“Tak sabar aku nak masuk belajar. Dah lama aku tunggu saat-saat macam ni. Dapat pulak tempat yang sama dengan kau. Lagi aku suka.” Gembira sekali Adam kerana dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah setelah berjaya mendapatkan keputusan yang baik dalam STPM yang lalu. Begitu juga dengan teman baiknya Zulaikha. Mereka sudah bersahabat semenjak dari kecil lagi. Memandangkan mereka tinggal di taman perumahan yang sama lebih mengeratkan hubungan persahabatan itu.
Keluarga kedua belah pihak juga umpama sebuah keluarga yang besar dan bahagia. Rumah Zulaikha seperti rumah Adam, begitu juga sebaliknya.
“Tu la. Aku pun tak sangka dapat study satu tempat dengan kau. Aku baru ingat nak lari dari kau, tengok-tengok tak ada peluang lagi. Kau punya pasal la ni. Semua nak ikut aku.” Mereka memang tidak bercadang untuk belajar di tempat yang sama. Tetapi sudah rezeki mahu buat macam mana. Keluarga mereka juga teramat bergembira. Pernah sekali itu Encik Zainal bapa Zulaikha mengatakan bahawa Zulaikha dan Adam memang tidak dapat dipisahkan lagi.
“Eh, mana ada aku ikut kau. Dah rezeki Zulaikha oi…aku pun kalau ikutkan hati tak hingin belajar sama-sama dengan kau.” Adam sedikit terasa dengan kata-kata Zulaikha. Dia sendiri sayangkan persahabatan mereka. Apa salahnya mereka belajar di tempat yang sama.
“Olo...Adamku sayang. Aku gurau jela. Aku ni sebenarnya suka sangat dapat study sama-sama dengan kau. Sekurang-kurangnya aku dah ada kawan kalau sampai dekat sana nanti. Walaupun kita berlainan kursus, tapi masih di kampus yang samakan. Kau boleh jadi hero aku kalau aku dalam kesusahan.” Zulaikha memang suka mengusik Adam sejak kecil lagi. Tambahan pula Adam seorang yang agak pendiam, lagi mudah untuknya mengenakan Adam.
“Tau pun kau. Ni asyik nak buli aku je. Eh, kau dah kemas semua barang ke? Ibu dengan abah tak habis-habis membebel dengan aku. Takut itu tertinggal la, ini tak bawak la. Aku yang nak pergi belajar diorang pulak yang gelabah. Hehe…” Mahu tergelak Adam apabila mengingati perangai ibu dan abahnya. Terlebih-lebih bimbangnya.
“Ala, diorang risaukan kau. Barang-barang aku hampir complete la. Ada sikit-sikit je lagi yang tak ada. Eh, kenapa kau tak masuk belajar dari tahun lepas lagi. Bukan ke kau ni tua setahun dari aku?” Adam merupakan seniornya semasa di sekolah menengah dahulu. Setahunya keputusan STPM Adam cukup baik. Tetapi pelik kenapa dia sanggup menangguhkan pelajarannya.
“Saja la aku nak tunggu kau sekali. Kau kan adik aku.” Dipegang kepala Zulaikha seperti membelai seorang adik kandung.
“Apa sentuh-sentuh ni? Aku bagi tahu umi aku nanti baru padan muka.” Zulaikha sudah masak sangat dengan perangai Adam yang suka terlebih mesra dengannya. Sudah banyak kali dilarang tetapi Adam tetap juga berdegil. Zulaikha seorang yang mementingkan batas pergaulan. Tidak akan disentuh lelaki yang bukan muhrim dengannya. Bukan kerana dipaksa oleh umi dan abi, tetapi pendiriannya sendiri. Rambutnya juga tidak pernah ditunjukkan pada mana-mana lelaki yang tidak sepatutnya melihat ciptaan Tuhan itu.
“Ala, itu pun nak ngadu. Manja sangat kau ni.” Adam memang begitu. Sehari tidak buat Zulaikha marah memang tidak sah.
“Adam, Zulaikha mari masuk. Umi ada buatkan kuih untuk minum petang. Pergi panggil ibu dengan abah Adam sekali.” Laung Puan Suri. Ibu Zulaikha.
“Ibu dengan abah tak ada la umi. Diorang ke pekan. Cari barang dapur. Tapi ibu dengan abah ada pesan suruh umi sekeluarga datang makan dekat rumah malam ni.” Balas Adam. Begitulah dua buah keluarga itu seharian. Akrab sekali.
Sempena anak-anak mereka ingin melanjutkan pelajaran dan akan bertolak pada esok hari, Encik Aslam dan Puan Rohani sengaja mahu makan beramai-ramai. Selepas ini entah bila pula dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini. Memandangkan Adam dan Zulaikha akan pergi melanjutkan pelajaran ke Uitm Shah Alam, berkuranganlah ahli rumah mereka nanti.
Umi dan abi Zulaikha mungkin tidak akan berasa kesunyian sangat memandangkan empat orang lagi adik Zulaikha masih tinggal di rumah. Zulaikha merupakan anak sulong dalam keluarga itu. Berlainan pula dengan ibu dan abah Adam. Kerana Adam merupakan anak bongsu. Abang-abangnya semua sudah berkeluarga. Tinggal Adam sahaja di rumah selama ini. Kini, rumah mereka akan bertambah sunyi.
“InsyaAllah. Malam nanti kami datang. Zulaikha, ajak la Adam tu masuk. Dari tadi dibiarnya si Adam tu melangut di luar.” Zulaikha kadang kala sengaja berbuat begitu. Bukan tidak biasa tetapi Adam sengaja mengada-ngada mahu dipelawa terlebih dahulu.
“Ala umi, dia bukan tak biasa datang ke rumah kita ni. Saja mengada-ngada nak dijemput-jemput.” Zulaikha menjelirkan lidahnya pada Adam. Padan muka kau!
“Umi tengok Zulaikha ni. Jelir-jelir lidah kat Adam. Kerat lidah tu baru tahu.” Geram Zulaikha. Nama sahaja perempuan, tapi nakalnya teramat sangat.
“Eleh, macam perempuan nak ngadu-ngadu. Dah la ngadu dekat umi kita lak tu. Tak malu.” Zulaikha sudah turun dari buaian yang diduduki mereka sebentar tadi.
“Sudah la tu Zulaikha. Tak habis-habis nak kenakan Adam tu. Jom Adam kita masuk. Jangan kawan dengan Zulaikha ni.” Umi sudah menyebelahi Adam. Apa lagi, bertambah geram la Zulaikha.
“Padan muka kau! Hahaha…jom umi kita masuk. Tinggal dia sorang-sorang kat luar ni.” Puas hati Adam. Mahu mengenakan dirinya sangat, Sudah-sudahnya umi menyebelahi Adam.
“Umi…” panggil Zulaikha. Tetapi uminya buat tidak tahu sahaja.
***
Pada keesokan harinya, kedua buah keluarga itu berangkat ke Shah Alam untuk menghantar Zulaikha dan juga Adam. Sepanjang perjalanan Zulaikha hanya bermuram. Selama ini dia tidak pernah tinggal berasingan dengan keluarga dalam jangka masa yang panjang. Tetapi kerana keinginan hati untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading terpaksalah dia berkorban perasaannya.
Mereka sampai ke destinasi yang di tuju hampir-hampir pukul 10.30 pagi. Tanpa berlengah, mereka menyelesaikan urusan yang wajib dahulu. Memandangkan mereka berlainan kursus, terpaksalah mereka berpisah buat sementara waktu. Lagi pun Zulaikha mahu cepat mendapat bilik. Tidak perlu berlama-lama di kawasan pendaftaran. Kasihan dengan umi dan abinya bersesak di tempat yang begitu ramai manusia ini. Begitu juga dengan ibu dan abah Adam.
Setelah segalanya selesai, mereka semua mengambil kesempatan makan beramai-ramai di café universiti itu sementara masa untuk memulakan sesi orentasi masih berbaki. “Zulaikha, bilik kau ok tak?” soal Adam. Sebelum beredar dari biliknya tadi, dia sempat bersuai kenal dengan ahli biliknya yang lain. Cuma seorang lagi sahaja belum tiba.
“Ok la buat masa ni. Bilik aku bertiga je. Tapi yang dua orang lagi tadi tak nampak pun kat bilik. Keluar jugak kot.” Jawab Zulaikha. Dia masih belum berkesempatan ingin berjumpa dengan kawan-kawan biliknya yang dua orang lagi. Tidak mengapa, masa itu masih panjang. Yang penting dia ingin meluangkan masa dengan ahli keluarganya yang akan berangkat pulang sedikit masa lagi. Bila lagi mahu bermanja dengan umi dan abi.
“Adam, nanti tolong tengok-tengokkan Zulaikha ni ya? Kalau ada apa-apa hal jangan lupa bagi tahu. Bukan jauh sangat pun Ipoh ke mari. Kalau kami ada masa kami akan jenguk kamu berdua di sini.” Pesan Encik Zainal kepada Adam. Bimbang juga dengan keselamatan Zulaikha. Tambahan pula Zulaikha tidak pernah berenggang dengan mereka lama-lama.
“Baik abi. Adam akan jaga Zulaikha. Nanti kalau ada yang nak ngorat Zulaikha Adam kasi tahu dengan abi ek?” sengaja Adam mengusik Zulaikha yang kelihatan muram dari tadi. Bukan dia tidak faham, Zulaikha sedang kesedihan la tu.
“Eh, ke situ pulak kau ni. Nanti kalau kau cuba nak menggatal dengan minah-minah kat sini, cepat-cepat aku bagi tahu dekat umi dan abah. Baru padan muka kau.” Zulaikha pula membalas.
“Sudah-sudah. Tak habis-habis nak bergaduh. Cepat makan. Nanti kamu terlambat pulak.” Celah Encik Aslam. Adam dan Zulaikha kalau sudah dapat berlawan mulut sampai esok pun belum tentu habis. Faham benar dia dengan sikap dua orang anak muda itu.
Seperti yang dijangka, Zulaikha pasti menitiskan air mata ketika umi dan abinya ingin pulang. Begitu juga dengan Puan Rohani yang turut mengalirkan air mata. Dipeluk bahu Adam.
“Sudah la bu…Adam ok la. Zulaikha ni yang manja sangat.” Dijelingnya Zulaikha yang sedang menangis memeluk uminya. Mahu tergelak dibuatnya. Dia tidak mahu menangis walaupun turut bersedih. Hilanglah machonya nanti.
***
Bagai mahu tercabut urat sendi Zulaikha setelah seminggu menjalani sesi orentasi. Bayangkan mereka langsung tiada peluang untuk tidur lena selama seminggu. Jadual mereka teramat padat dengan pelbagai aktiviti. Kini segala seksaan itu sudah berlalu.
“Zulaikha, kau dah makan? Kalau belum makan nanti aku belikan untuk kau.” Soal Fatimah rakan sebiliknya. Fatimah berasal dari Muar,Johor. Gadis itu seorang yang baik hati. Baru seminggu mereka tinggal bersama tetapi keserasian antara mereka sangat terserlah. Begitu juga dengan seorang lagi rakan mereka yang berasal dari Kuala Lumpur. Suhana namanya. Ke mana sahaja mereka pergi pasti bertiga. Cuma Suhana berlainan kursus dengan mereka berdua. Jadi, masa untuk bersama agak terhad.
“Belum, tak apa la. Aku dah janji nak pergi makan dengan Adam. So, thanks ek.” Zulaikha menjawab dengan senyuman. Fatimah dan Suhana sudah faham benar tentang hubungan Zulaikha dan Adam. Pada mulanya mereka berdua menganggap bahawa Zulaikha dan Adam adalah pasangan kekasih. Tetapi apabila dijelaskan dengan panjang lebar, barulah mereka faham akan keadaan sebenar.
“Tak boleh berenggang langsung dengan kembar dia tu.” Fatimah memerli Zulaikha. Sekadar bergurau.
“Dia tu yang tak boleh berenggang dengan aku. Mengada-ngada je. Tapi, bagus jugak dapat makan dengan dia, tak payah aku keluar duit. Hehehe…” Itu sudah menjadi kemestian apabila mereka berdua keluar makan. Adam tidak memberi peluang kepada Zulaikha untuk mengeluarkan belanja sendiri. Umpama sudah menjadi tanggungjawab dia sendiri.
***
“Zulaikha, asal nampak letih sangat ni? Relaks la. Orentasi dah habis la. Lepas ni kita sama je dengan students lain. Senyum sikit.” Adam menegur apabila melihat wajah Zulaikha yang muram sahaja.
“Aku rindu umi, abi dan adik-adik aku dekat rumah la. Baru seminggu dah macam ni. Macam mana la kalau sebulan.” Tidak dapat diluahkan kerinduan Zulaikha pada keluarganya ketika ini. Mahu sahaja dia terbang ke Ipoh sekarang juga. Mahu mencium wajah umi tersayang.
“Ala, kau ni. Mengada-ngada je. Aku kan ada. Hehehe…” Adam cuba membuatkan Zulaikha tersenyum. Rimas dia melihat Zulaikha muram seperti itu.
“Dah la. Tukar topic. Kalau tak kang kau bakal tengok aku menangis. Kawan-kawan kau ok? Dah boleh serasi ke?” soal Zulaikha berkaitan kawan-kawan sebilik dan sekampus Adam.
“So far so good. Semua baik-baik. Cuma seorang dalam bilik aku tu pelik sikit.” Jelas Adam tanpa berselindung.
“Pelik? Pelik macam mana maksud kau?”
“Dia tu auu-auu…” balas Adam ringkas.
“Ooo…normal la tu. Tempat yang besar macam ni mustahil tak ada yang macam tu. Kau tu jangan terikut-ikut pulak.” Nasihat Zulaikha. Sekarang ini apa sahaja boleh terjadi kalau tidak pandai membawa diri di tempat orang. Nauzubillah.
“Ish, merepek la kau ni. Aku ni lelaki sejati tau.” Sangat yakin Adam dengan kenytaannya itu. Dia tidak pernah terfikir akan terjebak dengan perkara mungkar seperti itu.
“Kau jangan Adam. Nanti benda yang kita benci tu la menjadi kesukaan suatu hari nanti.”
“Kau ni nak sangat ke aku jadi macam tu? Nanti sapa yang nak kahwin dengan kau kalau aku jadi macam tu?” gurau Adam.
“Aku cuma nasihat je. Dah, kau jangan nak merepek. Baru masuk U seminggu dah fikir pasal kahwin. Eh, cepat la makan. Aku nak balik ke bilik. Nak basuh baju apa semua. Banyak barang tak kemas lagi ni.” Selama seminggu berada di sini Zulaikha masih tidak sempat mengemaskan segala barangannya. Maklumlah, jadual sudah penuh dengan aktiviti lain.
***
Sedar tidak sedar sudah hampir empat bulan mereka di sini. Peperiksaan semester pertama semakin hampir. Zulaikha juga sudah jarang berjumpa dengan Adam. Masing-masing sibuk dengan pelajaran dan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
“Zulaikha, lama dah aku tengok kau tak jumpa dengan Adam. Gaduh ke apa?” soal Suhana.
“Mana ada la. Kau pun tahukan kita sekarang ni tengah sibuk nak exam. Jumpa dia selalu pun bukan dapat apa. Hehehe…” sempat lagi Zulaikha bergurau.
“Tak ada la. Pelik jugak aku. Selalu korang berdua tak boleh berenggang langsung.”
“Sapa cakap kitorang tak boleh berenggang? Lagi pun aku nak bagi chance kat perempuan-perempuan lain dekat dengan dia. Ni kalau aku asyik berkepit je dengan dia, semua perempuan takut nak kawan dengan dia tau.” Terang Zulaikha.
***
“Hai, umi tak sangka korang dah nak masuk study balik. Rasa macam baru semalam je korang balik cuti sem. Sunyi balik la kami semua.” Tegur Puan Suri suatu hari ketika mereka sekeluarga sedang bersantai di rumah. Hatinya masih belum puas meluangkan masa bersama dengan Zulaikha. Adam juga masih seperti dahulu. Selalu berkunjung ke rumah mereka. Bermain dengan adik-adik Zulaikha. Keesokan hari mereka akan pulang semula ke Shah Alam untuk meneruskan pengajian bagi semester kedua pula.
“Ala umi, bukannya Zulaikha tak balik dalam masa lima bulan tu. Sebulan sekalikan Zulaikha dan Adam boleh balik. Nak balik selalu tu tak boleh la umi. Banyak assignment kadang-kadang tu. Tapi Zulaikha janji, kalau ada masa je Zulaikha akan balik ya?” Zulaikha cuba memujuk uminya sambil memeluk bahu si ibu. Dia juga masih rindukan layanan umi dan abi tersayang.
“Esok, umi dengan abi tak dapat hantar Zulaikha. So, Zulaikha tumpang Adam ek?” Zulaikha sudah mengetahui bahawa umi dan abinya tidak dapat menghantar dia pulang ke universiti kerana ada urusan di sekolah Zakri, adik Zulaikha. Terpaksalah dia menumpang kereta Encik Aslam dan Puan Rohani. Itu tidak menjadi masalah besar padanya kerana sudah biasa sangat dengan keluarga itu.
“Baik.” Akur Zulaikha.
***
“Tak sangkakan Zulaikha. Kita dah masuk sem dua dah. Cepat je masa berlalu.” Kata Adam ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Shah Alam.
“A`ah. Sekejap je rasanya. Nanti sedar-sedar dah habis study dah kan? Tak sabar rasanya nak tunggu hari konvokesyen.” Zulaikha sudah berangan ingin mengambil segulung ijazah di atas pentas dengan menggayakan jubah khas itu sambil disaksikan oleh umi dan abi.
“Kuatnya berangan minah sorang ni.” Adam disebelah sudah mula mengusik.
“Biar la. Sibuk je Adam ni kan ibu.” Mengadu Zulaikha pada ibu Adam. Encik Aslam hanya tersenyum mendengar gurauan mereka.
“Entah Adam ni. Itu la namanya kesungguhan. Bukan berangan nak kahwin je macam Adam tu.” Bela Puan Rohani.
“Mana ada Adam berangan nak kahwin bu... Zulaikha ni lain la. Dia dah ada boyfriend dekat U tau ibu. Lupa nak bagi tahu dekat umi dengan abi.” Sengaja Adam membuat cerita yang tiada.
“Ibu dengar la kelentong si Adam ni. Padahal dia yang dah awek tau ibu. Abah, nanti Zulaikha tunjukkan yang mana satu. Dah la seksi, sombong pulak tu.” Zulaikha pula mengambil peluang mengenakan Adam. Padan muka!
“Ha? Betul ke Zulaikha? Kejap lagi Zulaikha tunjuk dekat ibu ek? Ada ke budak macam tu yang dipilihnya. Tak berkenan ibu.” Puan Rohani sudah mula membebel. Zulaikha menunjukkan gaya bagus pada Adam. Puas hatinya.
“Ibu, mana ada. Zulaikha ni pandai-pandai je buat cerita.” Dia sudah menyekeh kepala Zulaikha.
“Hey, berapa kali aku nak cakap jangan sentuh aku la.” Geram Zulaikha. Adam suka bertindak mengikut sukanya sahaja.
“Sapa suruh kau fitnah aku macam tu. Padan muka kau.” Adam pula tersenyum puas.
Puan Rohani dan Encik Aslam hanya ketawa melihat gelagat mereka yang pantang dekat. Ada sahaja yang mahu digaduhkan. Sudah faham sangat dengan telatah mereka. Kalaulah Zulaikha yang menjadi pilihan Adam, Puan Rohani sangat bersetuju. Tetapi hanya dipendam di dalam hati.
***
Bagi semester kedua juga Zulaikha masih sebilik dengan Suhana dan Fatimah. Mujurlah pihak universiti tidak meletakkan sebarang syarat yang ketat untuk penginapan mereka di situ. Mereka berhak memilih untuk tinggal dengan sesiapa sahaja. Tambahan pula, Zulaikha, Fatimah dan Suhana mempunyai jawatan di dalam kelab yang disertai masing-masing.
“Zulaikha, Timah… hujung minggu ni korang ada pergi mana-mana tak? Jom balik rumah aku. Papa dengan mama aku duk tanya korang berdua je. Dah lama sangat korang tak datang rumah aku. Mama dah rindu sangat agaknya.” Pelawa Suhana. Semenjak semester pertama lagi Zulaikha dan Fatimah sudah selalu ke rumah mereka di Damansara. Maklumlah, untuk pulang ke rumah masing-masing bukannya dekat. Lainlah Suhana, setiap minggu pasti pulang ke rumah. Ikutkan Suhana, setiap minggu dia mahu Zulaikha dan Fatimah mengikutnya, tetapi mereka berdua sahaja yang tidak mahu. Bimbang akan menyusahkan mama dan papa Suhana.
“Kau macam mana Zulaikha? Aku ok je. Aku pun dah rindu sangat nak makan masakan mama Suhana ni. Terutamanya roti jala yang yang mama buat. Yumm…yummm…terliur aku.” Fatimah sudah membayangkan pelbagai jenis masakan yang disediakan oleh mama Suhana.
“Minta maaf la Timah. Tapi aku dah janji dengan Adam nak teman dia pergi beli baju hujung minggu ni. Kalau kau nak pergi jugak pergi la. Aku tak kisah tinggal sorang.” Zulaikha sudah berjanji dengan Adam untuk menemaninya keluar. Lagi pun masih di awal semester, masa masih banyak terluang. Sekali-sekala keluar apa salahnya.
“Tak nak la aku pergi sorang-sorang. Kita tangguh minggu hadapan ok tak? Boleh tak Suhana?” soal Fatimah kepada Suhana pula.
“Aku tak ada hal langsung. Bila-bila pun boleh. Rumah aku sentiasa terbuka untuk korang berdua.” Begitu baik layanan Suhana pada dua temannya itu.
***
“Jom pergi kedai sana tu Zulaikha. Gila aku tengok baju banyak-banyak macam ni.” Ditariknya tangan Zulaikha.
“Ish, kalau ye pun jangan la pegang-pegang aku. Kalau kau buat lagi macam ni, aku balik tinggalkan kau sorang-sorang dekat sini. Nyesal aku ikut kau tau. Shopping mengalahkan perempuan.” Bebel Zulaikha. Dia sudah faham benar dengan perangai Adam yang gila bershopping.
“Ala kau ni. Ikhlas ke tak teman aku ni?” Adam yang seakan merajuk.
“Tak ada la. Aku gurau je. Lagi pun kenapa aku nak menyesalkan. Segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Tuan Adam Zalif. Hehehe…” Adam siap membelikannya sepasang baju.
“Tau pun. Eh,cuba kau tengok baju ni. Cantik dan cute kan?” Adam meminta pendapat Zulaikha untuk memilih t-shirt. Rambang matanya mahu memilih.
“Cute kau kata? Untuk perempuan cute la. Kalau untuk lelaki, geli aku tengok. Dah la warna pink, siap ada kartun lagi.”
“Cute la. Aku suka. Aku nak beli la.” Adam tidak peduli dengan pandangan Zulaikha. Baginya
t-shirt itu sangat cantik.
“Sejak bila kau suka warna-warna macam ni? Dulu bukan main kau kutuk orang laki yang suka pakai warna pink. Macam pondan la, lembik la, apa la. Tak payah beli la. Tak padan dengan kau.” Zulaikha sedikit pelik dengan pilihan Adam. Sejak dulu Adam tidak pernah menyukai barangan yang berwarna pink.
“Entah, dah aku suka nak buat macam mana. Aku nak beli jugak. Nanti orang lain ambil.” Adam berkeras dengan keputusannya. Zulaikha sudah tidak mampu untuk menahan. Dipandang pelik kelakuan Adam.
***
“Zulaikha, kenapa kau termenung je ni? Ada masalah ke?” Tegur Fatimah ketika melihat Zulaikha sering termenung sejak pulang dari berjalan-jalan dengan Adam pada siang hari tadi. Fikirnya Zulaikha akan berasa gembira dengan suasana itu.
“Tak ada la. Aku ok je. Cuma berfikir.” Jawab Zulaikha masih dengan ayat tergantung.
“Kau bergaduh dengan Adam ke?” Fatimah masih mahukan penjelasan dari Zulaikha. Zulaikha yang dikenalinya tidak suka membuang masa dengan termenung kecuali ditimpa masalah.
“Tak la. Mana ada gaduh. Cuma aku pelik sikit la dengan perangai Adam sekarang.”
“Pelik? Maksud kau dia dah berubah ke? Ke dah ada awek kat sini?” terus-terusan Fatimah bertanya.
“Itu aku tak tahu la pulak. Korang sendiri tahukan yang Adam selama ni seorang yang macho, jelas sikap lelakinya…tapi tadi…” Zulaikha bimbang untuk meneruskan kata-kata.
“Kenapa? Kau buat aku suspen la Zulaikha. Cerita jela. Ni antara kita je.”
“Kau tau tak, masa keluar dengan Adam tadi aku rasa sikap dia sedikit berubah. Dia macam ada dua karakter yang berbeza. Yang paling aku pelik, dia sukakan benda-denda berwarna pink dan ada ciri-ciri kewanitaan…aku nak jelaskan pun payah la.”
“La, takkan sebab tu pun kau pelik. Biasa la kalau lelaki pun minat pink. Bukan masalah dah zaman sekarang ni.” Fatimah cuba meyakinkan Zulaikha.
“Tapi Timah, Adam yang aku kenal bukan macam ni. Dia dulu cukup benci dengan warna pink. Bukan sekadar pemilihan warna tapi lenggang-lenggok dia pun aku perasan dah berubah sikit.”
“Maksud kau dia….” Fatimah sendiri dapat rasakan apa yang Zulaikha rasa.
“Yer…itu la yang aku rasakan sekarang. Tambahan pula dia semakin rapat dengan kawan dia yang dah macam perempuan tu.” Semenjak dua ini Zulaikha perasan ke mana sahaja Adam pergi kalau tidak dengan dia mesti dengan Effy yang mana nama asalnya adalah Hafiman. Zulaikha bukan tidak berkenan dengan Effy, tetapi tingkah lakunya kadang kala agak keterlaluan. Andainya Effy sudah begitu sejak dilahirkan dia tidak kisah tetapi Effy sendiri yang menginginkan semua itu. Ingin merubah ciptaan Tuhan dari yang asal. Dia bimbang andai Adam turut terikut-ikut dengan perangai Effy.
“Tapi dulu bukan ke kau cakap Adam cukup tak suka dengan Effy tu. Diorang sekarang dah tak tinggal sebilikkan?” Fatimah sendiri pernah terserempak dengan Effy dan kawan-kawan sejenisnya. Geli melihatnya. Siapa tidak kenal dengan Effy. Terang-terang melanggar hukum alam.
“Memang diorang dah tak sebilik. Tapi aku tengok makin rapat ada la. Bukan makin renggang. Aku ni risau Timah. Bukan aku minta dia jadi macam tu, tapi…kau bayangkan dia nak jugak beli t-shirt pink tadi. Aku larang dia cakap dia dah minat dan terus beli.” Kekeruhan terlukis di wajah Zulaikha.
“Tak apa la. Kau pantau je dulu perkembangan dia. Kalau memang nyata-nyata dia ingin ke arah itu, kau tegur la. Mungkin kita je yang sangka bukan-bukan padahal Adam sengaja mencari kelainan.” Fatimah sendiri tidak mahu berfikir yang tidak-tidak.
“Ermm…aku akan cuba. Suhana mana? Dari balik tadi aku tak nampak.” Zulaikha cuba mengalih topik perbualan. Tidak mahu menambahkan beban.
“Dia kan balik minggu ni. Apa la kau ni. Dah lupa ek?” Fatimah cuba bergurau.
“Ooo…aku terlupa la pulak. Hehehe…” Itulah, terlalu fikirkan soal Adam sampai lupa segalanya.
***
“Zulaikha, lepas kelas kau habis karang jumpa aku sekejap ek?” ajak Adam ketika dia menelefon Zulaikha pada satu pagi.
“Kenapa kau nak jumpa? Ada hal penting ke?” soal Zulaikha pula. Kali ini apa pula yang dimahukan oleh Adam. Sudahlah hatinya masih memikirkan soal diri Adam yang sedikit berubah.
“Ada la. Jangan lupa tau. Aku pergi dekat fakulti kau. Kau tak payah datang sini. Aku tunggu kau dekat café, pukul 1.00 ya?” beria-ria benar Adam.
“Ok, aku cuba. Tapi tak boleh lama-lama la. Aku ada kelas pukul 2.00 petang.” Zulaikha mengingatkan Adam. Dan dia berharap agar tanggapan dia terhadap Adam akan lenyap sebentar nanti.
“Ok, aku janji.” Adam mematikan talian.
***
“Mana dia ni. Kata pukul 1.00. Sekarang dah dekat 1.15.” Zulaikha sedikit geram dengan Adam. Sekiranya dia tidak mempunyai kelas lagi selepas ini dia tidak kisah. Tidak perlu dia berkejar-kejar.
Sepuluh minit selepas itu barulah Adam muncul. Terkejut Zulaikha melihat Adam memakai t-shirt pink yang dibeli tempoh hari.
“Surprise! Cantik tak baju aku?” teruja sekali Adam menunjukkan t-shirt yang tersarung di tubuhnya.
“Kenapa kau lambat haa? Kau tahukan aku ada kelas lepas ni? Kenapa kau nak jumpa aku?” Zulaikha tidak mahu menunggu lebih lama. Hatinya bertambah sakit dengan telatah Adam seperti mengada-ngada.
“Ala, jangan la marah. Aku nak tunjuk baju ni kat kau la. Cantikkan? Aku dah cakap dekat kau hari tu yang baju ni sesuai dengan aku. Kau je tak nak percaya.” Adam sudah tersenyum simpul.
“Encik Adam, ini aje sebab kau nak sangat jumpa aku? Kau ni kenapa haa? Kau tau tak yang kau dah buang banyak masa aku. Kalau setakat baju ni kan ke aku dah tengok hari tu. Dan terus-terang aku cakap baju ni tak sesuai langsung untuk kau.” Zulaikha terus berlalu tanpa memikirkan perasaan Adam yang masih terkejut dengan tengkingannya. Sebenarnya bukan kelewatan Adam yang menjadi masalah tetapi penampilan Adam yang membuatkan tangkai hatinya hampir tercabut. Betulkah sangkaannya selama ini? Nauzubillah.
Ketika di dalam kelas Zulaikha tidak dapat langsung menumpukan perhatian kepada pensyarah yang tidak henti-henti bercakap. Tetapi sedikit pun tidak masuk ke dalam otaknya. Ini semua kerana Adam.
***
“Timah, aku rasa jangkaan aku betul la. Adam dah banyak berubah. Aku tak sanggup nak jumpa dia dah.” Zulaikha menitiskan air mata. Dia tidak sangka Adam akan berubah seperti ini.
“Mana kau tahu ni Zulaikha?” Timah agak terkejut dengan kenyataan Zulaikha yang baru keluar dari mulutnya sebentar tadi.
“Aku tengok sendiri dengan mata kepala aku ni. Siang tadi dia ada jumpa aku. Penampilan dia masyaAllah…dah macam perempuan Timah. Aku tak boleh terima kenyataan terus aku blah. Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut dia. Aku takut dia berterus-terang.” Mana dia tidak terkejut, Adam yang berbaju pink, rambut yang sedikit berwarna perang dan…arghh..Zulaikha tidak sempat melihat semuanya.
“Mungkin itu style baru dia kot. Apa kata esok kau jumpa dia korang bincang baik-baik. Mungkin kau risaukan sangat pasal dia kot. Terus kau anggap macam tu.” Timah tidak mahu Zulaikha menuduh Adam seperti itu. Kerana tuduhan sebegitu bukan satu tuduhan yang ringan. Ia melibatkan maruah dan agama.
“Entah la Timah. Aku dah takut sangat nak jumpa dia.”
“Patut la dia call kau tak jawab-jawab. Tak apa la. Kau pergilah tidur. Mungkin lepas bangun esok fikiran kau akan tenang sikit. Dan lepas tu kau boleh pergi jumpa dia. Tuduhan kau tu berat Zulaikha.” Nasihat Timah.
***
“Adam, aku nak jumpa kau petang ni boleh? Kau tak ada kelas petang hari ni kan?” Zulaikha mengambil keputusan ingin bertemu dengan Adam. Betul kata Timah, tuduhan aku ini amat berat. Mungkin aku tersalah tafsir tentang Adam.
“Ok, aku pun dah lama tak jumpa kau. Tempat biasa ek?” Mujur Adam bersetuju dengan pelawaan itu. Buatnya Adam makan hati dengan tengkingannya tempoh hari, dia juga yang susah.
***
Seperti yang dijanjikan mereka berjumpa di tempat yang telah ditetapkan. Kali ini Adam yang sampai dulu. Mungkin takut jika Zulaikha mengamuk lagi.
Dari kejauhan Zulaikha sudah ternampak Adam. Sekali lagi hatinya tidak menjadi tenang. Penampilan Adam masih seperti pertemuan mereka seminggu yang lepas. Tidak mengapa, selagi Adam tidak bercakap berkaitan hal itu, Zulaikha tidak mahu bersangka buruk.
“Assalamualaikum. Cepat kau sampai hari ni?” Tegur Zulaikha. Ketika memandang wajah Adam, Zulaikha mengucap di dalam hati. Adam sudah mencukur bulu kening seperti seorang wanita.
“Waalaikumsalam. Yela, takut kena marah macam hari tu lagi. Hehehe…” Adam memerli Zulaikha. “Kau sihat ke Zulaikha?” Soal Adam lagi.
“Alhamdulillah. Macam ni. Ok je. Kau?” Zulaikha pula menyoal Adam walaupun dia tahu Adam berada dalam keadaan yang baik.
“Kau rindu aku ek? Dah lama kita tak jumpakan?” sengaja Adam mengusik Zulaikha.
“Mula la nak mengarut tu. Adam…aku ada hal nak tanya kau ni. Aku tak sanggup nak simpan dalam hati dah. Tapi sebelum tu aku nak minta maaf kalau apa yang aku nak tanya ni bakal buat kau marah. Aku cuma nak kepastian je.” Tersekat-sekat Zulaikha berkata-kata.
“Apa dia? Tanya jela. Aku akan jawab kalau aku boleh jawab dan InsyaAllah aku takkan marah. Aku ni kan baik hati.” Sempat lagi Adam bergurau walaupun dia sudah tahu apa yang bakal ditanya oleh Zulaikha.
“Adam, semenjak dua ni aku tengok kau lain sangat Adam. Tak tahu la pulak kalau aku je yang perasan semua ni. Tapi Timah kawan sebilik aku pun perasaan. Kenapa kau berpenampilan macam ni Adam? Kau dah tukar style ek? Tapi lain sangat aku tengok.” Zulaikha mahu berterus-terang. Dia tidak mahu memeningkan kepala memikirkan soal Adam yang tak sudah-sudah.
“Zulaikha, aku tahu apa maksud kau. Aku fikir kau tak perasan selama ni tentang perubahan aku. Sebenarnya…” Adam tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia tidak tahu bagaimana harus berterus-terang. Dia bimbang akan kehilangan Zulaikha.
“Apa dia Adam? Cakap la. Aku sudi dengar. Kau dah suka warna pink ek?” Zulaikha cuba menenangkan hatinya yang sudah tidak tentu hala ini.
“Zulaikha, sebelum aku terangkan segalanya aku harap kau tak marah dan tak benci aku lepas ni. Aku tak tahu sejak bila Zulaikha, tapi aku…”
“Cakap la Adam…” Zulaikha sudah meninggikan suaranya. Geram dengan Adam yang teragak-agak untuk meneruskan kata-kata.
“Aku sebenarnya…” Belum sempat Adam menghabiskan ayat telefon di dalam beg galasnya berbunyi. Dia tiada pilihan lain selain menjawab panggilan itu. Zulaikha ternyata kecewa dengan tindakan Adam.
“Zulaikha, umi kau ni. Kau tak bawak telefon ke?” soal Adam. Fikirnya siapa, rupanya umi Zulaikha.
Terus Zulaikha menyambut telefon di tangan Adam. “Sorry umi. Zulaikha tertinggal handphone dalam bilik. A`ah, Zulaikha dengan Adam la. Saja menyembang. Kitorang berdua tak ada kelas petang ni.” Zulaikha menjawab segala pertanyaan umi walaupun hatinya tetap memikirkan hal Adam.
Setelah memulangkan handphone kepada Adam semula, Zulaikha bertanyakan hal yang tertangguh sebentar tadi. Tetapi kali ini Adam memberi alasan ingin berjumpa dengan kawan di library kerana mereka sudah berjanji ingin menyelesaikan tugasan berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah mereka.
“Adam, please…lepas Adam cerita semuanya Zulaikha izinkan Adam pergi. Jangan buat Zulaikha macam ni. Zulaikha risau.” Rayu Zulaikha. Dia mahu Adam berterus-terang dengannya.
“Zulaikha, aku kena pergi. Cuma aku nak cakap apa pun jadi pada aku lepas ni, kau tetap kawan terbaik aku. Aku takkan lupakan kau sampai bila-bila.” Adam terus beredar tanpa menoleh ke arah Zulaikha lagi.
“Adam…Adam…” jerit Zulaikha. Dia pasti bahawa Adam ada merahsiakn sesuatu darinya. Sesuatu yang amat penting.
***
Sejak dari peristiwa itu Adam tidak lagi menghubungi Zulaikha. Perkara ini membuatkan Zulaikha bertambah yakin dengan apa yang dirasai selama ini. Adam juga sudah jarang diketemu. Selalunya, jika tidak berjanji pun mereka pasti akan bertembung di pusat sumber atau dewan makan. Kini, bayangan Adam tidak pernah kunjung tiba lagi. Zulaikha nekad, dia mahu mencungkil apa yang dirahsiakn oleh Adam darinya. Dia akan cari walau ke lubang cacing sekali pun.
“Maaf, saya mengganggu. Awak ni kawan Adam kan?” soal Zulaikha pada salah seorang sahabat Adam yang sering dilihat bersama dengan Adam suatu ketika dahulu. “Saya Zulaikha. Awak?”
“Oo…ya, saya kawan Adam. Saya Hassan. Tapi sekarang saya dah jarang dengan Adam. Dia pun jarang ada di kampus kalau bukan waktu kelas. Maklumlah, dah tinggal di luar. Eh, duduk la.” Pelawa Hassan apabila terpandangkan wajah Zulaikha yang tertanya-tanya dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Terima kasih. Maaf la kalau mengganggu awak. Tapi saya terpaksa. Tadi awak cakap Adam duduk di luar? Maksudnya dia dah tak tinggal di hostel la?” terkejut Zulaikha dengan kenyataan ini. Patut la kelibat Adam sudah jarang sangat dilihat.
“Eh, awak tak tahu yang dia dah duduk luar dekat dua minggu dah?” jelas Hassan.
“Dah dekat dua minggu? Dia tak bagi tahu apa-apa pun dekat saya. Saya pun dah lama tak jumpa dia. Kenapa dia pindah?” soal Zulaikha pula. Pelik dibuatnya mengapa Adam pindah keluar secara tiba-tiba. Setahu Zulaikha Adam tiada masalah untuk tinggal di asrama yang telah disediakan. Tambahan Adam mempunyai jawatan dalam persatuan kampus.
“Ermm…dia kena buang asrama.” Ringkas sahaja jawapan Hassan. Tapi sudah cukup membuatkan jantung Zulaikha bagai mahu berhenti.
“Kena buang? MasyaAllah. Kenapa boleh jadi sampai macam ni Hassan? Dia ada buat masalah apa ni sampai kena buang hostel?” Setahu Zulaikha, jika seorang pelajar itu melakukan kesalahan yang amat besar sahaja yang akan membuatkan mereka boleh dibuang asrama.
“Alang-alang Zulaikha dah tahu sikit biarlah saya ceritakan semuanya. Lagi pun saya tahu awak berdua memang rapat. Awak sendiri tahukan yang Adam dah berubah sekarang ni. Kami kawan-kawan rapat dia dulu dah tak larat nak tegur. Tapi nampak gayanya dia memang suka dengan cara macam ni. Kami tak syak lain selain Effy. Effy la yang banyak pengaruh dia supaya berubah sampai macam ni sekali. Mungkin awak dah lama tak jumpa dia kan? Kalau awak tengok penampilan dia sekarang saya pasti yang awak takkan perasan itu Adam. Dia dah berubah sangat. Kami mengucap panjang bila tahu dia pilih jalan yang macam ni. Mula-mula dulu dia agak malu nak tunjukkan penampilan ‘wanita’ dia tu, tapi sekarang dah tak ada malu langsung. Dengan Effy tu dah macam belangkas. Kami tak tahu dah nak cakap macam mana. Mudah sangat dia terpengaruh.” Jelas Hassan panjang lebar.
“Ya Allah Hassan. Kenapa boleh jadi sampai macam ni? Sejak bila dia berubah Hassan? Awak kena ceritakan semuanya pada saya.” Zulaikha tidak dapat menahan air matanya dari keluar. Betullah sangkaannya selama ini. Adam sudah bertukar selera.
“Kami nampak perubahan dia sejak masuk sem dua ni la. Sikit-sikit dia berubah. Effy pulak pandai memujuk, lagi la mudah si Adam tu terbabas. Pelajaran dia pun kami nampak terabai sikit dah. Kadang-kadang ponteng kelas tanpa sebab. Masuk kelas lambat tu dah biasa bagi dia. Berkepit je dengan Effy and the geng. Mengalahkan perempuan dah gayanya. Cukur bulu kening, pakai baju ala-ala wanita, lenggang-lenggoknya semua ala keperempuanan la senang cerita. Jauh dah Adam tu…” Dalam maksud kata-kata Hassan itu. Hati Zulaikha pula kian sebak.
“Saya sendiri mula perasan perubahan dia. Tapi dia tak pernah mengaku apa-apa dengan saya. Sebelum ni dia cukup tak suka dengan Effy tu, tapi entah la…lain pulak jadinya. Saya call dia pun dia tak nak angkat. Mesej langsung tak berbalas. Hancur perasaan parent dia kalau mereka tahu.” Teringat Zulaikha akan wajah Encik Aslam dan Puan Rohani. Bagaimana perasaan mereka kalau perkara ini sampai ke pengetahuan mereka. “Tapi Hassan, kenapa sampai di buang asrama? Setahu saya ramai lagi yang berpewatakan macam mereka ni.”
“Memang la. Tapi mereka langgar peraturan hostel. Balik lewat. Selalu je kantoi dengan guard, balik pun kadang-kadang dalam keadaan mabuk. Suka buat bising dengan group-group diorang. Mana tak kena buang. Banyak sangat laporan yang warden dapat pasal diorang ni. Tu sebab kena buang.” Hassan malas mahu berahsia lagi. lagi pun budak fakulti mereka semua sudah tahu dengan insiden itu. Cuma budak fakulti lain sahaja masih ramai yang tidak tahu akan hal ini.
“Ermm…saya tak sangka teruk sampai macam ni. Tak sampai sebulan saya tak jumpa dia, tapi dah jadi macam-macam. Kalau setakat nakal-nakal biasa saya tak kisah Hassan, tapi bila dah tukar perwatakan, ubah ciptaan Tuhan dah melampau namanya.” Kesal Zulaikha. Bagaimana dia harus ketemu sama Adam. Ikutkan hati mahu sahaja dia menelefon keluarga Adam di Ipoh. Biar mereka datang ke mari dah heret Adam pulang. Tapi ini bukan jalan penyelesaian yang bijak. Dia harus fikirkan perasaan orang lain dan pelajaran Adam. Semester kedua baru bermula. Masih lama mereka di sini. Dia tidak mahu Adam terkandas sebelum penghujungnya. Dia mahu datang bersama Adam, dan pulang juga bersama Adam serta segulung ijazah di tangan masing-masing.
“Awak cuba la tegur-tegur dia tu Zulaikha. Awakkan rapat dengan dia dari kecil lagi. Mungkin nasihat awak dia akan dengar. Kami ni dia baru kenal. So, tak makan saman la dia. Nanti dikatakan menyibuk pulak.” Bukan Hassan tidak pernah menasihati Adam tetapi tidak diendahkan. Kata Adam, ini soal hidupnya. Orang lain tidak perlu masuk campur. Jadi, mereka tiada pilihan selain melihat sahaja perubahan Adam yang sangat melampau.
“Entah la Hassan. Dulu rapat la, tapi sekarang awak sendiri tahukan. Saya tak tahu apa tujuan dia jauhkan diri dari saya. Mungkin takut saya marah, benci atau hina dia. Tapi saya akan cuba. Saya takkan biarkan dia terus hanyut.” Itu janji Zulaikha. Dia akan cuba bantu Adam pulang ke ‘tempat asal’.
“Thanks Hassan, saya terhutang budi sangat dengan awak.” Ucap Zulaikha. Tanpa bantuan Hassan mungkin sampai bila-bila pun dia tidak akan tahu sikap Adam yang sudah jauh hanyut itu.
“Sama-sama.” Lalu mereka membawa haluan masing-masing. Sedangkan Zulaikha sarat dengan masalah yang dicipta Adam.
***
“Zulaikha, betul ke apa yang aku dengar tentang Adam?” soal Suhana pada suatu hari. Mesti cerita ini disampaikan oleh Timah. Tetapi dia tidak kisah jika Suhana juga mengetahui akan hal ini. Antara mereka tiada rahsia. Cuma Suhana kadang-kala lambat sedikit tahu akan sesuatu perkara kerana dia sering pulang ke rumahnya.
“A’ah. Bengong dah otak aku ni fikirkan masalah Adam ni. Aku pun tak sangka boleh jadi sampai macam ni. Aku cuba cari dia sampai hari ni. Tapi tak jumpa-jumpa. Sampai aku sendiri tak tahu nak jawab apa dekat parent dia bila diorang call aku tanyakan hal Adam. Family dia call pun dia tak nak jawab, inikan aku. Lagi la dia tak layan.” Keluh Zulaikha. Sudah jenuh dia berusaha untuk berjumpa dengan Adam, tetapi usahanya tidak pernah berjaya. Disebabkan jadual kelas mereka selalu padat menyukarkan Zulaikha untuk terus mencari Adam. Adam pula habis sahaja waktu kelas terus keluar dari kampus.
“Aku pun tak sangka. First time aku jumpa dia dulu, punya la macho, bergaya, badan macam model. Tapi sekarang ni, macam tu pulak dia pilih. Apa lagi yang kurang aku pun tak faham. Adam…Adam…” Suhana sendiri masih ingat saat pertama kali Zulaikha memperkenalkan Adam kepada dia dan Fatimah. Tidak jemu mata mereka memandang wajah Adam. Tetapi tidak lebih sebagai seorang teman. Suhana sendiri sudah mempunyai pilihan hati. Manakala Fatimah pula sudah menjadi tunangan orang. Pilihan keluarga katanya.
“Entah la Suhana. Kau doa-doa la supaya aku dapat lembutkan hati dia daripada terus biar dia lebih jauh menyimpang dari asal.” Itulah impian Zulaikha. Dia akan usaha supaya Adam kembali kepada diri ‘asal’nya.
***
Zulaikha nekad hari ini. Dia akan menunggu Adam di hadapan pintu pagar utama. Mujurlah hari ini semua kelas paginya dibatalkan oleh pensyarah. Dia tidak akan mensia-siakan peluang yang ada. Dia mahu bersua muka dengan Adam yang sudah lama menghilangkan diri. Dia mahu melihat sendiri Adam yang ‘baru’.
Hampir sejam dia menanti Adam, akhirnya insan yang dinanti-nantikan muncul jua. Pada mulanya Adam tidak perasan akan kelibat Zulaikha di situ. Tetapi apabila terpandang sahaja Zulaikha di hadapannya, Adam bertindak melarikan diri.
“Adam…Adam…tunggu dulu. Aku ada benda penting nak cakap dengan kau.” Zulaikha pantas mengejar Adam. Dia tidak akan lepaskan Adam kali ini. Zulaikha berjaya memintas Adam.
“Tunggu la dulu Adam. Kenapa dengan kau ni? MasyaAllah…Adam.” Hilang kata-kata apabila melihat Adam yang ‘baru’.
“Aku ada hal ni. Aku pergi dulu.” Adam tidak sanggup berdepan dengan Zulaikha ketika ini. Dia belum bersedia.
“Adam…kenapa jadi macam ni? Kalau kau ada masalah cerita la dengan aku. Kitakan dah macam adik-beradik. Kenapa kau berubah sampai macam ni Adam? Berdosa besar tau.” Zulaikha terus-terusan menasihati Adam.
“Aku tak ada masa la nak dengar semua ni.” Jelas Adam. Dia tahu, dirinya bakal dicemuh dengan perubahan yang dibuatnya.
“Adam, aku bukan nak hina kau. Aku cuma nak tahu kenapa kau jadi macam ni. Dekat mana silapnya? Cuba cerita dengan aku Adam…” Zulaikha sudah menitiskan air matanya. Tidak sanggup melihat Adam dalam sisi ‘perempuan’nya.
Adam menarik lengan Zulaikha supaya apa yang bakal mereka bincangkan tidak didengari oleh yang lain. Tambahan melihat Zulaikha yang sudah menitiskan air mata. Lebih teruk pandangan orang nanti. Zulaikha juga tidak mampu menahan tindakan Adam itu.
Lalu mereka beredar ke suatu sudut yang jauh dari pandangan orang lain. “Ini la aku yang baru Zulaikha.” Adam menunjukkan dirinya yang kini. Dengan rambut yang separas bahu, berwarna keperangan lagi. Bulu kening dicukur, lips ice di bibir, pakaian serba pink. Mudah kata, sama seperti wanita. Cuma bentuk tubuhnya sahaja masih ada ciri-ciri kelakian. Zulaikha mengucap panjang.
“Aku tahu kau akan hina dan maki aku. Tapi aku buat semua ni kerana aku sendiri. Bukan kerana orang lain.” Jelas Adam lagi.
“Kau tipu! Kau tipu Adam. Ini semua sebab kau kawan dengan Effy tu kan? Aku tak sangka kau jadi teruk sampai macam ni. Kau tahu tak apa yang kau buat ni bakal merosakkan hidup kau. Kalau ibu dan abah tahu apa perasaan diorang. Kau pernah fikir tak? Kau letak dekat mana otak kau tu Adam?” Zulaikha bertambah geram dengan sikap Adam yang seperti tidak memikirkan hal ibu bapanya.
“Kalau kau tak gatal mulut cerita, diorang takkan tahu. Lagi satu kau tak payah nak ajar-ajar aku pasal tu. Aku tahu la apa yang aku buat.” Adam sudah menaikkan suaranya. Dia seperti tidak dapat menerima kata-kata Zulaikha seakan-akan mahu mengatur hidupnya.
“Sampai hati kau Adam. Dulu kau tak pernah marah-marah macam ni. Aku cuma nasihatkan kau je. Aku sayangkan kau Adam. Kita membesar sama-sama. Kau tak ingat semua tu?” Zulaikha juga turut menaikkan nada suaranya. Adam yang kini nyata-nyata sudah berubah. Bukan sahaja dari segi rupa, malah sikap dan tindakannya juga berubah.
“Macam aku cakap tadi. Ini diri aku yang sekarang. Kalau kau tak nak kawan dengan aku dah, terpulang. Tapi lepas ni jangan sibuk-sibuk hal aku lagi.” Ugut Adam.
“Jadi sekarang kau dah tak nak jumpa ibu dan abah la. Diorang hari-hari call aku tanyakan hal kau. Kalau kau sendiri dah nak buang aku dari hidup kau, takkan mak ayah kau pun kau nak buat macam tu jugak? Kau betul-betul dah gila Adam.” Geram Zulaikha.
“Itu pandai-pandai la aku aturkan. Tak ada kena-mengena dengan kau. Dan satu lagi jangan nak mengada-ngada mengadu dengan mak ayah aku pasal ni.”
“Kau betul-betul dah berubah Adam. Aku tak pernah duga kau akan jadi macam ni. Semua ni angkara kawan-kawan bapuk kau tu.” Tengking Zulaikha.
Tanpa disedari, pipi Zulaikha ditampar oleh Adam. “Kau jangan berani nak kata kawan-kawan aku. Kalau kau nak buat baik, nak jadi perempuan solehah, pergi berambus dengan kau. Aku sikit pun tak halang. Aku puas dengan hidup aku sekarang.” Walaupun marah, lenggang-lenggoknya sudah tidak seperti lelaki sejati. ‘Adam…kenapa kau jadi macam ni. Aku tak dapat terima…’ Rintih Zulaikha sendirian.
“Aku takkan balik selagi belum cuti sem. Aku ada kehidupan aku dekat sini. Lepas ni kau jangan nak bergantung dengan aku dah. Yela, aku ni kan dah bukan lelaki macho yang macam korang cakap dulu. So, kau cari la boyfriend sorang ke untuk jadikan tempat berlindung kau. Tak kuasa aku nak masuk campur hal kau dah. Apa yang aku dapat? Maki hamun kau je.” Tengking Adam lagi.
“Tapi kau masih ada peluang nak berubah Adam. Aku akan bantu kau Adam. Aku janji.” Zulaikha tetap tidak mahu menerima diri Adam yang baru. Dia mahu Ada yang dahulu.
“Aku dah cakap dengan kau, aku yang nak semua ni terjadi. Kalau aku nak berubah pun, aku tak perlukan pertolongan kau. Tapi aku cukup selesa dengan semua ni. Tak terfikir pun nak berubah.” Betapa egonya Adam.
“Astaghfirullah…Adam, bawa mengucap. Kita ni orang islam Adam. Ini semua nyata-nyata melanggar hukum Allah Adam.” Ingat Zulaikha.
“Eh, kau tak payah nak ajar aku bab-bab agama ni. Nak bagi ceramah, pergi dekat surau tu. Ramai lagi yang sudi dengar ceramah agama kau tu Ustazah Zulaikha.” Adam seperti mengejek Zulaikha. Lalu terus beredar. Dari jauh Zulaikha perasan sudah ada yang menunggu Adam di dalam kereta. Siapa lagi kalau bukan si Effy. Orang yang bertanggungjawab atas perubahan Adam.
Zulaikha terduduk di atas tanah. Dia sudah kehilangan Adamnya. Adam yang sudah dianggap seperti abang kandung sendiri. Tempat dia meluahkan segala isi hatinya suatu ketika dahulu. Gara-gara termakan dengan pujuk rayu kawan, akhirnya Adam jauh terpesong dari agama. Ya Allah, kau jauhilah Adam dari segala yang buruk. Kau tunjukkanlah dia ke jalan yang benar Ya Tuhan. Zulaikha sempat mendoakan kesejahteraan buat Adam.
***
Kini mereka berada di semester terakhir. Segala-galanya sudah berubah buat Zulaikha. Masih kuat diingatannya ketika pulang bercuti baru-baru ini. Melihat keadaan ibu dan abah Adam sudah membuatkan hatinya bertambah sayu. Selama mana Adam mampu menyembunyikan segalanya dari orang tua sendiri. Akhirnya segala berkaitan Adam sudah diketahui oleh seisi keluarga Adam. Bukan datangnya dari mulut Zulaikha, tetapi pihak universiti sendiri yang memaklumkan hal tersebut kepada keluarga Adam.
Semenjak dari itu, kehidupan Adam sekeluarga tidak seceria dahulu. Suatu ketika dahulu Adam lah yang menjadi penyeri dalam keluarga Encik Aslam. Tetapi kini, segala-galanya sudah berubah. Dengan kesihatan Puan Rohani yang kadang-kala baik, kadang-kadang sebaliknya. Encik Aslam juga sering menyalahkan dirinya kerana tidak pandai mendidik anak sehingga Adam terpesong dari agama.
Zulaikha juga sudah jarang benar bertandang ke rumah Adam. Jika dia benar-benar pasti Adam tiada di rumah barulah Zulaikha akan menjenguk kedua orang tua Adam. Adam tidak melarikan diri dari keluarga. Kadang-kala dia akan pulang ke Ipoh seperti selalu, cuma sikapnya sahaja yang tidak berubah.
Dia tidak peduli dengan umpatan orang sekeliling. Bagi dirinya, apa yang sudah terjadi adalah takdir buat dirinya. Adik-beradik Adam yang lain juga sudah kehabisan jalan untuk membentuk Adam kembali.
Zulaikha sering kali mendengar uminya bercerita bahawa Puan Rohani selalu menangis mengenangkan sikap anak bongsunya itu.
Cuma yang membuatkan Zulaikha sedikit lega adalah Adam tidak mengabaikan pelajarannya. Walaupun tidak mendapat ‘title’ sebagai pelajar terbaik, sekurang-kurangnya Adam tidak mensia-siakan peluang yang ada.
Hati Zulaikha akan bertambah pilu apabila mengenangkan kedua ibubapa Adam. Apabila dia teringat akan semua itu, hatinya tiba-tiba mendidih. Benci pada Adam.
***
Ketika mengulang kaji di dalam bilik secara berseorangan, Fatimah datang menerpa. Dari mana dia Zulaikha sendiri tidak pasti. “Kenapa dengan kau ni Timah?” tegur Zulaikha apabila melihat Fatimah tercungap-cungap.
“Zulaikha…Adam…Adam…” tidak dapat Fatimah menghabiskan ayat itu.
“Kenapa dengan Adam? Cuba kau bawak mengucap Timah. Aku pening la tengok kau macam ni. Cerita pelan-pelan.” Nasihat Zulaikha. Dia sendiri yang menjadi letih melihat Fatimah seperti itu.
“Adam dengan geng-geng dia kena tangkap dekat luar. Disebabkan diorang semua student sini, pihak polis rujuk mereka di sini.” Jelas Fatimah.
“Kena tangkap? Ya Allah, kenapa pulak ni. Kau pasti ke tu Adam?” Zulaikha segera ingin tahu.
“Yer, aku pasti itu Adam. Effy pun ada sekali. Pas tu dengan geng-geng bapuk diorang tu la. Kecoh dah dekat ofis pengarah.”
“Jom ikut aku!” kali ini darah Zulaikha benar-benar sudah naik ke muka. Adam sudah melampau.
***
“Kenapa kecoh-kecoh ni?” soal Zulaikha pada seorang pelajar yang tidak diketahui dari kursus mana. Itu semua tidak penting.
“Entah, yang kitorang dengar-dengar, diorang anjurkan parti liar. Tapi kejadian tu jadi dekat luar kampus. Diorang yang dibawa ke sini ni, student sini.” Jelas pelajar itu.
Zulaikha dan Fatimah mencelah-celah di tengah orang ramai. Ingin melihat pelajar-pelajar yang dicekup oleh pihak polis.
Memang benar kata-kata Fatimah. Adam turut serta di situ. Zulaikha tidak mampu berkata apa-apa. Dari jauh jelas kelihatan wajah Adam walaupun mengenakan skirt dan baju sendat di tubuh. Ikutkan hati Zulaikha dia mahu menyerbu ke dalam yang menempatkan para pelajar yang bersalah. ‘Biar urusan di dalam selesai dahulu.’ Dan dia yakin bahawa ibubapa Adam bakal mengetahui hal ini. Bertambah hancurlah hati mereka. Tergamak kau Adam!
Ketika melihat Adam beredar dari situ, Zulaikha mendapatkannya. Dipegang lengan Adam. Adam yang terkejut dengan tindakan itu memalingkan muka ke arah Zulaikha. Tanpa menunggu Adam berbicara, Zulaikha menampar wajah Adam. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Setelah puas menampar Adam, Zulaikha meraung sekuat hati. Adam juga sudah terduduk di atas tanah.
“Adam…sanggup kau buat macam ni. Sekarang puas la hati kau haa? Kau bangga la dapat buat semua ni? Ni, ni….apa yang kau pakai ni?” Zulaikha menarik-narik t-shirt Adam. “Kau letak akal kau dekat mana Adam? Kau dah tak tahu dosa dan pahala ke haa? Kau dah gila ke Adam?” Zulaikha terus-menerus menengking Adam. Tidak dihiraukan banyak mata memandang. Dia sudah tidak peduli.
“Kenapa kau diam? Dah bisu? Arrgghhhhhh…aku teramat bencikan kau Adam. Benci kau tau tak? Bagi aku kau la manusia paling kotor sekarang ni.” Ditolak-tolak tubuh Adam yang sedang mengalirkan air mata.
“Kau mari sini!” Dengan sekuat hati Zulaikha menarik tubuh Adam supaya mengikut pergerakannya. Fatimah yang melihat kejadian itu tidak berani ingin mencelah. Dia tidak pernah melihat Zulaikha mengamuk seperti itu. Mungkin Zulaikha sudah tidak mampu bersabar lagi.
Tubuh Adam yang ditarik kasar ditolak jatuh betul-betul di hadapan kolah surau di situ. “Kau tahu tak kau dekat mana sekarang ni? Kau ingat lagi tak ni tempat apa wahai Adam?” melihat Adam yang langsung tidak menjawab dari tadi menambahkan kebencian Zulaikha padanya. Diambil gayung yang sudah sedia ada di situ lalu mencedok air di kolah itu. Disimbah ketubuh Adam tanpa henti. Biar Adam sedar dari segalanya. Bajunya turut basah.
“Kau ni nama je ADAM. Tapi kau lupa asal usul kau. Kau lupa tentang perasaan orang di sekeliling kau. Sekarang kau pergi masuk dalam tu kau taubat banyak-banyak. Kau faham tak?” tengking Zulaikha lagi. Masih menolak-nolak tubuh Adam.
“Zulaikha, dah la tu.” Fatimah mencelah.
“Kau diam Timah, aku nak sedarkan orang gila ni. Dia fikir dia buat semua ni, baik untuk dia la. Kau dengar sini Adam. Kalau kau tak nak berubah kau berambus dari hidup mak bapak kau. Kau sebagai anak mereka tak tahu nak jaga hati dan perasaan mereka siapa lagi yang kena jaga? Dari kau tunjukkan diri kau yang kotor ni, lebih baik kau jangan muncul terus. Kau tak nak jaga mak bapak kau, biar aku yang jaga.” Puas hati Zulaikha. Biarlah orang lain mahu cakap apa pun. Dia benar-benar benci Adam saat ini.
“Pergi kau dari hidup aku!” lalu Zulaikha mencampakkan gayung yang ada di tangannya. Dijeling sekilas ke wajah Adam yang masih menangis. Zulaikha sudah tidak mahu memandang wajah itu lagi selepas ini. Hatinya bagai dicarik-carik. Sahabat yang membesar bersama dari kecil berubah begitu sekali. Siapa yang dapat menerimanya. Tidak!
***
Kini Zulaikha sudah mempunyai pekerjaan yang menjamin masa depannya. Dia telah ditawarkan bekerja di sebuah syarikat hiasan dalaman. Menjadi pereka dalaman adalah minatnya dari kecil. Dia juga sudah mampu tersenyum puas dengan apa yang dimilikinya kini. Umi dan abi juga berbangga dengan kejayaannya.
Adam! Nama itu sudah lama tidak menitir di bibirnya. Selepas kejadian yang amat sukar dilupakan oleh Zulaikha dulu, dia tidak lagi bertemu dengan Adam. Dia juga sudah berpesan kepada keluarganya jika mahu dia terus tinggal bersama mereka di Ipoh, dia tidak mahu nama Adam disebut di hadapannya.
Tetapi hubungan Zulaikha dengan keluarga Adam masih seperti dulu. Tidak patut Zulaikha melibatkan yang lain dalam hal ini.
Pernah juga Zulaikha mendengar adik-beradiknya mengatakan bahawa Adam sudah membawa diri ke luar negara. Adam berjaya juga menamatkan ijazahnya di Malaysia. Mungkin dia menyambung pelajarannya di luar negara pula. Zulaikha malas untuk ambil pusing.
Kadang-kala Zulaikha rindu dengan suasana mereka suatu ketika dahulu. Bergurau-senda, bergaduh dan sebagainya. Tetapi semua itu amat mustahil akan terjadi lagi. Adam tidak seperti dulu.
“Zulaikha, bila kau nak kahwin? Dah ada calon ke belum?” semenjak dua ini umi selalu bertanyakan hal itu kepadanya. Pelik juga Zulaikha. Umurnya baru 26 tahun. Bagi dirinya, masih terlalu awal untuk berumah tangga.
“Umi ni, tak habis-habis dengan soalan tu. Dah tak sabar nak ada menantu yer?” sempat lagi dia mengusik uminya.
“Bukan menantu tapi cucu. Zulaikha dah sesuai berumah tangga tau. Bukan muda lagi. Umi dulu masa umur macam Zulaikha dah ada tiga orang anak tau.” Tidak hairanlah Zulaikha dan uminya seperti adik dengan kakak. Uminya kahwin di usia muda.
“Umi dulu kahwin dengan abi bercinta dulu ke?” soal Zulaikha. Bukan dia mahu mengubah tajuk, sengaja ingin tahu.
“Tak ada la. Kami dulu arwah Tok Wan dengan Mak Tok Zulaikha yang aturkan. Umi dulu pun tak terfikir nak kahwin muda. Tapi bila Mak Tok asyik duk tanya jer umi cakap la kalau ada yang berkenan dengan umi, umi redha. Tak lama lepas tu, abi masuk meminang. Kiranya kami bercinta lepas kahwin la.” Tersenyum umi menceritakan detik-detik gembira dalam hidupnya.
“Tapi umi tak pernah menyesal dengan semua ni. Sebab abi seorang suami, lelaki dan ayah yang baik. Zulaikha sendiri pun dapat tengokkan?”
“A`ah. Abi baik sangat. Yang paling Zulaikha kagum abi sampai sekarang romantik je dengan umi. Seronok Zulaikha tengok. Dan bangga sangat dengan abi dan umi.” Lantas dia memeluk tubuh uminya yang sederhana kecil itu.
“Umi, kalau Zulaikha nak umi dan abi carikan untuk Zulaikha boleh? Zulaikha pun nak bercinta selepas kahwin jugak macam umi dan abi.” Pinta Zulaikha. Tiba-tiba sahaja dia merasakan dia benar-benar sudah bersedia untuk berumah tangga.
“Betul? Zulaikha tak main-mainkan?” bersinar mata Puan Suri mendengar permintaan anak sulungnya itu.
“Betul mi…Zulaikha terima sesiapa sahaja yang umi dan abi rasakan baik untuk Zulaikha. Rupa, pangkat atau harta bukan ukuran Zulaikha.”
“Alhamdulillah.” Puan Suri mencium dahi Zulaikha penuh kasih sayang.
***
Begitu pantas umi dan abi bertindak, kini Zulaikha bakal bergelar isteri orang. Tetapi Zulaikha masih belum melihat siapakah bakal suaminya itu. Ini semua atas permintaan Zulaikha sendiri. Dia mahu melihat wajah bakal suaminya pada hari pernikahan mereka. Dia bimbang dia akan berubah hati apabila melihat wajah lelaki itu terlebih dahulu.
Tetapi Zulaikha tahu serba-sedikit akan perihal lelaki itu. Dia merupakan seorang jurutera. Baru pulang dari luar negara. Sebelum ini dia sudah bekerja sambil belajar di sana. Setelah puas menimba pengalaman di negara orang, sang lelaki membuat keputusan ingin pulang ke tanah air. Sudah jodoh mereka.
“Zulaikha, pengantin lelaki dah sampai.” Bisik Timah di telinganya. Suhana juga turut serta di situ. Suhana kini sudah mempunyai anak seorang. Habis sahaja membuat ijazah, Suhana mengambil keputusan untuk berumah tangga. Fatimah juga sudah berumah tangga, cuma masih belum dikurniakan anak.
Kini baru aku tahu bagaimana perasaan orang yang bakal bergelar isteri. Seram sejuk dibuatnya. Atas permintaan pihak lelaki, mereka mengenakan pakaian berona kelabu hari ini. Zulaikha juga amat gemarkan warna itu. Mungkin mereka sehati sejiwa dalam hal ini.
Dengan sekali lafaz, Zulaikha sah menjadi seorang isteri. Dari tadi Zulaikha ingin mengintai wajah suaminya, tetapi ada sahaja yang menghalang. Pengantin lelaki diminta melaksanakan upacara pembatalan air sembahyang. Jantung Zulaikha semakin laju bergetar.
“Zulaikha, hulur tangan tu.” Ada sahaja mulut yang memberi arahan itu dan ini. Zulaikha langsung tidak mengangkat wajahnya memandang suami di hadapan. Sehinggalah pengantin lelaki ingin mencium dahinya. “Selamat pengantin baru sayang.”
Bagai mahu pitam Zulaikha melihat individu di hadapannya kini. Adam! Adam yang sudah menjadi suaminya kini. MasyaAllah. Zulaikha sudah tidak mampu bersuara. Sekali lagi Adam mencium dahinya. Kali ini lebih lama. Menitis jua air matanya yang ditahan sejak tadi.
***
Ketika di dalam kereta untuk pulang ke rumah mereka, Adam tidak lepas-lepas memegang tangannya. Zulaikha juga seperti masih berkhayal. Dia tidak percaya dengan apa yang terjadi kini. Bukan dia tidak suka, tetapi masih bingung.
Setelah semuanya selesai, Adam memimpin tangan isterinya menuju ke kamar mereka. Lagi pun hari sudah lewat malam. Keletihan sudah terasa di seluruh anggota badan. Sebelum itu Adam mengajak Zulaikha untuk solat berjemaah terlebih dahulu.
Adam memimpin tangan Zulaikha supaya mengikutnya ke birai katil. Sebelum tidur, Adam mahu menceritakan segala-galanya kepada Zulaikha. Dia tahu bahawa Zulaikha masih terkejut dengan semua ini.
Adam menarik tubuh Zulaikha supaya duduk di atas ribanya. Dia lebih senang begitu. Zulaikha juga hanya menurut walaupun agak terkejut dengan tindakan berani Adam itu.
“Semakin cantik isteri abang ni. Zulaikha tak suka ke dengan perkahwinan kita ni?” Soal Adam sambil membelai pipi isterinya.
“Tak…Zulaikha cuma terkejut jer.” Geli Zulaikha dibuatnya apabila Adam sudah melingkarkan tangannya di pinggang Zulaikha. Kini Zulaikha kemas di dalam pelukan Adam.
“Kenapa Zulaikha tak nak tengok dulu bakal suami Zulaikha sebelum kita nikah?”
“Saja, surprise sikit.” Senyum Zulaikha.
“Abang risau bila Zulaikha tak nak tengok dulu wajah bakal suami Zulaikha tu. Abang bimbang kalau Zulaikha tak suka dengan perkahwinan ni. Kalau nak reject biar sebelum kahwin.” Gurau Adam. Tapi kini dia yakin bahawa Zulaikha gembira apa yang telah terjadi antara mereka.
“Abang, itu semua dah tak penting. Kita dah jadi suami isteri pun. Zulaikha redha dengan semua ini.” Diusap-usap kedua-dua belah pipi Adam pula.
“Betul? Sayang abang sikit.” Pinta Adam. Disuakan pipinya ke arah Zulaikha.
Dengan malu-malu Zulaikha mencium pipi suaminya. Gembira Adam dengan tindakan Zulaikha.
Mereka terus bercerita itu dan ini untuk menghuraikan segala keraguan yang ada di minda masing-masing. Rupanya-rupanya umi dan abi memang sudah bercadang untuk menjodohkan Adam dengan Zulaikha. Sebelum ke luar negara, Adam memang sudah bertaubat dengan perbuatan terkutuknya dahulu. Dia mengaku terlalu ikutkan nafsu. Akhirnya menjerat diri.
Adam pula memang sudah menaruh hati pada Zulaikha sejak dari dulu lagi. Tetapi disoroknya perasaan itu dari pengetahuan sesiapa. Apabila ibu bapanya menyuarakan hasrat untuk meminang Zulaikha buat dirinya, Adam tidak fikir panjang.
Zulaikha pula terasa bodoh. Selama tempoh pertunangan, dia tidak pernah ambil peduli nama penuh suaminya itu. Tambahan pula kad kahwin mereka masih belum ditempah kerana kenduri besarnya akan diadakan dua bulan lagi. Memandangkan mereka akan menyambut ramadhan tidak lama lagi, mereka sudah berpakat untuk menangguhkan dahulu majlis besarnya. Cukuplah sekadar majlis pernikahan. Panggilan untuk Adam juga mereka ubah. Ini mesti termasuk dalam perancangan mereka juga ni. Teka Zulaikha.
Kedua pengantin baru itu tidak henti-henti bergelak ketawa apabila mengingatkan kembali akan sikap masing-masing sambil bergurau senda. Tidak sedar jam sudah menunjukkan ke angka tiga pagi.
“Dah la sayang. Esok kita sambung lagi. Dah lewat sangat ni.” Adam mengangkat tubuh Zulaikha lalu dibaringkan di atas katil yang dihias indah. Simple tetapi menarik.
“Abang, boleh tak Zulaikha tak nak tidur atas bantal ni?” soal Zulaikha. Pelik Adam dengan permintaan isterinya itu.
“Nanti kalau tak tidur atas bantal kepala sayang sakit macam mana?” diusap lagi kepala Zulaikha.
“Zulaikha nak tidur atas lengan abang.” Pinta Zulaikha pula. Merah padam mukanya menahan malu.
“Laa, kenapa Zulaikha tak cakap awal-awal. Buat risau abang je.” Lalu diangkat kepala Zulaikha dan dialaskan dengan lengannya.
“Sayang, memandangkan hari dah lewat sangat ni, bolehkan kita tangguh esok?” bukan dia tidak mahu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, tetapi dia yakin bukan dia sahaja yang letih, Zulaikha juga begitu.
“Ermm…bukan setakat esok, tapi seminggu tau.” Zulaikha mencuit hidung Adam.
“Haa? Seminggu? Abang cuma minta sehari je. Jangan la dera abang sayang.” Rayu Adam. Menyesal dia minta tangguhkan keesokan hari.
Kasihan melihat suaminya Zulaikha membisikkan sesuatu ke telinganya. “Laa…abang kena main lagi. Nakal la isteri abang ni. Buat terkejut je. Tak apa, seminggu je kan?” dicium ubun-ubun Zulaikha.
Selepas menutup lampu tidur, sempat Adam berbisik, “yang tu je tak bolehkan? Yang lain bolehkan?” tanpa memberi amaran, Zulaikha mencubit lengan Adam. Akhirnya tirai malam berlabuh dengan sepasang kekasih yang saling mencurah kasih sayang tanpa jemu. Begitulah kasihnya Zulaikha buat Adamnya.
0 oRaNg cOmeL DaH MinUm KoPi:
Post a Comment