggulah akibatnya nanti.” Muaz begitu marah ketika itu.
“Okay..okay.. you katalah apa pun. Takkan dapat mengubah apa-apa pun baby.”
“Okay lah, I dah lambat ni. Buang masa je layan you. Sebelum terlupa, ambil balik cincin you ni. I ada yang lagi mahal.” Liza terus mencampakkan cincin pertunangan mereka itu.
“Oppsss..lagi satu, kalau you dah boring dengan isteri you nanti, you call je I ya? Sekali-sekala apa salahnya.” Liza menggenyitkan matanya pada Muaz dan terus berlalu.
***
Sejak peristiwa itu, kehidupan Muaz terus berubah. Liza yang dikenalinya sejak menuntut di United Kingdom, jauh terpesong dari segalanya. Walaupun kehidupan mereka ketika di luar negara ibarat sepasang suami isteri, Muaz hanya setia pada Liza seorang. Muaz sangat menyayangi Liza kerana disangkanya Liza selama ini sangat memahami dan menyayangi dirinya.
Sebaik sahaja pulang ke tanah air, sikap Liza nyata-nyata berubah. Tidak cukup dengan Muaz, lelaki-lelaki lain yang mempunyai segalanya turut menjadi mangsa. Walaupun sikap Liza sebegitu, Muaz tetap memaafkannya. Bagi Muaz Liza adalah segala-gala baginya.
Muaz mengambil tindakan mengukuhkan hubungan mereka dengan pertunangan. Fikirnya mungkin Liza akan berubah selepas itu. Tetapi sikap Liza semakin parah. Pernah sekali Muaz terserempak dengan Liza dan seorang Dato` bercumbuan di dalam kereta.
Selepas mendapat penjelasan dari Liza, Muaz terus melupakan segala perbuatan jijik Liza itu. Tetapi tidak disangka, setelah majlis pernikahan mereka hampir tiba, Liza ingin membatalkan segala perancangan.
Begitu kejam tindakan Liza terhadapnya. Ternyatalah selama ini Liza hanya mempermain-mainkan hati dan perasaannya. Paling memeritkan bagi Muaz, akibat dari pembatalan majlis itu, mama Muaz pergi buat selamanya.
Datin Halimah tidak dapat menerima kenyataan bahawa Liza yang dianggap seperti anaknya sendiri sanggup memalukan seluruh keluarga Dato` Masyhur. Masih terngiang-ngiang di telinga Muaz akan pesan mamanya itu di saat-saat akhir nyawa bercerai dengan badan. ‘Carilah isteri yang baik luar dan dalamnya.’
Begitu sakit hatinya apabila mengenangkan kembali peristiwa itu.
Semenjak dari itu, Muaz telah menutup pintu hatinya untuk mana-mana wanita. Baginya, semua wanita adalah sama. Menyusahkan hidup sahaja. Amat malang bagi Nur Mia kerana dia dijadikan tempat untuk membalas segala-galanya.
Muaz tidak dapat menerima mana-mana wanita dalam hidupnya selain mama, kakak dan adiknya. Tidak lupa juga kepada anak buah kesayangannya, Aisyah Humaira.
***
“Kita dah sampai. Tak payah buat muka terkejut. Baru tahu ke yang kau dapat kahwin dengan anak orang kaya?” Sindir Muaz apabila melihat Mia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
‘Lantak kau la Muaz. Tak habis-habis dengan sangkaan buruk kau tu. Aku nafikan pun, kau tetap kata ya jugak.’ Malas Mia mahu melayan kerenah Muaz itu.
“Dah, jom turun. Ingat.. kawal apa yang patut dikawal. Jangan tersasul panggil aku Encik Muaz pulak.” Bebel Muaz lagi.
‘Macam la aku ni budak kecil.’ Bantah Mia tetapi tetap mengangguk tanda faham.
“Dah sampai pun pengantin baru kita. Amboi, berseri-seri ya.” Sapa Dato` Masyhur apabila melihat Mia dan Muaz melangkah ke banglo mewahnya.
“Kak Long, adik… mari sini. Orang yang kita tunggu-tunggu dah sampai.” Sahut Dato` Masyhur pada anak-anaknya yang lain.
“Apa khabar papa?” Mia cuba beramah mesra dengan bapa mertuanya.
“Sihat alhamdulillah. Kamu berdua macam mana?” Tanya Dato` Masyhur sambil menyalam tangan anak dan menantunya itu.
“Sihat-sihat je papa.” Jawab Muaz sambil menjeling ke arah Mia.
“Mana tak sihatnya, dah ada orang jaga ya angah?” Sampuk Myra Hasni. Mengusik satu-satu adik lelakinya itu.
Mia terus menyalam tangan Myra Hasni. Mia juga agak terkejut apabila Myra Hasni terus memeluknya. Begitu mesra sekali. ‘Mereka dapat menerima aku seikhlas hati. Tapi Muaz..’ Dipandang Muaz sekilas.
“Mana kakak ipar Sara yang comel tu. Tak aci la yang lain jumpa dulu.” Rengek Maisara Hani yang begitu manja dengan yang lain memandangkan dia anak yang bongsu. Walaupun usianya menjangkau dua puluh tahun, sikap keanak-anakan itu masih ada. Tetapi seorang anak yang mendengar kata.
Lalu Maisara Hani terus memluk Mia. Mia sangat terharu ketika itu.
“Amboi..amboi.. mentang-mentang dah dapat ahli baru, langsung lupa dekat angah ya? Merajuk la macam ni.” Ugut Muaz apabila yang lain asyik benar melayan Mia. Dirinya bagaikan tidak wujud.
“Angah nak merajuk ke apa ke terpulang la kan Kak Long?” Maisara terus mengusik angahnya itu.
“A`ah.. kita orang tak kisah dah sebab dah ada orang baru.” Myra Hasni terus mengusik adiknya itu. Mia hanya mendengar gelak ketawa mereka.
“Kalau Mia nak tahu, Muaz ni manja orangnya. Tak boleh kacau sikit mula la nak merajuk. Mentang-mentang dia dah ada geng, nak merajuk je kiranya.” Tambah Myra Hasni lagi.
“Kak ngah kena banyak sabar dengan angah ni tau. Dia ni mengada-ngada je lebih.” Maisara terus menghasut kakak iparnya yang seorang itu.
Mia hanya mampu tersengih dengan kata-kata Maisara itu. ‘Aku dah terlalu banyak bersabar.’ Rintih Mia sendirian.
“Sudah-sudah la tu Kak Long, adik.. kesian dekat angah tu. Tengok muka dia dah macam jeruk masam.” Dato` Masyhur pula cuba berjenaka.
“Papa, jeruk memang la masam. Tak apa la semua orang buat angah macam ni. Sayang tak kesian dekat abang ya?” Muaz menarik Mia supaya dekat dengannya. Lalu terus merangkul pinggang Mia.
‘Dah mula dah gatal dia.’ Mia memandang Muaz.
“Mana ada, Mia dengar je.” Mia cuba membela dirinya.
“Eleh, tengok papa. Orang dah ada bini la katakan. Pandai nak mengadu-ngadu.” Myra cuba mengusik Muaz lagi.
“Eh, biar la. Ni bini angah. Orang lain jangan kacau ya. Sayang, kalau sayang join group dia orang yang suka mengusik ni, abang merajuk tiga hari tau?” Muaz cuba mengugut Mia dengan aksi manjanya.
“Eee.. meluatnya tengok angah ni. Mengada-ngada. Jangan dengar cakap angah tu kak ngah. Saje la nak menunjuk tu. Macam dia seorang yang ada bini kan kak long?” Maisara begitu geram melihat angahnya yang beraksi manja di samping kakak iparnya yang comel itu.
“Sudah-sudah. Dah merah muka Kak Mia tu korang usik macam tu. Bagi la Kak Mia tu rehat dulu. Petang-petang sikit korang sambung berborak.” Nasihat Dato` Masyhur apabila melihat wajah merah menantunya itu.
“Entah, kesian dekat sayang abang ni. Tak bagi chance langsung kita nak rehatkan?” Muaz sudah melentokkan kepalanya ke bahu Mia.
‘Pergi la jauh-jauh Muaz. Rimas aku.’ Mahu ditepis sahaja kepala Muaz itu.
“Anak kak long mana?” Tanya Mia bagi melindungi perasaan geramnya ketika itu.
“A`ah la, mana baby girl angah ni. Tak nampak pun. Nasib baik sayang tanya.” Muaz cuba menyampuk.
“Ewah-ewah… tu anak kak long tau. Tak malu mengaku itu anak dia. Nak anak minta dekat Mia. Kan Mia?” Usik Myra Hasni tanpa jemu.
‘Aku jugak yang kena.’ Bengang Mia.
“Kita nak honeymoon puas-puas dulukan sayang? Nanti ada baby, susah sikit la nak manja-manja dengan sayang Muaz ni.” Bertambah-tambah meluat Mia dengan kelakuan Muaz. Tambahan tangan kirinya galak memeluk pinggang Mia. Mia hanya mampu tersenyum.
“Aisyah ikut abah dia pergi kedai. Tadi meragam nak kan gula-gula. Abah dia la yang jadi mangsa.” Jelas Myra Hasni.
Terbayang Muaz wajah anak buah kesayangannya itu. Dia begitu memanjakan Aisyah. Tambahan Aisyah seorang kanak-kanak yang cergas. Alangkah bahagianya aku mempunyai anak seperti Aisyah. Jauh melayang fikiran Muaz.
“Berangan apa tu Muaz? Tadi kata nak honeymoon puas-puas dulu. Tu mesti dah fikir nak anak perempuan ke anak lelaki dulu ya?” Dato` Masyhur menegur Muaz yang sedang termenung itu.
“Ke situ pulak papa ni. Dah la, Muaz nak bawa Mia rehat dulu. Kesian buah hati Muaz ni. Jom sayang kita masuk bilik.” Ajak Muaz lalu menghulurkan tangan kanannya pada Mia.
“Pergi la. Kita orang tak ganggu dah. Maaf ya kak ngah. Kami saja suka-suka usik angah ni.” Jelas Maisara lalu mencucuk pinggang Muaz.
“Tak apa, kak ngah masuk rehat dulu ya? Nanti kita borak-borak lagi okay?” Pinta Mia pada semua. Lagi pun, dia sudah malas untuk terus belakon. Rasa terlalu hina.
“Dah sayang, jom! Lagi dilayan minah dua ekor ni, lagi gila jadinya.” Muaz mencebik pada Myra Hasni dan Maisara Hani.
Lalu terus menarik Mia mengikutinya.
“Mia minta diri ya papa.” Begitu sopan suara Mia meminta izin pada bapa mertuanya itu.
“Baiklah nak. Pergilah naik.” Balas Dato` Masyhur.
***
“Letih aku berlakon macam ni. Kau suka sangat la ya?” Bentak Muaz apabila mereka telah masuk ke dalam bilik yang sangat luas dan cantik itu.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Marah Muaz apabila melihat Mia tidak mempedulikan kata-katanya.
“Saya dengar dan saya faham Encik Muaz. Boleh saya gunakan bilik air? Nak sembahyang asar dulu.” Mia tidak betah berlama-lama di situ dan terus menghadap Muaz. Telinganya sudah mahu pekak mendengar bebelan Muaz.
Setahunya, Muaz yang berlebih-lebih berlakon. Dia hanya menurut sahaja. Ikut salah, tak ikut lagi salah. Mia semakin buntu. Tanpa mempedulikan Muaz. Mia terus menunaikan ibadah wajib itu sendirian. Muaz nampaknya hampir lena di atas katil.
***
Petang itu, Mia berpeluang mendekati Aisyah yang pada mulanya nampak malu-malu dengan Mia. Maklumlah, ahli keluarga baru. Tetapi tidak sampai setengah jam, dia sudah begitu manja di samping Mia. Tambahan pula Mia pandai melayannya.
Mia memang amat sukakan kanak-kanak. Pantang jumpa di mana-mana pasti akan diagahnya. Aisyah juga amat manja dengan Muaz. Tidak lekang senyuman dari bibirnya apabila diagah oleh pak ngahnya itu.
Petang itu juga, Mia berkesempatan juga mengenali Myra Hasni dan Maisara Hani dengan lebih dekat. Mia sangat beruntung kerana dirinya amat disenangi oleh mereka.
Mia amat lega apabila Muaz tidak menghampiri dirinya. Papa, Muaz dan Abang Syukri, suami Myra Hasni leka melayan si kecil itu. Sekejap-sekejap berlari ke arah datuknya, sebentar kemudian ke sisi pak ngahnya. Begitu manja.
Puas juga Mia mencium pipi si kecil itu tadi. Aisyah juga sangat comel dan amat sesuailah dengan namanya Aisyah Humaira.
“Hai sayang, buat apa tu?” Entah dari mana munculnya Muaz, Mia sendiri tidak pasti. Apabila dirasakan tangan Muaz menyentuh pinggangnya, barulah Mia yakin Muaz berada bersama mereka.
Myra Hasni dan Maisara Hani mencebik apabila melihat Muaz beraksi manja dengan Mia. Tetapi mereka hanya memerhati sahaja. Faham dengan suasana orang yang baru berkahwin.
“Saya tengah tolong kak long dan adik siapkan minum petang untuk kita.” Jawab Mia ringkas.
“Rajinnya isteri abang ni.” Puji Muaz.
“Sudah la tu angah, rimas la adik tengok. Tak boleh ke bagi kak ngah ni bernafas sikit?” Soal Maisara apabila melihat Muaz tidak mahu berenggang dengan Mia.
“Biar la. Isteri angah, ikut suka angah la. Betul tak kak long?” Muaz meminta sokongan dari Myra Hasni. Myra Hasni hanya mengangguk dan tersengih.
“Okay la, abang tak kacau dah. Abang ke depan dulu ya?” Pinta Muaz pada Mia. Tanpa Mia jangka, sebelum beredar Muaz sempat mencium pipi kanannya.
Mia terpaku.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment