“Mira, jom teman aku pergi cari boyfriend.” Pelawa Mia ketika mereka sedang membeli barangan dapur di pasaraya Tesco.
“Apa kau cakap? Kau ni dah gila ek? Tiba-tiba je bagi idea cerdik kau tu. Dah tak ingat dengan suami kesayangan kau dekat rumah tu ke?” Mahu terkeluar biji mata Mira mendengar ajakan sahabatnya yang comel itu.
“Alah, dia pun bukan kisah dengan aku. Kau tengok la bila dia dah sihat nanti. Nak jejakkan kaki kat rumah pun payah. Apa salahnya aku cari boyfriend lain. Ada juga aku teman masa sunyi.” Mia menggenyitkan matanya pada Mira. Bertambah terkejut Mira dengan kata-kata Mia.
“Kau jangan nak mengada-ngada Mia. Aku tahu la kau tak bahagia dengan suami kau tu, tapi jangan la sampai nak buat dosa macam ni. Aku tak nak bersubahat dengan kau.” Tegas Mira apabila merasakan Mia bersungguh-sungguh dengan hasratnya.
“Tak apalah kalau kau tak nak temankan aku. Aku pergi cari sorang-sorang.” Mia terus bergerak ke kaunter bayaran setelah selesai membeli segala keperluan yang diinginkan. Memandangkan Muaz sudah semakin sihat, Mia mengambil kesempatan yang ada untuk keluar membeli segala keperluan rumah yang sudah kehabisan.
Selepas meminta izin dari Muaz, Mia agak terkejut kerana Muaz menghulurkan beberapa keping wang kertas lima puluh ringgit kepadanya. Mungkin Muaz sudah ada kesedaran tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Mia bergerak pantas ke arah keretanya untuk menyimpan barang-barang yang telah dibelinya. “Betul kau tak nak ikut aku ni? Rugi tau.” Mia masih dengan idea gilanya sedangkan Mira sudah semakin geram dengan perubahan sikap Mia itu.
“Kau ni kenapa ha? Dah hilang akal ke?” Mira meninggikan suaranya. Marah dengan Mia.
“Baiklah, kalau kau tak nak ikut aku kau tunggu dalam kereta ek? Aku pergi cari boyfriend aku kejap ya?” Dicuit sedikit pipi Mira. Mia menghentikan keretanya di hadapan deretan kedai.
Apabila melihat Mia melangkah keluar, Mira mengambil keputusan untuk mengikutnya. Bimbang perkara yang tidak baik berlaku pada Mia. Mia melangkah masuk ke sebuah kedai yang penuh dengan binatang peliharaan. Burung, arnab, kucing semuanya ada di situ.
Mira menarik tangan Mia lalu berbisik, “ Kau kata nak cari pakwe. Takkan kau nak ngorat tokeh kedai ni pulak? Kau biar betul Mia. Jangan buat kerja gila.”
“Dekat sini la pakwe-pakwe aku tinggal. Cuma tunggu nak pilih je lagi.” Mira semakin bingung dengan tindakan Mia. Adakah sahabatnya itu sudah tidak siuman setelah diperlakukan sebegitu rupa.
“Hello uncle! You ada sihat ke?” soal Mia ramah pada tokeh kedai itu. “Hello amoi cantik! I sihat-sihat saja. You mahu cari apa amoi? I kasi harga baik punya sama you orang.” Begitu mesra Uncle Loi melayan pelanggannya.
“I mahu cari satu teman la uncle. Teman I dekat rumah. Boleh sembang-sembang punya.” Mia menyampaikan hasratnya. Mira hanya melihat setiap perbuatan Mia. Sudah tidak mampu untuk berkata-kata.
“I kasi you satu kawan yang comel macam you. Sini mari I kasi tunjuk. Sure you suka punya ma.” Tersengih-sengih Uncle Loi. “Comelnya kura-kura ni. I sudah jatuh cinta.” Mereka berdua sudah ketawa dengan kata-kata Mia itu. “Banyak susah ke uncle mau jaga ini anak kura-kura?”
“You jangan lisau. Ini kura-kura manyak baik. You kasi angkat saja la. You mahu belapa ekor?” Uncle Loi begitu pandai membeli hati pelanggannya. “I mahu seekor dulu la. Nanti kalau I kasi dia couple, dia lupa sama I la. Mana boleh itu macam.” Mia sempat lagi mengusik Uncle Loi.
“Wa, lu manyak pandai lorh. Okay la, I kasi angkat sama you. Kalau ada apa-apa masalah, you mali sini saja. I kasi yang lain.” Uncle Loi sudah mengangkat seekor anak kura-kura itu untuk dijualkan kepada Mia. Mia tersenyum gembira. Dia sudah punya teman baru di rumah.
“Mira, comel tak pakwe aku? Kau jangan jealous ek?” Mia sudah tergelak-gelak kerana berjaya mengenakan Mia. “Kau ni kan Mia, aku karate tengkuk kau baru kau tahu. Aku ni mati-mati la fikir yang kau dah buang tabiat nak menggatal dengan jantan lain.” Mira sudah mula menumbuk-numbuk bahu Mia.
“Aduh, sakit la. Aku bagi tahu boyfriend aku karang dia pulak karate tengkuk kau. Nak?” Mia masih mengusik Mira. “Kau tu la. Mengada-ngada sangat. Nasib baik tak kena sakit jantung aku ni. Cuba la berterus-terang, kan senang. Ini saja bagi aku pening kepala.” Mira sudah mula berleter.
“Ala, kau ni macam tak kenal aku. Sekali pun aku tak dapat kasih sayang dari seorang suami, aku takkan buat kerja gila tu. Sekurang-kurangnya aku masih ada baba dan keluarga mertua yang sayangkan aku. Kau pun sayang aku kan?” Ada nada sedih di situ.
“Mesti la.” Mira tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Dia sebenarnya teramat sedih dengan nasib yang menimpa Mia. Bagi pasangan suami isteri yang lain pasti masih melalui detik-detik kemanisan berumah tangga. Lain pula dengan Mia. Sehingga sanggup mencari seekor binatang untuk dijadikan teman di kala kesunyian.
***
“Lambat kau balik?” Sapa Muaz apabila menyedari Mia berada di dapur untuk mengemas-ngemaskan barang yang baru dibelinya.
“Maaf la. Tadi ramai sangat orang dekat pasaraya.” Mia menjawab ringkas.
“Malam ni kau tak payah masak. Kita pergi rumah papa. Tadi kak long baru call ajak makan ramai-ramai dekat sana.” Lalu Muaz terus beredar ke ruang tamu.
Kesihatan Muaz sudah bertambah baik. Dia juga sudah mampu untuk menguruskan diri sendiri. Walaupun masih berjalan menggunakan tongkat, pergerakannya sudah agak pantas. Setelah kejadian di mana Elisa berkunjung ke apartment mereka, Mia sudah tidak banyak bercakap dengan Muaz. Berkata bila perlu sahaja.
Muaz kadang-kala menyesal dengan tindakannya mengajak Elisa ke kediaman mereka. Sejak itu, dia tidak dapat lagi melihat senyuman Mia dan juga tidak dapat layanan semanis dahulu. Mia seperti menjauhkan diri dari Muaz.
“Kita nak pergi pukul berapa?” Soal Mia. “Lepas maghrib.” Jawab Muaz pula.
Sebaik sahaja Mia ingin berlalu ke biliknya, Muaz memanggil. “Nak tunggu maghrib lambat lagikan? Tolong potong kuku kaki aku.”
“Tapi saya nak mandi dulu. Dah pukul lima lebih ni.” Mia cuba mencari alasan. Dia tidak mahu terlalu rapat dengan Muaz. Kelak dia yang akan merana.
“Eh, tak baik tau tolak permintaan suami. Aku nak bagi kau peluang tambah pahala.” Sungguh bijak Muaz bermain kata-kata. Dia ingin menarik perhatian Mia. Sekiranya Muaz tidak menggunakan ayat-ayat yang power, ada sahaja dalih Mia.
‘Kurang asam betul tapir ni. Saja nak bagi aku serba salah la tu. Karate kang!’ Geram Mia dengan sikap Muaz. Tanpa berlengah, Mia mencapai kepit kuku yang berada di dalam baling di sebelah tv. Lalu beralih ke sebelah Muaz yang sudah enak duduk di atas sofa.
“Tak baik buat muka macam tu. Macam orang tak ikhlas je.” Muaz sudah tersengih-sengih. Lucu melihat wajah Mia yang masam mencuka. “Meh sini kaki tu.” Mia malas untuk berkata apa-apa kepada Muaz. Merugikan masa sahaja.
“Tak baik marah-marah. Nanti tak cium bau syurga tau. Aku cuma nak tolong kau je.” Muaz masih ada hati mengenakan Mia.
‘Pandai la kau bab-bab syurga ni ek? Tanggungjawab kau sebagai suami pernah ke kau laksanakan?’ Mahu sahaja Mia menyemburkan kata-kata itu. “Okay, dah siap!” Lega Mia setelah selesai mengetip kuku Muaz.
“Eh, kuku jari tangan ni takkan nak biar? Nanti syaitan bergayut macam mana?” Muaz mengeluarkan hujahnya yang lain. “La…takkan itu pun Encik Muaz tak boleh nak buat. Bukan susah pun.” Mia sudah muak dengan sikap Muaz yang mengada-ngada. Dulu mahu pegang sedikit pun melenting.
“Sebab tak susah la aku suruh kau buat. Kalau suruh kau dukung aku bawa masuk bilik larat tak?”
‘Ee…melampau la tenuk ni. Bagi sekupang nak seringgit pulak.’ Tanpa membuang masa, Mia menarik jari-jemari Muaz. Lagi dilayan lagi mengada-ngada. “Ha, macam tu la. Baru isteri solehah namanya.” Muaz tersenyum girang dapat mengenakan mia.
***
Seperti yang dirancang, selepas maghrib mereka bertolak ke rumah Dato` Masyhur. Muaz tidak dapat memandu kerana kakinya masih belum pulih sepenuhnya. Jadi Mia yang terpaksa memandu kerana tiada pilihan lain. Masih terngiang-ngiang di telinga Mia perbalahan kecil antara mereka sebelum ke rumah Dato` Masyhur tadi.
“Saya tak berani nak bawa kereta Encik Muaz tu. Besar sangat. Naik kereta saya la ya?” Pujuk Mia. Dia tidak sanggup untuk memandu kereta Muaz. Dia sudah biasa dengan keretanya. Lagi pun dia yang akan memandu, bukannya Muaz.
“Ala, aku tak selesa la naik kereta kau yang sempit tu. Kau nak aku baring kat belakang tu ke? Itu pun belum tentu muat tau.” Muaz tetap dengan sikap sombongnya.
“Nanti kalau saya bawa kereta Encik Muaz masuk longkang macam mana? Tak pasal-pasal dua-dua masuk hospital.” Mia masih berkeras dengan keputusannya.
“Amboi, mulut kau. Tak ada insuran langsung. Ish, yela…ikut kau la. Tak sanggup aku nak tengok kereta kesayangan aku tu masuk longkang.” Muaz mengeluh panjang.
‘Ceh, kereta dia yang dia risaukan sangat. Bukannya diri sendiri. Aku ni lagi la dia tak kisah.’
“Air cond kereta kau ni tak makan ke apa? Dah la sempit, panas pulak tu.” Muaz masih tidak henti-henti meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Itu tak kena, ini tak kena.
‘Aku tinggalkan jugak mamat ni tepi jalan karang. Tak reti senyap langsung mulut tu. Eee…geramnya. Patahkan sebelah lagi kaki tu baru tahu.’ Malas Mia menjawab kata-kata Muaz itu. Hatinya juga yang akan sakit.
“Saya singgah kat kedai roti tu sekejap ya? Tak sedap pulak rasanya pergi rumah papa dengan tangan kosong. Tadi nak masak apa-apa dekat rumah tak sempat dah.” Ini semua sebab Muaz. Kalau dia tak mengada-ngada tadi, tak ada la lambat ke rumah papa.
“Alah, nak beli apa lagi? Rumah papa tu semua ada. Makan minum semua cukup.” Pasti kata-kata yang menyakitkan hati sahaja yang dituturkan oleh Muaz.
‘Tolong la…tolong…jauhkan mamat ni dari aku.’ Menjerit-jerit Mia di dalam hatinya. ‘Aku tak kira, aku nak pergi jugak.’ Mia sudah nekad.
“Saya pergi sekejap je ya?” Terus Mia melangkah keluar dari kereta. Sudah bosan mengikut rentak Muaz yang banyak songeh itu. ‘Aku peduli apa kalau kau marah. Kau bukan boleh kejar aku pun. Hehehe…’ Mia tersenyum sendirian.
“Hoi..hoi..berani kau lawan cakap aku?” Tapi amat malang sekali, jerkahannya itu tidak dapat didengari oleh Mia. Hatinya bertambah geram.
Sepanjang perjalanan ke rumah Dato` Masyhur, Muaz tidak henti-henti membebel. Tetapi Mia hanya pekakkan telinga sahaja. Sudah lali dengan semua itu kerana telah menjadi ‘makanan’ hariannya.
“Kenapa kau bawak slow sangat ni ha? Aku dah nak patah pinggang duduk dalam kereta kau lama-lama. Agak-agaknya, kura-kura lagi laju bawak kereta dari kau tau.”
“Kura-kura boleh bawak kereta ke Encik Muaz?” Mia tiba-tiba memberanikan diri untuk bertanya soalan yang sangat cerdik itu pada Muaz. Pasti mengamuk orang tua ni.
“Pandai kau menjawab ya?” Sergah Muaz dengan muka yang merah menyala. Bagaikan ternampak-nampak sahaja asap berkepul-kepul keluar dari telinganya.
‘Saya tak pernah tengok kura-kura bawak kereta tapi kalau tapir saya pernah tengok.’ Mia sudah tersenyum-senyum sendiri. Geli hatinya.
“Asal kau tersengih-sengih ni ha? Kau kutuk aku ek?” Muaz dapat rasakan yang Mia sedang mengata dirinya.
‘Pandai jugak mamat ni baca fikiran orang ek? Yang penting dia tak dengar apa yang aku kutuk dia. Kalau tak, mati la aku.’ “Okay, kita dah sampai. Biar lambat asal selamat.” Sempat Mia memerli Muaz sebelum melangkah keluar dari tempat pemandu.
“Nah tongkat Encik Muaz!” Mia cuba membantu Muaz keluar dari tempat duduknya.
“Eh, pelan la sikit suara kau tu. Dengar di papa dan yang lain kau panggil aku macam tu, apa nak jawab?” Muaz takut lakonan mereka dapat dikesan oleh yang lain.
“Lagi satu, tak payah guna tongkat la. Kau tolong aku berjalan je. Baru la nampak yang kau betul-betul caring dekat aku. Depan family aku ni. Kau jangan lupa.” Muaz memberi peringatan.
‘Hipokrit betul mamat ni. Kira nak jaga air muka dia je. Yang aku ni dah macam kuli.’ Mia tidak dapat membantah. Nanti bertambah kecoh pula. Mia memegang erat pinggang Muaz. Bimbang kalau dia tidak dapat mengimbangi badan mereka. Muaz pula enak sahaja memeluk bahu Mia umpama tidak mempunyai sebarang masalah.
Mujurlah kaki Muaz sudah semakin sembuh. Tambahan pula Mia tidak pernah jemu mengurut kaki Muaz setiap malam. Supaya darah dapat mengalir dengan baik dan Muaz mampu berjalan seperti biasa. Baba juga selalu berpesan supaya jangan jemu melakukan perkara itu demi kebaikan Muaz.
“Pegang la kuat-kuat sikit. Berlakon je pun. Bukan betul-betul.” Tegur Muaz apabila dirinya rasa terumbang-ambing. Tetapi logik jugalah kerana tubuh Mia yang kecil agak menyukarkan mereka berjalan dengan betul.
Mia sudah malas mahu bersuara. Padahal dia sendiri terasa mahu tumbang. Kalau budak kecil boleh juga dikendongnya. Ini bapa budak. Tua pulak tu. Mahu patah pinggangnya kalau dia mengendong Muaz.
Setibanya di hadapan pintu rumah Dato` Masyhur, Muaz memberi salam. Kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh ahli rumah itu. Seperti biasa, ada sahaja yang mengusik apabila melihat Muaz begitu manja di sisi Mia. Dato` Masyhur bersyukur dengan keadaan itu. Tidak rugi dia menyatukan dua hati yang saling tidak mengenali antara satu sama lain suatu ketika dahulu.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment